"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Wednesday, March 22, 2006

Pemuliharaan Warisan: Ringkasan Kertas Kerja (2003)



Pemuliharaan Bangunan Warisan:
Kajian Kes Di Melaka dan Pulau Pinang
Oleh:
Pak Kebun

Ini merupakan ringkasan kertas kerja yang telah dibentangkan oleh Pak Kebun dalam satu seminar di Universiti Malaya pada tahun 2003

1.0: Pengenalan
Pemuliharaan bangunan warisan merupakan satu bidang yang baru di Malaysia, walaubagaimanapun ia telah lama mendapat perhatian di negara-negara luar terutamanya di negara-negara Eropah. Di Malaysia, bidang ini dikatakan telah bermula seawal tahun 1960an (1959-1961) (melalui kerja-kerja ekskavasi oleh Dr Alistair Lamb) dan pada ketika itu kerja-kerja pemuliharaan lebih tertumpu di sekitar Lembah Bujang, Kedah. (Mohd Supian Sabtu,2002:26). Kerja-kerja pemuliharaan bangunan, terutamanya bangunan warisan di Malaysia bolehlah dikatakan berjalan secara teratur dan tersusun selepas pengenalan Akta Benda Purba 1976 (Akta 168). Pada tahun 1986, Bangunan Stadhuys di Melaka telah mengalami proses pemuliharaan dan ia dianggap sebagai titik permulaan kerja-kerja pemuliharaan bangunan warisan secara teratur di Malaysia (Amer Hamzah Mohd Yunus,1991:108 dan Iesnordin Malan,1997:112).

Pemuliharaan bangunan warisan seringkali mengundang konflik dengan aktiviti pembangunan. Ini kerana letakan sesebuah bangunan warisan kebiasaannya amat strategik, terutamanya di tengah-tengah kawasan pusat bandar yang mempunyai nilai tanah yang tinggi (bagi tujuan komersial). Jadi, akibat tekanan pembangunan dan atas alasan kemajuan inilah banyak bangunan warisan telah dimusnahkan samada secara besar-besaran (dalam satu deretan atau satu kumpulan bangunan) ataupun secara beransur-ansur (sebuah demi sebuah) yang sedikit sebanyak mampu mencacatkan imej dan pemandangan bagi sesebuah kawasan bandar.

Terdapat pelbagai aspek yang boleh ditinjau apabila memperkatakan tentang pemuliharaan bangunan warisan di Malaysia, walaubagaimanapun kajian ini memfokuskan hanya kepada dua aspek utama iaitu perundangan dan usaha pemuliharaan (dengan rujukan khusus kepada Pihak Berkuasa Tempatan-PBT). Dengan mengambil Melaka dan Pulau Pinang sebagai kawasan tumpuan, kajian ini cuba menghuraikan kedua-dua aspek ini dengan lebih lanjut.

2.0: Rumusan Penemuan Utama Kajian
Untuk mengelakkan timbulnya kecelaruan dan kekeliruan, penemuan kajian ini dibahagikan kepada dua bahagian yaag berasingan iaitu bahagian penemuan perundangan dan bahagian penemuan dalam usaha pemuliharaan.

2.1: Rumusan Penemuan Perundangan
Berdasarkan kajian yang dijalankan didapati secara rumusannya pada ketika ini, peruntukan-peruntukan perundangan dalam bidang pemuliharaan di Malaysia masih lagi tidak mencukupi. Ini bertepatan seperti yang pernah dikemukakan oleh Amer Hamzah (1991), Grant (1992), Zainuddin Muhammad (1998) dan Nong Ain Nom (1998)
Walaubagaimanapun, kajian tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa setiap peruntukan yang ada di Malaysia sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Cuma yang nyata harus ada beberapa pembaikan dalam aspek perundangan seandainya ingin melihat bidang ini mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan.

Ada beberapa kelemahan ketara yang timbul dalam peruntukan perundangan dalam bidang pemuliharaan di Malaysia antaranya kekeliruan definisi, proses pengwartaan yang rumit, denda/penalti yang rendah serta kekurangan beberapa peruntukan khusus yang mempu menjamin kewujudan bangunan warisan dalam era moden ini. Penemuan-penemuan ini diringkaskan seperti berikut:

i) Kekeliruan definisi bolehlah dirujuk kepada kekeliruan dalam pendefinisian sesebuah bangunan sebagai bangunan warisan. Dalam perundangan-perundangan yang ada tiada definisi tentang bangunan wrisan. Seolah-olah ia tidak wujud di Malaysia. bangunan bersejarah, monumen lama, tugu purba dan beberapa istilah lain yang merujuk usia 100 tahun.

ii) Kesukaran dalam urusan mewartakan sesebuah bangunan warisan akibat kekeliruan definisinya, usaha pengwartaan yang rumit juga merupakan salah satu kelemahan utama kerana merujuk kepada Akta Benda Purba 1976, seksyen 15(1) dan seksyen 17 setiap urusan penwartaan sesebuah bangunan/monumen atau tapaktanah bersejarah haruslah mendapat persetujuan terlebih dahulu dari Pihak Berkuasa Negeri di tempat letaknya bangunan atau tapaktanah yang hendak diwartakan. Selain itu, persetujuan dari pemilik yang memiliki bangunan atau tapaktanah tersebut juga turut diperlukan seandainya sesebuah bangunan/monumen atau tapaktanah itu mempunyai pemiliknya yang sah. Akibat peruntukan-peruntukan sebegini menjadikan kebanyakan bangunan yang diwartakan hanya terdiri dari bangunan-bangunan milik kerajaan dan juga bangunan/monumen yang tidak mempunyai pemilik (termasuklah makam-makam lama)

iii) Denda yang rendah (khasnya dalam peruntukan Akta 168), menjadikan peruntukan dalam akta tersebut semakin tidak relevan. Kajian ini menyokong apa yang pernah dikemukakan oleh Grant (1992), supaya denda terhadap kesalahan-kesalahan yang boleh membawa kepada kerosakan dan kemusnahan sesebuah bangunan warisan haruslah lebih tinggi dari yang ada pada ketika ini (terutamanya dalam peruntukan Akta Bendapurba 1976, denda maksimum (sebanyak RM 500) amat sesuai dengan keadaan, namun sehingga ke hari ini setelah 27 tahun ia diluluskan jumlah denda tersebut didapati semakin tidak sesuai dengan masa dan keadaan. Denda dan hukuman yang dikenakan oleh Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) (Pindaan 2001) dilihat agak besesuaian, namun ia hanya dikenakan terhadap mereka yang menjalankan pembangunan tanpa memperolehi kebenaran merancang dan bukannya kerana merobohkan bangunan warisan. Contoh kes di Melaka, disember 2002

iv) Kekurangan beberapa peruntukan tambahan seperti Perintah Pengekalan/Notis Pengekalan (Preservation Order/Preservation Order) Begitu juga dengan beberapa peruntukan lain yang sepatutnya dimuatkan dalam peruntukan perundangan dalam bidang ini seperti Transfer of Development Right, pelepasan cukai dan lain-lain (Zainuddin Muhammad,1998:15).


3.2: Rumusan Penemuan Usaha Pemuliharaan
Berdasarkan kajian yang dijalankan dapat dirumuskan bahawa kedua-dua PBT di kawasan kajian iaitu Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah (MPMBB) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) begitu serius dalam melaksanakan usaha pemuliharaan bangunan warisan. Ini bertepatan sepertimana yang pernah dinyatakan oleh Nong Ain Nom (1998), Jeniffer Tiong (2000) dan Yazid Saleh (2000) Ini terbukti dengan penubuhan unit-unit tertentu yang terletak di bawah kuasa PBT yang berperanan dalam penyediaan dasar bagi pemuliharaan iaitu Unit Warisan, MPPP (1987) dan Unit Konservasi, MPMBB (2001).
Walaupun begitu, usaha yang dimaksudkan bukanlah usaha pemuliharaan fizikal bangunan (kerana kerja-kerja sebegini dilakukan oleh pihak Jabatan Muzium dan Antikuiti), tetapi lebih merujuk kepada dasar dan peranan melalui penyediaan garispanduan-garispanduan dan peruntukan-peruntukan tertentu. Secara ringkasnya usaha pemuliharaan (dengan merujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan) di kawasan kajian ialah seperti berikut:

i) Menggunapakai Peruntukan Akta 172, kedua-dua PBT di kawasan kajian harus dipuji kerana aspek pemuliharaan serta pengekalan bangunan warisan sememangnya aspek yang tidak pernah diabaikan dalam setiap penyediaan rancangan pemajuan (samada rancangan struktur mahupun rancangan tempatan), malahan ide untuk pemuliharaan dan pengekalan warisan telah timbul di kedua-dua buah kawasan kajian semenjak tahun 1970an lagi dan usaha serta ide ini semakin berkembang selaras dengan penggunapakaian Akta 172.

ii) Pengezonan Kawasan Warisan, Kedua-dua buah PBT juga turut mengezonkan kawasan warisan yang terletak dalam pentadbiran mereka sebagai salah satu pendekatan dalam usaha pemuliharaan disamping menyediakan garispanduan-garispanduan serta penyediaan dasar-dasar tertentu yang mampu memberikan kesan positif terhadap bidang pemuliharaaan di kawasan kajian.

iii) Penyediaan Garispanduan Pemuliharaan, Jika di Di Melaka, terdapat satu garispanduan pemuliharaan yang uatama dan ia dikenali dengan nama “Pelan Tindakan Kawasan Pemuliharaan”. Di Pulau Pinang pula terdapat pelbagai garispanduan dalam bidang pemuliharaan bangunan warisan antara yang tertenting ialah “Garispanduan rekabentuk Untuk Kawasan-Kawasan Pemeliharaan Di Dalam Kawasan Dalaman Bandaraya George Town, Pulau Pinang”

iv) Usaha-Usaha Lain Yang Berkaitan, seperti forum dan seminar tentang kepentingan pemuliharaan bangunan warisan, pemberian insentif-insentif tertentu, penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa dalam bidang pemuliharaan, program-program pendidikan dan kesedaran, menjalankan penyelidikan dan kajian dalam bidang pemuliharaan dan lain-lain.

4.0: Rumusan Kajian
Walaupun kajian ini hanya memfokuskan kepada Melaka dan Pulau Pinang sahaja namun perbincangan dalam kajian ini turut juga menyentuh bidang pemuliharaan bangunan warisan ini dari perspektif Malaysia secara umum (terutamanya terutamanya dari perspektif-perspektif tertentu seperti perkembangan dan perundangan).

Sebenarnya, ide terhadap pemuliharaan bangunan warisan baru sahaja bermula (kajian ini merujuk usaha-usaha pemuliharaan candi di Lembah Bujang pada tahun-tahun 1960an, sebagai titik permulaaan usaha pemuliharaan di Malaysia) namun harus diakui beberapa kemajuan telah dicapai dalam bidang ini. Kewujudan beberapa buah NGO di samping penubuhan unit-unit tertentu yang berkaitan dengan bidang ini di beberapa buah PBT di Malaysia dilihat sebagai satu perkembangan yang sihat.

Tidak dinafikan, sepertimana bidang-bidang lain, bidang ini turut juga menghadapi pelbagai masalah tertentu. Kekurangan dari aspek perundangan merupakan satu masalah yang semakin membarah yang menghantui bidang pemuliharaan ini di Malaysia. Walaupun beberapa usaha dan cadangan dikemukakan, namun sehingga ke hari ini kesemuanya masih belum mendatangkan hasil. Dalam konteks ini, pihak berkuasa perlu lebih serius dalam menangani masalah perundangan yang timbul ini. Cukuplah khabar-angin dan janji kosong yang disuapkan kepada masyarakat. Biarlah apa yang dijanjikan itu dilaksanakan dan bukannya sebagai gula-gula untuk memenangi hati golongan tertentu semata-mata. Masyarakat sudah bosan dengan janji kosong terhadap peruntukan akta yang baru yang telah kedengaran sejak dari tahun 1990an lagi.

Selain itu, campurtangan politik dalam bidang ini juga harus dielakkan walaupun ada ketikanya campurtangan ini perlu. Seringkali campurtangan ini membawa kesan yang negatif. Campurtangan politik dalam bidang ini jelas berlaku di kawasan-kawasan tertentu. Fenomena sebegini diistilahkan sebagai Parachute In iaitu menjalankan satu-satu pembangunan yang tidak terdapat dalam satu-satu Rancangan Pemajuan untuk sesebuah kawasan (Ahmad Nasihin Sukarni,1999:117). Berdasarkan pemerhatian, kajian mendapati pembangunan yang tidak sesuai (seperti pembangunan moden dan pembinaan bangunan pencakar langit) masih terus berjalan di kawasan yang telah dinobatkan/dizonkan sebagai Kawasan Warisan.

Bagi kawasan kajian pula, secara rumusannya dasar dan usaha yang digariskan dan dilaksanakan merupakan satu contoh yang terbaik yang perlu diikuti oleh negeri-negeri lain. Inisiatif mewujudkan unit tersendiri yang berperanan dalam aktiviti pemuliharaan di kawasan kajian harus dipuji. Kesungguhan kedua-dua buah kawasan kajian untuk mencapai kejayaan dalam bidang ini jelas kelihatan melalui forum-forum dan seminar yang dianjurkan dan juga melalui penyediaan garispanduan-garispanduan tertentu yang berkaitan dengan pemuliharaan bangunan warisan. Walaubagaimanapun, masalah-masalah seperti kekurangan peruntukan perundangan, kewangan dan penglibatan masyarakat merupakan antara masalah utama yang sering timbul.

Cadangan untuk mempromosikan Zon Antik (Melaka) dan Pusat Bandar George Town (Pulau Pinang) bagi dimasukkan ke dalam senarai UNESCO merupakan cabaran yang berat kepada kedua-dua PBT di kawasan kajian. Ssekiranya usaha ini berjaya secara tidak langsung ianya mampu menaikkan imej kawasan kajian amnya dan Malaysia khasnya di mata dunia dari perspektif pelancongan dan pemuliharaan itu sendiri.

Kajian ini benar-benar berharap agar segala yang diusahakan dan dicita-citakan oleh kedua-dua buat kawasan kajian khasnya dan Malaysia amnya dalam bidang pemuliharaan bangunan warisan ini, lambat laun akan mencapai kejayaan sepertimana yang diinginkan.

Bibliografi Ringkas

A Ghafar Ahmad, 1997: British Colonial Architecture In Malaysia: 1800-1930. Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia.

Ahmad Nasihin Bin Sukarni, 1999: Kajian Pelancongan: Kajian Kes Terhadap Bangunan Bersejarah Di Bandaraya Kuala Lumpur. Latihan Ilmiah Rancangan Pengajian Perbandaran dan Perancangan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Tidak Diterbitkan.

Amer Hamzah Mohd Yunus, 1991: Conservation Strategies For The Historic Cities Of Melaka, Malaysia, With Respect To Cultural Tourism. Edinburgh. Tesis Sarjana Sains (Pemuliharaan Senibina), Jabatan Senibina, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Heriot-Watt. Tidak Diterbitkan

Dobby, Alan, 1978: Conservation And Planning, London: Hutchison Of London

Grant, Malcolm, 1992: New Legislation For The Conservation Of Historic Buildings: A Report To The Federal Government Of Malaysia. Kuala Lumpur. Badan Warisan Malaysia. Tidak Di Terbitkan

Iesnordin Hj Malan, 1997: Tapak-Tapak Sejarah dan Bangunan-Bangunan Lama di Negeri Melaka. Melaka. Jabatan Muzium dan Antikuiti (Wilayah Selatan). Tidak Di Terbitkan.

Larkham, Peter J, 1996: Conservation And The City. London: Routledge

Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah, 2002: Draf Pelan Tindakan Kawasan Pemeliharaan Zon 1 MPMBB. Melaka: Unit Konservasi

Majlis Perbandaran Pulau Pinang: 2000: Draf Rancangan Struktur (Pengubahan) Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Pulau Pinang: Jabatan Perancangan Bandar dan Pembangunan

Malaysia, 1976: Akta Benda Purba (Akta 168). Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Negara

Zainuddin Muhammad, 1998: “Legislative and Institutional Framework For The Promotion Of The Historic Conservation In Malaysia.”. Kertas kerja Yang Di bentangkan Dalam “International Symposium and Worksyop On Historic Cities and Islamic Societies”. Di Yogjakarta, Indonesia. 21-23 April 1998. Tidak Di Terbitkan.

3 comments:

Anonymous said...

Salam,
Entri ini sangat menarik. Seingat saya kerajaan Melaka pernah 'bid' untuk dapatkan 'title' warisan dunia daripada UNESCO kalau tidak silap saya.
Tapi agaknya perbandaran Melaka memang kucar-kacir.
Sedih..sedih..sedih...

Pak Kebun said...

Faisal:
Kerajaan Melaka sedang menyiapkan "dossier" (Management Plan) untuk dapatkan pengikhtirafan UNESCO tapi setakat ni dah dua kali kena tolak..
sebab apa yang di buat tak memenuhi keperluan UNESCO..Al Maklumlah..ada campurtangan polik.. (Invisible Hand) yang nak buat macam-macam atas alasan pembangunan dan pemajuan kat kawasan warisan..

Saya berpendapat isu ini akan memakan mas ayang panjang untuk diseleasaikan

Anonymous said...

As'kum,
Sy pernah berurusan dengan salah satu PBT berkaitan isu pemuliharaan ni atas dasar tugas sy sebagai seorang pensyarah, dan sempat bertanya mengapa kedua-dua negeri ini masih belum tersenarai ke UNESCO, tapi khabarnya format kertas kerja tu dah diubah oleh pihak UNESCO jadi mereka terpaksa membuatnya sekali lagi, dan tak timbul isu ditolak hanya kerana tak memenuhi keperluan UNESCO..tapi tak tahu la yang mana satu yang betul. Teruja jugak kalau antara dua negeri ni berjaya tersenarai oleh kerana sy ni agak berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang pemuliharaan warisan ni..insya-Allah kalau ada rezeki.