"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Friday, August 29, 2008

Salam Ramadhan

Salam Ramadhan Buat Semua pembaca yang beragama Islam
Moga Ramadhan kali ini memberi lebih makna kepada kita InsyaAllah

Sunday, August 24, 2008

Menanti 26 Ogos


Ada yang telah bersumpah
Ramai juga yang telah menyumpah

sumpah-sumpah tetap sumpah-sumpah
ramai yang dah mula jadi sumpah-sumpah

PM telah naik LRT dan Komuter
TPM juga dah buat akuan bersumpah

Petrol dan Diesel sudah turun harga
ada juga yang tersenyum
ramai lagi yang tersenyum sinis

Ada yang berjanji
ada juga yang tiba-tiba tunaikan janji (walaupun belum tiba masanya)

ada juga yang caci maki
ada juga yang kena raba punggung (nasib badan)

Kata satu pihak
Melayu perlu bersatu

Kata pihak lain
Rakyat Malaysia perlu bersatu

Kata satu pihak
Melayu sudah hilang kuasa

kata pihak yang lain
biarlah melayu yang korup itu hilang kuasa

kita sama-sama tunggu
kita sama-sama tunggu

apa akan berlaku pada 26 Ogos 2008 nanti
apa yang akan berlaku pasca 26 Ogos 2008 nanti

Namun aku percaya
Sebuah negara yang kuat
perlukan pembangkang yang hebat

persoalannya

Adakah pembangkang akan kekal jadi pembangkang?
atau sebaliknya bakal berlaku ?
Wallahualam

Sedikit Termotivasi


Alhamdulillah
Walaupun benci
saya lalui kursus yang amat membosankan itu

namun...
saya tetap bersyukur
dengan umur sebegini
mengikuti kursus yang sebegini
bila ketemu dengan sahabat-sahabat yang lebih muda
saya rasa sangat termotivasi
terima kasih

Friday, August 15, 2008

PELANCONGAN versus WARISAN BUDAYA DI MELAKA: SATU ANALISIS AWAL

Kertas Kerja Ini Telah Dibentangkan pada Bulan Julai 2008 yang lalu. Sebarang Ciplakan Tidak Dibenarkan. Segala Maklumat lanjut tentang kertas kerja ini sila hubungi saya.

Saya mengalu-alukan sebarang komen yang membina

Terima Kasih

1.0 PENDAHULUAN

Pelancongan adalah gerakan sementara manusia ke destinasi lain di luar tempat kerja dan tempat tinggalnya yang biasa, kegiatan yang mereka lakukan selama tinggal di destinasi tersebut dan kemudahan yang disediakan untuk memenuhi keperluan mereka. Pelancongan dianggap sebagai satu kemewahan, ini kerana hanya segelintir orang yang mempunyai masa dan wang sahaja mampu melancong. Waktu senggang yang banyak, ekonomi yang semakin baik, kemudahan pengangkutan yang sempurna telah bergabung untuk membolehkan lebih banyak orang pergi melancong (Matthieson dan Wall, 1991).

Dalam konteks dunia hari ini, pelancongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi dan sosial yang semakin penting. Jumlah pelancong dalam negeri dan antarabangsa semakin meningkat malah, beberapa buah negara di dunia kini memajukan sektor pelancongan sebagai sektor utama yang menjana pendapatan negara (Inskeep, 1996). Pelancongan juga merupakan sektor yang melibatkan peranan yang saling kaitan antara pihak kerajaan, bukan kerajaan dan juga orang awam (Salah Wahab dan Cooper, 2003).

Dari perspektif sejarah, pelancongan bermula kira-kira 5000 tahun yang lalu selaras dengan perkembangan pertanian intensif, kota, kapal laut dan wang sebagai medium pertukaran. Perjalanan ini lazimnya didorong oleh perdagangan, ketenteraan dan pentadbiran kerajaan dari empayar besar seperti Sumeria, Yunani, Mesir, Parsi dan Rom di rantau Mediterranean dan Timur Tengah. Apabila empayar berkembang (terutamanya dalam abad ke dua tahun Masihi), orang Rom khususnya telah membina sistem jalan raya yang lebar dan dibina dengan baik untuk menyediakan perhubungan pentadbiran dan perdagangan dari seluruh empayar dari Tembok Hadrian di Britain hingga ke Euphrates di Timur Tengah. Rumah tumpangan telah didirikan di setiap 30 batu di sepanjang jalan dan terdapat beberapa buah hotel di kebanyakan bandar. Rumah tumpangan ini dikaitkan dengan piktograf yang menunjukkan status kemudahan dan perkhidmatan (Inskeep, 1996).

Ironinya, begitulah serba ringkas senario perkembangan sektor pelancongan di dunia sehingga ke hari ini. Malah, kini dengan peningkatan ekonomi, kemudahsampaian yang tinggi serta jalinan hubungan yang baik antara sebuah negara dengan negara yang lain, sektor pelancongan terus menjadi sektor yang semakin berkembang terutamanya dalam konteks globalisasi dan dunia tanpa sempadan.

Dalam konteks Malaysia, pelancongan terus menjadi sumber utama tukaran wang asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan guna tenaga. Kedatangan pelancong sejumlah 16.4 juta pada tahun 2005 telah menyumbang sebanyak RM 18.1 bilion kepada pendapatan negara (Malaysia, 2006). Perkembangan sektor pelancongan di Malaysia telah dipengaruhi oleh perubahan yang besar dan potensi industri pelancongan pada masa hadapan. Memandangkan industri pelancongan kini merupakan satu pemangkin kepada pendapatan negara, maka pendekatan yang bersepadu dilaksanakan dalam perancangan dan perlaksanaan industri pelancongan secara mampan (Nurulashila Khalid, 2006).

Dalam konteks negeri Melaka, sektor pelancongan merupakan sektor kedua terpenting bagi negeri ini selepas sektor pembuatan (Melaka, 2000). Sehubungan dengan itu, terdapat pelbagai usaha untuk membangunkan produk pelancongan dan mempromosikannya secara giat sama ada di peringkat dalam mahupun di luar negara.

Melaka telah membahagikan sektor pelancongan kepada 11 subsektor yang berasingan dan setiap subsektor ini mempunyai ‘Unique Selling Product’ yang tersendiri dan masing-masing mempunyai kekuatan bagi menarik kedatangan pelancong. Dua daripada subsektor utama dalam konteks pelancongan di Melaka ialah Pelancongan Warisan dan Pelancongan Kebudayaan. Dalam kedua-dua subsektor inilah elemen-elemen warisan budaya memainkan peranan yang amat penting iaitu sebagai asas utama kepada tarikan pelancong di Melaka.

2.0 PELANCONGAN DI MELAKA: SENARIO SEMASA

Melaka, sesuai dengan slogannya “Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia” sememangnya telah dikenali sebagai negeri yang mempunyai banyak tempat-tempat pelancongan yang menarik untuk dilawati. Umum mengenali Melaka melalui elemen-elemen sejarahnya dan keunikan budaya kaum seperti Portugis dan Baba Nyonya yang tiada di negeri-negeri lain di Malaysia. Secara keseluruhannya, Melaka amnya dan kajian khasnya kaya dengan pelbagai sumber jaya yang merangkumi sumber jaya warisan kebudayaan, semula jadi dan buatan manusia. Sebahagian besar sumber jaya telah diketengahkan sebagai produk pelancongan Melaka.

Dalam Laporan Teknikal Rancangan Tempatan Daerah Melaka Tengah (2000-2015) dijelaskan bahawa terdapat 11 subsektor dalam konteks pelancongan di Melaka. Setiap subsektor ini telah dikenal pasti mempunyai kelebihan dan potensi tersendiri dalam menarik kedatangan pelancong ke Melaka. Subsektor tersebut ialah:

i. Pelancongan Warisan

ii. Pelancongan Kebudayaan

iii. Pelancongan Rekreasi (Ekopelancongan)

iv. Pelancongan Sukan

v. Pelancongan Membeli-belah

vi. Pelancongan Konvensyen

vii. Pelancongan Kesihatan

viii. Pelancongan Pendidikan

ix. Pelancongan Makanan

x. Pelancongan Tani

xi. Pelancongan Belia (Youth Tourism)

Peningkatan jumlah kedatangan pelancong dari tahun ke tahun telah memberikan tekanan kesesakan kepada kawasan kajian khususnya pusat bandar Melaka. Saiz bandar Melaka yang kecil dilihat tidak mampu menampung jumlah pelancong yang ramai. Apatah lagi, pusat bandar Melaka juga turut merupakan bandar warisan yang kaya dengan sumber jaya warisan budaya yang fragile. Justeru itu, keperluan perancangan pelancongan terutamanya daripada aspek pengurusan pelancong dan pembangunan fizikal di kawasan kajian.

Sebagai Bandaraya Bersejarah yang telah diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan pada 15 April 1989, Melaka telah menerima sejumlah 3.6 juta pelancong pada tahun 2003 dan kerajaan negeri mensasarkan untuk mempunyai 10 juta pelancong pada tahun 2010 seiring dengan dasar kerajaan negeri yang hendak mencapai taraf ‘Negeri Maju’ pada tahun tersebut.

Secara keseluruhannya, terdapat peningkatan kedatangan pelancong ke Melaka dari tahun ke tahun (Rujuk Jadual 2.1). Hasil daripada analisis mendapati kedatangan pelancong domestik merupakan penyumbang terbesar kepada sektor pelancongan di Melaka diikuti dengan pelancong dari Indonesia, Hong Kong dan Singapura. Faktor jarak adalah merupakan penyebab utama kunjungan pelancong daripada negara ini. Selain itu, terdapat perubahan kedudukan kedatangan pelancong daripada Indonesia di atas tujuan pelancongan kesihatan.

Berdasarkan jadual 2.1 dapat dilihat pada tahun 2005 bahawa 72.1% adalah pelancong domestik manakala hanya 27.3% adalah pelancong antarabangsa terutamanya daripada negara-negara ASEAN. Bilangan pelancong antarabangsa dilihat merosot pada tahun 2003 disebabkan wabak SARS yang melanda rantau ASEAN. Ini dapat dilihat daripada jadual 2.3 yang menunjukkan penurunan yang tinggi dalam kalangan pelancong wilayah Amerika dan Eropah.

3.0: WARISAN BUDAYA: SIGNIFIKAN DENGAN PELANCONGAN DI MELAKA

Mungkin ramai yang sedia maklum perkaitan antara warisan budaya dengan pelancongan. Ini kerana masyarakat mempunyai mentaliti dan semacam satu kepercayaan bahawa warisan budaya mempunyai kaitan dan ikatan yang kukuh dengan sektor pelancongan. Pendapat ini tidak ada silapnya. Malahan perkaitan antara pelancongan dengan warisan budaya terutamanya tapak-tapak tertentu sudah wujud sejak zaman Greek lagi selaras dengan pengenalan “Tujuh Benda Ajaib Dunia”. Namun dalam konteks yang lebih ilmiah, pendapat Kris Endresen (Pengarah Nordic World Heritage Foundation-NWHO) boleh dijadikan rujukan dalam mengaitkan antara warisan budaya dengan pelancongan:

”The mutual dependence that exists between tourism and cultural heritage is becoming more evident. While culture heritage creates a foundation for tourism’s growth, tourism has the power to generate funds that make conservation possible (www.nwhf.no/).

Memang tidak dinafikan bahawa pelancong mempunyai motivasi untuk melihat keunikan dan kelainan. Keunikan dan kelainan inilah yang ada pada warisan budaya di sesebuah kawasan. Smith (2002) memberikan beberapa buah contoh di beberapa buah kawasan yang menunjukkan hubungan antara pelancongan dengan warisan budaya. Di Amerika Syarikat, menurut Smith kebudayaan dan masyarakat pribumi (Red Indian) merupakan antara tumpuan utama pelancong apabila melancong di kawasan-kawasan tertentu di Amerika seperti di Arizona dan Calfornia di mana terletaknya rizab penempatan kaum Chemehuevi dan Mohave. Begitu juga dengan Kaum Maori di New Zealand yang menjadi keunikan utama dan antara tarikan utama pelancong di New Zealand dalam konteks pelancongan (Smith,2002). Begitu juga halnya dengan lawatan ke Mahal (India), Piramid (Mesir), Angkor Wat (Kemboja) dan Maccu Piccu (Peru) yang turut mempunyai kaitan dengan keunikan budaya tetapi dalam konteks ‘tangible’, iaitu tinggalan dan seni bina tamadun silam yang masih kekal dipelihara.

Di Melaka, walaupun terdapat 11 subsektor dalam konteks pelancongan tetapi hanya dua subsektor sahaja yang mempunyai pertalian terus dengan dengan warisan budaya iaitu pelancongan warisan dan pelancongan budaya. Penulisan Laporan Teknikal Draf Rancangan Tempatan Daerah Melaka Tengah mendapati bahawa pelancongan warisan merupakan teras utama (tahap satu) pelancongan di negeri ini manakala pelancongan budaya terletak dalam tahap dua iaitu komponen pelancongan sokongan.

Penulisan ini tidak ingin membahaskan persoalan kenapa sektor pelancongan budaya berada di tahap kedua dan pelancongan warisan berada di tahap yang pertama tetapi, penulisan ini ingin menjelaskan bahawa kedua-dua keunikan ini merupakan aset yang paling berharga dalam konteks pelancongan di Melaka. Kewujudan perkampungan Melayu tradisional (Kampung Morten), perkampungan Portugis serta kaum Baba dan Nyonya merupakan penyumbang warisan budaya dalam bentuk ‘intangible’ yang begitu menarik pelancong di Melaka, manakala Kota A Famosa dan Runtuhan Gereja St. Paul merupakan warisan budaya yang berbentuk ‘tangible’.

Oleh yang demikian, dapat diringkaskan bahawa aktiviti pelancongan yang berasaskan warisan budaya sememangnya amat signifikan di Melaka kerana selain daripada aspek sejarah, Melaka juga mempunyai keunikan-keunikan warisan budaya yang tiada di negeri-negeri lain di Malaysia sama ada dalam bentuk ‘tangible’ mahupun yang berbentuk ‘intangible’. Jadual 3.1 menunjukkan sebahagian warisan budaya yang menjadi tarikan pelancongan di Melaka.

4.0: KETERANCAMAN WARISAN BUDAYA DALAM PELANCONGAN DI MELAKA

Dalam konteks Melaka, walaupun terdapat usaha pihak berwajib melalui agensi-agensi tertentu seperti Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Unit Konservasi, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan lain-lain dalam menjamin ‘survival’ warisan budaya yang ada di Melaka, namun dalam masa yang sama timbul beberapa isu yang didapati mampu menggugat usaha yang dijalankan. Secara umum, keterancaman (isu-isu yang mengancam) warisan budaya di Melaka ialah isu pelancongan itu sendiri walaubagaimanapun tidak dinafikan terdapat beberapa isu lain seperti tekanan pembangunan dan peranan pemerintah. Namun begitu dalam kertas kerja ini, perbincangan hanya difokuskan kepada konflik antara warisan budaya dengan sektor pelancongan sahaja.

Ramai yang maklum bahawa pelancongan merupakan satu sektor yang merupakan antara sumber pendapatan utama bagi sesebuah kawasan. Dengan berkembangnya sektor pelancongan maka secara tidak langsung penduduk setempat akan mendapat manfaat terutamanya daripada segi ekonomi. Malah pelbagai konsep seperti “Pro Poor Tourism” telah diperkenalkan semata-mata ingin memastikan bahawa aktiviti pelancongan yang berlaku di sesebuah kawasan akan memberikan manfaat yang baik kepada masyarakat setempat.

Namun begitu, dalam masa yang sama ramai yang kurang sedar bahawa pelancongan itu sendiri sekiranya tidak diurus dengan sempurna akan memberikan kesan yang negatif terhadap sesebuah kawasan dan masyarakat terutamanya dalam konteks kesan terhadap warisan budaya (sama ada ‘tangible’ dan ‘intangible’) (Appleyard, 1979, Smith, 2002 dan Badaruddin dan Nikmatul Adha, 2007). Kerosakan dan kemusnahan yang ketara terhadap Angkor Wat (Kemboja), Petra (Jordan) juga Machu Piccu (Peru) akibat kedatangan pelancong yang terlalu ramai di samping tiadanya pengurusan yang sempurna perlu dijadikan ikhtibar.

Dalam konteks Melaka, senario yang sama berlaku iaitu berlaku kemusnahan warisan budaya (tangible) semata-mata bagi menarik kedatangan pelancong. Walaupun apa yang berlaku di Melaka berbeza dengan ketiga-tiga contoh yang telah disebutkan, namun demikian puncanya adalah sama iaitu pelancongan.

Di Melaka , satu contoh yang klasik (namun masih baru) yang berkaitan dengan kemusnahan warisan budaya akibat pelancongan ialah kes pembinaan Menara Taming Sari. Dalam usaha mencapai kedatangan pelancong mencecah 10 juta orang pada tahun 2010, pihak berkuasa di kawasan kajian amat bersungguh-sungguh dalam melaksanakan pelbagai promosi dan kelainan bagi menarik kedatangan pelancong. Salah satunya ialah Menara Taming Sari dengan ketinggian 110 meter dan memakan kos sejumlah RM 23 juta. Pembinaan ini adalah atas andaian bahawa ia akan menjadi satu lagi mercu tanda dan mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Daripada segi prinsip ia amat tidak bersesuaian kerana membina sesuatu yang baru dan mega di kawasan warisan. Namun, usaha pembinaan diteruskan. Semasa dalam pembinaan didapati tapak menara yang sedang dibina adalah tapak bekas runtuhan kota A Farmosa. Namun apa yang menyedihkan, runtuhan tersebut telah mengalami banyak kemusnahan akibat kerja tanah bagi pembinaan menara tersebut. Walaupun hari ini kerja pembinaan menara tinjau telah dihentikan di dan menara tersebut telah dibina malah telah dirasmikan pada 17 Mei 2008 tetapi kemusnahan terhadap warisan budaya ‘intangible’ iaitu bekas runtuhan Kota A Famosa merupakan kerugian yang amat besar. Harus diingat ia adalah semata-mata bagi memenuhi keperluan dalam sektor pelancongan.

Dalam masa yang sama, lokasinya terbaharu menara masih menimbulkan kontroversi. Ini kerana dikhuatiri kewujudan menara ini akan menjejaskan pencalonan Melaka untuk ditempatkan dalam Senarai Warisan Dunia kelolaan UNESCO kerana menempatkan binaan baru di kawasan warisan sedia ada.

Pembangunan yang terlalu memfokuskan kepada pelancongan juga telah menimbulkan konflik gunatanah di kawasan kajian dan akhirnya mengakibatkan ketiadaaan medan/ tempat untuk mempromosikan/ mempamerkan sesuatu warisan budaya. Satu contoh yang amat releven dengan hujah ini ialah kereta lembu. Kereta lembu amat sinonim dengan Melaka. Malah ada seni kata yang memerihalkan tentang kereta lembu dari Melaka. Pernah juga di tahun 1980-an, kraftangan yang berbentuk kereta lembu merupakan cenderamata utama bagi pelancong yang berkunjung ke Melaka. Malahan dalam konteks pelancongan di Melaka, pada tahun 1990-an, kereta lembu merupakan salah satu tarikan utama di Melaka kerana keunikannya dan ia tidak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia.

Dalam konteks penyelidikan ini, kereta lembu merupakan warisan budaya jenis ‘intangible’ dan ia boleh diwarisi dari generasi ke generasi sekiranya usaha yang sepatutnya dijalankan. Namun, pembinaan Dataran Pahlawan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir (yang merupakan lokasi kereta lembu) pada tahun 2002 merupakan titik tolak kepada suatu keadaan yang amat menyedihkan kepada warisan budaya ini. Atas alasan pembangunan kereta lembu dipindahkan ke kawasan pelancongan Ayer keroh yang mana daripada segi imejnya sememangnya amat bertentangan dengan kereta lembu itu sendiri. Maka kekallah kereta lembu untuk beberapa tahun. Hari ini, kawasan tapak kereta lembu di Ayer keroh semakin dihimpit dengan pembangunan.

Cadangan pembinaan tempat letak kenderaan dan gerai di kawasan laluan kereta lembu atas alasan kemudahan kepada pelancong dilihat membawa kesan yang negatif. Persoalannya, sampai bilakah kereta lembu di Melaka mampu bertahan sedangkan ia makin dihimpit pembangunan dan kerajaan pula kurang mengambil berat dengan menyediakan lokasi yang sesuai. Ini adalah satu contoh daripada pelbagai contoh yang membuktikan bahawa ketiadaan tempat-medan-lokasi yang sesuai akan memberi impak yang besar terhadap satu-satu warisan budaya.

Pembinaan Dataran Pahlawan di kawasan kajian dilihat tidak sepatutnya berlaku atas apa alasan sekalipun termasuklah pelancongan. Tapak asalnya yang dikenali sebagai Padang Pahlawan merupakan tempat pertama pengisytiharan kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Ia merupakan satu nilai nostalgia yang amat tinggi. Namun, Akhirnya, nostalgia hanya tinggal nostalgia semuanya kerana terlalu mengejar pelancong atas alasan ia mampu membantu pembangunan ekonomi negeri, padang Pahlawan akhirnya di korbankan dan digantikan dengan dataran Pahlawan yang merupakan sebuah kompleks membeli belah yang besar. Tambahan pula, mengikut prinsip pemuliharaan bandar, tidak sepatutnya ada pembangunan baru dalam kawasan warisan.

Berdasarkan hujah yang diberikan, jelas sekali dalam konteks Melaka sememangnya tidak dapat dinadikan bahawa sektor pelancongan mempengaruhi survival warisan budaya. Ini bertepatan sepertimana yang pernah dikemukakan oleh Smith (2002) dan Gunn (2002). Seandainya ini tidak ditangani dengan teliti dan bersungguh-sungguh besar kemungkinan beberapa warisan budaya yang ada di kawasan kajian akan pupus secara perlahan-lahan. Ia merupakan satu kerugian yang amat besar kerana warisan budaya merupakan lambang imej dan identiti, apabila ia musnah, hilanglah imej dan identiti sesebuah kawasan mahupun bangsa. Yang paling perlu diingat, kepupusan warisan budaya tidak dapat diganti kerana penggantian ialah sekadar kosmetik dan jika ada sekalipun yang baru, nilai keasliannya (authenticity) sudah tiada (Smith, 2002).

Isu yang paling besar yang dilihat melalui kajian yang dijalankan ialah isu konflik yang timbul antara pelancongan dan warisan budaya. Dalam masa yang sama di kawasan kajian didapati bahawa warisan budaya merupakan satu kekuatan dalam menarik warisan, namun dalam masa yang sama juga seringkali warisan budaya diketepikan kerana keperluan untuk memenuhi keperluan pelancong itu sendiri telah melebihi keperluan yang sepatutnya ada untuk memastikan warisan yang ada itu terus dikekalkan.

5.0 CADANGAN ALTERNATIF

Selaras dengan keperluan untuk menghadapi cabaran urbanisasi maka terdapat pelbagai konsep dan dasar yang disediakan dengan tujuan untuk meminimumkan kesan negatif akibat proses urbanisasi dan seterusnya mewujudkan keadaan/kehidupan yang sempurna hasil daripada proses urbanisasi tersebut. Dengan itu muncullah konsep-konsep seperti Pembangunan Mampan (Sustainable Development) yang bermatlamat untuk mewujudkan sebuah bandar yang dikenali sebagai Bandar Mampan (Sustainable Cities).

Secara tafsirannya, pembangunan mampan ialah pembangunan yang dapat memenuhi keperluan pada masa sekarang tanpa menjejaskan keupayaan memenuhi keperluan pada masa depan (Pezzoli, 1996). Oleh yang demikian pembangunan bandar yang mampan perlulah mengambil kira keadilan sosial, warisan, budaya, keperluan manusia asas, kesihatan awam, kesedaran persekitaran dan lain-lain daripada pelbagai perspektif (Rujuk Rajah 5.1).

Jika berdasarkan model yang dibentuk oleh Pezzoli ini jelas sekali bahawa pembangunan mampan perlu dilaksanakan di peringkat tempatan, nasional dan global. Di samping itu, ia perlu mengambil kira kepentingan-kepentingan yang ada dalam sektor sosial, alam sekitar dan ekonomi. Dalam masa yang sama juga, beliau menekankan bahawa elemen politik dan pentadbiran yang ada perlu telus untuk mencapai matlamat pembangunan mampan yang telah ditetapkan dan dalam mencapai pembangunan yang seimbang antara sosial, ekonomi dan alam sekitar, dimensi budaya (dalam penyelidikan ini dikenali sebagai warisan budaya) juga tidak seharusnya diketepikan.

Menurut Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), pada dasarnya, pembangunan mampan mengandungi dua (2) konsep penting, iaitu konsep keperluan, terutamanya keperluan asas negara-negara miskin, dan konsep had yang banyak ditentukan oleh keadaan teknologi dan organisasi sosial terhadap keupayaan alam sekitar untuk memenuhi keperluan masa kini dan masa akan datang.

Walaupun terdapat beberapa definisi yang agak berbeza mengenai pembangunan mampan, kesemua definisi ini terdapat satu tema sejagat yang dikongsi bersama, iaitu alam sekitar (environment), masa depan (futuristic) dan kesaksamaan (equity). Kesemua definisi juga menekankan bahawa generasi akan datang perlu diberi ganti rugi (compensation) bagi apa jua kekurangan sumber yang disebabkan oleh generasi masa kini. Isu yang masih diperdebatkan hingga kini ialah cara bagaimana ganti rugi ini harus dilaksanakan.

Justeru itu, pembangunan mampan memerlukan integrasi aspek ekonomi, sosiobudaya, fizikal dan alam sekitar dalam proses pembangunan bersepadu dan sumber digunakan dengan cekap untuk memastikan taraf hidup yang tinggi dicapai tanpa mengenepikan keperluan, kepentingan dan kebajikan generasi akan datang. Untuk tujuan perancangan, aspek kemampanan masih lagi diperdebatkan. Pada mulanya penekanan diberi kepada kemampanan ekologi, walau bagaimanapun kebelakangan ini beberapa aspek kemampanan diperkenalkan termasuk:

i. Kemampanan Masyarakat;

ii. Kemampanan Ekonomi;

iii. Kemampanan Sosial;

iv. Kemampanan Budaya;

v. Kemampanan Pertanian;

vi. Kemampanan Alam Sekitar; dan

vii. Kemampanan Bandar (www.townplan.gov.my).

Oleh yang demikian satu doktrin telah diguna pakai dalam pembangunan dan perbandaran di Malaysia iaitu “Doktrin Perancangan dan Pembangunan Sejagat (DPPS)” yang merupakan salah satu strategi dalam merealisasikan pembangunan mampan.

Doktrin ini telah menekankan hubungan tiga hala iaitu:

i) Hubungan Manusia Dengan Pencipta

(Adil, ihsan, amanah, perpaduan dan mengingati pencipta)

ii) Hubungan Manusia Dengan Manusia

(Menghormati kesendirian, nilai pertemuan, keselamatan, menghormati hak, kerjasama dan perundingan) dan

iii) Hubungan Manusia Dengan Alam Sekitar

(Kebersihan, pemeliharaan alam sekitar dan penggunaan sumber yang cekap) Rujuk Rajah 5.2.

Kewujudan interaksi antara ketiga-tiga unsur ini merupakan teras kepada kekuatan doktrin ini dan selanjutnya akan menjadi asas bagi mewujudkan perancangan dan pembangunan bandar yang selesa untuk didiami oleh manusia di samping tidak mengenepikan unsur penyediaan kemudahan, alam sekitar serta sumber-sumber lain yang berterusan untuk kehidupan manusia, seterusnya mencapai aspek-aspek kemampanan yang telah dijelaskan sebelum ini.

Seperti yang diketahui umum, antara tujuan perbandaran mampan ialah untuk mewujudkan sebuah bandar yang boleh dianggap sebagai Bandar Mampan. Ini seperti yang dikemukakan oleh Elkin, Mc Laren dan Hillman:

“Sustainable urban development must aim to produce a city that is ‘user friendly’ and resourceful, in terms not only of its form and energy efficiency, but also its function, as a place for living”

(Dalam Houghton dan Hunter,1994).

Oleh yang demikian bandar yang mampan boleh dirumuskan sebagai sebuah bandar yang mampu untuk mengekalkan pencapaiannya dalam pembangunan sama ada fizikal, sosial mahupun ekonomi untuk selama-lamanya.

Apa pula peranan perbandaran mampan dalam konteks konflik antara warisan budaya dengan pelancongan?

Mungkin kata-kata Shankland boleh menjadi sebagai salah satu penghurai kepada persoalan tadi.

“A country without a past has the emptiness of a barren continent; and a city without old buildings is like a man without a memory”

(Dalam UNESCO,1975).

Selain daripada keperluan untuk mengekalkan bangunan-bangunan warisan seperti yang dikemukakan oleh Shankland, wujud juga keperluan untuk mengekalkan beberapa aspek lain kebudayaan yang menjadi amalan masyarakat sejak sekian lama. Seperti yang berlaku di kawasan kajian, warisan budaya yang ada amat unik dan sukar untuk ditemui di tempat-tempat lain. Warisan budaya seperti kereta lembu, dan Dondang Sayang, hanya dapat ditemui di kawasan kajian. Namun permerhatian dan penyelidikan yang dijalankan mendapati warisan-warisan ini akan pupus jika tiada tindakan segera yang diambil.

Oleh yang demikian, konsep pembangunan mampan perlu mencapai perbandaran mampan bagi memastikan keunikan warisan budaya terus kekal dalam menghadapi era pemodenan walaupun berdepan dengan apa sahaja cabaran termasuk pelancongan. Sebuah bandar yang ideal dan sempurna ialah sebuah bandar yang bukan hanya membangun dari aspek fizikal dan ekonomi semata-mata tetapi harus juga berupaya untuk mengekalkan elemen-elemen warisan budaya yang merupakan satu peninggalan silam yang sepatutnya dihargai.

6.0 RUMUSAN

Berdasarkan penjelasan yang dibuat, ternyata bahawa warisan budaya merupakan tarikan utama dalam sektor pelancongan di Negeri melaka. Namun demikian sama da sedar atau tidak warisan budaya ini akobat pelbagai faktor telah mengalami kerosakan dan kepupusan secara sedikit demi sedikit. Oleh yang demikian adalah diharapkan agar perhatian yang tinggi diberikan terhadap warisan budaya ini agar ia terus berkekalan di masa-masa akan datang bukan sahaja sebagai penggalak kepada sektor pelancongan tetapi juga sebagai kebangaan kepada penduduk dan masyarakat.

BIBLIOGRAFI

Ahmad Nasihin Bin Sukarni, 1999: Kajian Pelancongan: Kajian Kes Terhadap Bangunan Bersejarah Di Bandaraya Kuala Lumpur. Latihan Ilmiah Rancangan Pengajian Perbandaran dan Perancangan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Tidak Diterbitkan.

Appleyard, Donald (Ed), 1979: The Conservation Of European Cities. London: The MIT Press.

Badaruddin dan Nikmatul Adha, 2007: Perancangan Pelancongan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka

Dobby, Alan, 1978: Conservation And Planning, London: Hutchison Of London

Edward Inskep (terjemahan Che Elainee Che Hassan dan Norlida Abd Halim). 1996: Perancangan Pelancongan: Pendekatan Pembangunan Bersepadu dan Berkekalan”. Kuala Lumpur. Dewan bahasa dan Pustaka

Elkin, Mc Laren dan Hillman Dalam Houghton G dan Hunter C, 1994: Sustainable Cities. London. Cromwell Press Ltd.

Franklin A, 2003. Tourism: An Introduction. London. Sage Publication

Graham, Ashworth dan Turnbridge, 2001: Sustainable Cities. London: Cromwell Press Ltd.

Gunn.C.A, 2002. Tourism Planning: Basic Concepts, Cases. London. Routledge

Hebert, David T (Ed.), 1995: Heritage, Tourism And Society. New York: Mansell Publishing Ltd,

Jabatan Perancang Bandar dan Desa, 2005, Kajian Awal Pengekalan Kawasan Warisan Budaya.Kuala Lumpur, Tidak Diterbitkan

Kris, E. 1996. Heritage Tourism di halaman internet www.nwhf.no/

Larkham, Peter J, 1996: Conservation And The City. London: Routledge

Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2000: Laporan Pemeriksaan Rancangan Struktur Negeri Melaka (2000-2020). Melaka, Jabatan Perancang Bandar dan Desa

Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah. 2006 Rancangan Tempatan Daerah Melaka Tengah 2000-2015. Melaka

Nurhazani. 2004: Bisnes Pelancongan. Pahang. PTS

Nurulashila Khalid. 2006: Pelancongan Membeli Belah: Kepuasan pengunjung Terhadap Kemudahan-Kemudahan Awam Di Pekan Borong Nilai 3, Negeri Sembilan. Latihan Ilmiah Jabatan Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti pendidikan Sultan Idris. Tidak Diterbitkan

PERZIM. 2002: Endengered Craft. Melaka

Pleumarom.A. 2001: Mekong Tourism-Model or Mockery?: A Case Study on ‘Sustainable Tourism’. Pulau Pinang. TWN Network

Salah Wahab dan Cooper. 2003. Tourism in the Age of Globalisation. United Kingdom. Routledge

Schmoll. (1977). Tourism Promotion. London: Tourism International Press

Smith M.K. 2002. Issues In Cultural Tourism Studies. London.Routledge

Syed Zainol Abidin Idid, 1996: Pemeliharaan Warisan Rupa Bandar (Panduan Mengenali Warisan Rupa Bandar Berasaskan Inventori Bangunan Warisan Malaysia). Kuala Lumpur: Badan Warisan Malaysia.

Unesco, 1975: Conservation Of The Cities. Paris: Unesco Press.

Whittick, Anold, 1974: Encyclopedia Of Urban Planning. New York: Mc. Graw Hill Inc.


Thursday, August 07, 2008

Apa Bendanya ???


Sejak 2 minggu lalu aku terasa terlau panas hati
Entah kutu mana agaknya yang telah buat onar
hingga menyebabkan nama aku tiba-tiba dicalonkan
bukan dicalonkan untuk anugerah Festival Filem Malaysia
tapi di calonkan untuk satu kursus yang di lunakkan dengan nama "Kursus Kepimpinan"

Biar berjuta alasan yang diberikan aku tetap tidak terima
Biar apa sahaja

kalau dah kena pakai baju putih sepanjang kursus
kalau dah modulnya tentang politik dan pentadbiran
kalau dah lokasinya di kem BTN (Biro Tatanegara)

namakanlah apa sahaja yang lunak-lunak dan enak-enak

ia tetap kursus Biro Tatanegara
walaupun dipakaikan dengan 'nama' yang agak memberangsangkan