"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Wednesday, April 26, 2006

Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri

Tajuk: Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri
Penulis: Za'ba
Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka
Cetakan: Ketiga (2005)
Harga: RM 5.50 (rokok Dunhill 20' pun RM 6 sebungkus sedara..)
“Kekayaan saudagar pundi-pundi emasnya. Kekayaan Pendita, keping-keping kertasnya”

Begitu mendalam dan bermaknanya petikan kata-kata di atas dan semamangnya ia tepat untuk menggambrakan tentang seorang Pendita keturunan Melayu yang pemikirannya sentiasa ‘hijau’ dan 'tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas’ walaupun ide dan pandangannya diutarakan berpuluh-puluh tahun yang lalu.

Allahyarham Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin bin Ahmad adalah satu nama yang tersohor dalam hal bahasa dan budaya Melayu. Tulisan-tulisan beliau amat kritk dan kritis serta begitu bebeza dengan pandangan pemikir yang ada di zamannya.

Tulisan-tulisan beliau biasanya akan menimbulkan kontroversi kerana kelainannya. Oleh yang demikian beliau sentiasa menjadi sasaran penjajah yang pada ketika itu sememangnya bermatlamat untuk ‘melemahkan minda’ orang Melayu melalui pelbagai cara dan pendekatan.

Isi kandungan dan pendapat serta hujah beliau dalam buku ini amat tajam dan sukar diterima oleh orang Melayu.terutamanya pada masa tersebut. Menyedari keadaan itu maka buku ini ttidak pernah diajukan kepada mana-mana penerbit sepanjang hayat beliau. Buku ini diterbitkan kali pertama pada tahun 1982 iaitu setelah 9 tahun pemergiannya ke Rahmatullah.

Pak Kebun begitu tertarik dengan petikan di bahagian kulit belakang buku ini yang berbunyi “Tiap-tiap orang diwajibkan beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan tenaganya-tidak pernah disuruh ia mengira dirinya itu mesti bergantung kepada doa sahaja atau kepada fidyah penebus yang dibuatkan orang sahaja bagi mendapatkan kejayaan dan keselamatannya di akhirat kelak!. Tuhan tidak pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan-bacaan Qul Hua’llah dari dari orang apabila mati kelak”

Nah…membaca petikan tersebut dapat membayangkan betapa kritik dan kritisnya pandangan Za’ba terhadap kehidupan. Beliau menekankan bahawa orang Melayu perlu berikhtiar dan berusaha sendiri dan seberapa upaya tanpa bergantung dan mengharap kepada pertolongan orang lain.

Menurut beliau lagi, Islam pada hakikatnya tidak menyuruh umatnya hidup hanya dengan berdoa sahaja. Sebaliknya Islam menyuruh kita menimbang dan berusaha sendiri dengan menggunakan akal dan fikiran yang waras dan bukannya bertaklid buta kepada orang lain-semata-mata.

Buku ini terbahagi kepada dua risalah dan setiap risalah itu terbahagi empat bab kecil yang lain.

Risalah Kedua
Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri
Bab Pertama: Wajibnya Bagi Mendapat Kejayaan
Bab Kedua: Kekurangan Kita Dalam Sifat Ini
Bab Ketiga: Fikiran, Kepercayaan dan Pegangan AgamaBab Keempat: Bersendiri Pada Ilmu dan Amalan


Risalah Ketiga
Kebajikan dan Kejahatan
Bab Pertama: Fahaman Yang Luas
Bab Kedua: Baik dan Jahat Tetap Ada
Bab Ketiga: Fahaman Yang Sempit
Bab Keempat: Kejatuhan Umat Islam dan Jalan Kepulihannya

Mungkin kita seringkali membaca buku-buku tentang kejayaan dan kemajuan diri yang ditulis oleh pelbagai penulis samada penulis barat mahupun pemikir Islam.
Namun, Pak Kebun dapat merasakan satu semangat yang lain apabila membaca dan menekuni buku. Membaca buku ini membuatkan Pak Kebun benar-benar faham mengapa Pak Ungku (Prof Di Raja Ungku Aziz) menyarankan agar orang Melayu membaca buku ini.

Benarlah kata-kata ini “Kekayaan saudagar pundi-pundi emasnya. Kekayaan Pendita, keping-keping kertasnya”

Inilah sumbangan seorang pemukir bangsa untuk ditekuni oleh bangsanya sendiri. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau…….

No comments: