"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Friday, March 31, 2006

Ide Dari Sang Naga Di Tandas ??


Tandas bukan hanya sebuah tempat 'pelaburan'…
Tandas juga bukan hanya tempat manusia bertransformasi menjadi 'naga'
(yang boleh mengeluarkan asap berkepul-kepul dari mulut dan hidung)

Rupanya-rupanya tandas juga tempat untuk ‘menelurkan’ ide..

Terima kasih kepada sang 'naga pendeta' di dalam tandas…kerana sedikit sebanyak memberi ide dikala fikiran amat kusut dan berserabut….

STRESS !!


aduhai...
semua yang dibuat serba tak menjadi hari ini...
otak tiba-tiba beku...fikiran pula jadi buntu...
semua yang di rancang dan dicadang macam gagal semuanya...
pelik sungguh..apa agaknya yang menggangu fikiran ini....

harap petang ni ok la semuanya..
ada hanya sebulan lagi...sebelum kena praktikal
aku kena selesaikan semuanya....

Kena Praktikal ??


(Foto: Pak Kebun Sedang Praktikal)


Mesyuarat semalam membawa satu keputusan yang amat pedih lagi bodoh...
Praktikal dijadikan syarat untuk pengesahan jawatan
Lebih hodoh lagi...rasional terhadap keperluan tersebut amat memualkan
Pengalaman terdahulu selama 6 tahun bekerja (3 tahun dalam bidang yang sama)
tidak diambil kira
tempoh masa bukan pendek
3 bulan minimum masanya



Jabatan tidak mampu untuk membuat apa-apa
Semuanya telah disuarakan tetapi...
KUASA ditangan pihak Personel

Lucu dan amat pelik
setelah ramai berusaha untuk membawa ke depan..
tiba-tiba peraturan baru meminta untuk berundur semula ke belakang

Inilah jadinya bila "kaduk naik junjung"
bila "monyet mendapat bunga"
ah..pedulikan semua...

Tapi aku khuatir
tempoh 3 bulan tidak menyumbangkan apa-apa
(bukti telah nyata melalui pengalaman staff terdahulu)
produktiviti pasti takkan bertambah
masalahnya bukan sedikit....
tetapi SEMUA...(wajib pergi)
jika membantah...
takkan 'confirm' sampai mati

Otak mula membayangkan Negeri Bersejarah
terbayangkan keluarga
terkenangkan "Rumpai Laut"
terbayangkan keenakan "Kari Mamak Longkang"

ah...keputusan aku buat...
praktikal jadi "Tukang Kebun"
di Negeri Bersejarah
itulah yang seeloknya.......

Thursday, March 30, 2006

Siapa Naib Canselor UM??

Senyum Kambing: 30 Mac 2006

Pak kebun amat tertarik dengan kartun ini sewaktu membelek-belek akhbar Utusan pagi ini...

"Siapa Bakal Naib Canselor UM?"

Walaupun ada yang melihatnya sebagai bukan isu nasional., namun Pak Kebun melihatnya dari perspektif yang berbeza. Sebagai "anak kandung" dan juga bekas staff Universiti ini, yang kini berada di luar UM, tetapi Pak Kebun masih melihat senario perkembangan yang berlaku di UM.

UM kini banyak berubah berbanding semasa zaman pak kebun dahulu, kawalan keselamatan semakin ketat, pakaian pelajar semakin kemas (dulu Pak Kebun hanya pakai jeans koyak dan rambut dibiar ke paras bahu), kemudahan semakin pelbagai, pensyarah pun byk yang ada Phd, fasiliti semakin baik dan macam-macam lagi yang positif telah berlaku.

Sebagai Universiti tertua, Pak Kebun berpendapat UM harus di tadbir oleh golongan akademik. Sebagai Universiti yang ulung di Malaysia, Pak Kebun tidak mahu lihat UM di tadbir oleh pada PTD seperti mana yang pernah berlaku dahulu dan juga yang sedang berlaku di beberapa buah universiti di Malaysia.

Tradisi kecemerlangan..perlu dikekalkan...dan yang paling penting dan lebih manis lagi jika pemimpin dan pentadbir UM bukanlah dari golongan yang kerjanya hanya "mengembirikan" pelajar sahaja..

UM pernah mengukir sejarah gemilang...namun UM juga pernah menerima kecaman dan cemuhan apabila jatuh ketangga yang memalukan dalam senarai 100 universiti terbaik dunia.

Harapan Pak Kebun, biarlah Naib Canselor baru ini mampu mengembalikan semula sinar yang semakin kelam di UM..

Cuma....membaca komen sinis dalam Senyum Kambing ini membuatkan Pak Kebun terfikir...siapakah wanita yang disarankan sebagai Naib canselor di UM oleh kartun tersebut...

kerana.."jika tiada angin..masakan pokok boleh bergoyang"

Wednesday, March 29, 2006

Makan Orang Besar-Besar

Makan dengan orang Besar-Besar majoritinya streotaip di mana-mana majlis sekalipun...

Mula-mula tunggu VVIP,
tetamu yang ada sembang dan borak...
cakap-cakap..gelak-gelak
cakap-cakap..gelak-gelak...

VVIP tiba,
semua yang ada berdiri...
bersalam...
Datuk, Tan Sri...sambil senyum...

Sebelum VVIP berucap...
akan ada sembang-sembang kosong dengan hadirin....
cakap-cakap...gelak-gelak
cakap-cakap...gelak-gelak

Pengacara mulakan majlis..
(ucapan-kata-kata aluan panjang berjela..ampu-kipas..ampu-kipas)
VVIP berucap dan majlis makan bermula..
ambil makanan sikit-sikit-kena tertib
malu kalau VVIP nampak
(padahal perut memang tengah kebulur)

Sambil-sambil makan..
wakil hadirin beri ucapan...
"terima kasih datuk-datuk...kerana sudi jemput kami makan bersama"
"Kami terkejut dapat undangan sebegini...."
"Inilah kali pertama kami dijemput sebegini...."
(Ampu-kipas..ampu-kipas...aku rasa nak muntah..)
Selesai makan...
berebut-rebut hulur tangan salam VVIP
(macamlah boleh dapat pahala)
sambil muka senyum
dan mulut ucapkan terima kasih yang tak terhingga...
Semua hadirin keluar,
tinggal siperamusaji dengan tugasannya
tukang ampu dan kipas pulang dengan senyuman berjela..
kononnya si VVIP dah kenal dia..
( senang untuk dapat peluang di lain-masa)
Aku..perut masih kebulur
singgah kedai dan pekena moi sup lagi bagus....
entahlah.....

Tuesday, March 28, 2006

Perundangan Dalam Perancangan Bandar Di Malaysia




*Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam suatu seminar di Negeri Melaka pada 2 April 2004. Tajuk asalnya ialah "Perundangan Dalam Perancangan Bandar: Isu-Isu Yang Membelenggu Perancangan Bandar Di Malaysia" .
**Walaubagaimanapun, kertas kerja ini sedang dimurnikan untuk tujuan penerbitan. Oleh itu, sebarang usaha plagiat adalah dilarang.
PERUNDANGAN DALAM PERANCANGAN BANDAR:
SATU TINJAUAN TERHADAP AKTA 172 DAN PERANANNYA DALAM KONTEKS PEMULIHARAAN BANDAR

Oleh

Pak Kebun
Pegawai Perancang Bandar (Penyelidikan)
**** Planning Consult

Abstrak
Perancangan ialah sesuatu yang bersifat masa depan. Dalam bahasa yang mudah, perancangan dijalankan bagi memastikan masa hadapan yang bakal dilalui berada dalam keadaan yang selesa dan tenteram. Dalam aspek Perancangan Bandar, perancangan bersifat masa hadapan yang mempunyai visi bagi mewujudkan sebuah kawasan yang harmoni dan sejahtera. Iaitu kesimbangan antara penduduk dengan alam sekitar.

Bagi memastikan segala perancangan yang dicadangkan mencapai kejayaan, undang-undang perlu ada. Ini kerana undang-undang bersifat “wajib’ yang mesti dipatuhi dan diikuti oleh setiap golongan yang terlibat dalam bidang Perancangan Bandar ini.

Kertas kerja ini terbahagi kepada dua fokus utama. Pertama ia akan cuba melihat aspek perundangan dalam bidang Perancangan Bandar dan Desa di Malaysia. Oleh itu ia meliputi sejarah perundangan dalam bidang ini di Malaysia, perundangan-perundangan yang berkaitan serta penambahan-penambahan utama yang ada dalam akta utama dalam bidang Perancangan Bandar dan Desa di Malaysia (Akta 172).

Keduanya ia akan memfokus tentang peranan akta ini (Akta 172) dalam proses pemuliharaan bandar di Malaysia dan analisis kekuatan dan kelemahannya.


1.0: Pengenalan
Di zaman-zaman awal, semasa tiada peraturan dan sekatan terhadap penggunaan tanah, pemilik-pemilik tanah bebas untuk menjalankan sebarang pembangunan ke atas tanah mereka tanpa ada sebarang sekatan mahupun larangan. Akibat dari itu, timbul beberapa masalah seperti berlakunya pembangunan tanah yang tidak teratur serta ketiadaan panduan kepada penggunaan tanah dan juga pembangunan tanah untuk meningkatkan kualiti persekitaran fizikal (Ismail Ibrahim,2000:1).

Selaras dengan kesedaran terhadap ideologi “kepentingan awam melebihi kepentingan individu” maka wujudlah keperluan supaya hak terhadap pembangunan dan pemajuan tanah perlu dikawal agar ianya tidak menimbulkan masalah kepada awam.

Pada hakikatnya, aktiviti perancangan bandar bolehlah diterjemahkan sebagai “satu proses persediaan, terdahulu dan di dalam bentuk teratur, cadangan-cadangan bagi dasar-dasar dan tindakan untuk mencapai tujuan yang tertentu” (JPBD,2001:1). Selain itu ia juga membawa maksud “pengawalan terhadap pembagunan dengan cara mengawal tanah” (JPBD,2001:1).

Namun yang nyata, bila membincangkan tentang sejarah perancangan bandar, sejarah perundangannya juga tidak harus diabaikan. Ini kerana di Malaysia, sejarah perancangan bandar berkembang selari dengan perundangan dalam bidang perancangan bandar itu sendiri.

2.0: Sejarah Perundangan Perancangan Bandar di Malaysia
Dalam konteks Malaysia dari perspektif sejarah, ciri-ciri perancangan bandar telah mula dapat di kesan sejak tahun 1801 lagi. Ini dibuktikan dengan kewujudan satu jawatankuasa yang diberi nama “Committee of Accessors” (Jawatankuasa Penilai) di Pulau Pinang. Jawatankuasa ini berperanan sebagai kerajaan tempatan dalam merancang dan melaksanakan pembangunan di Pulau Pinang (Ahmad Atory Hussain,1991:96).

Pada tahun 1917, “Town Improvement Enactment” telah diperkenalkan dan ini merupakan kali pertama aktiviti perancangan bandar dikanunkan di Negeri-Negeri Tanah Melayu (Ismail Ibrahim,2000:2). “Town Improvement Enactment” ini telah memperkenalkan konsep pembaikan atau pemulihan bandar melalui skim perancangan bandar. Skim ini, akan menunjukkan jalan, lorong belakang dan kawasan lapang yang diperlukan ke arah mewujudkan tahap kesihatan awam, keselesaan dan kemudahan yang berkaitan dengan penentuan dan susunatur kegunaan tanah serta kawasan-kawasan berjiran (Ismail Ibrahim,2000:2)

Walaubagaimanapun, perancangan bandar secara rasminya bermula di Malaysia pada tahun 1921, apabila Charles Crompton Reade dilantik sebagai “Penasihat Perancang Bandar” (Town Planning Advisor) bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (Goh Ban Lee,91:37). Selaras dengan perlantikan Reade sebagai “Penasihat Perancang Bandar” di Persekutuan Tanah Melayu, beliau telah mencadangkan agar diwujudkan satu undang-undang perancangan bandar yang agak sistematik di Persekutuan Tanah Melayu pada masa tersebut.

Menurut Reade, keadaan di Persekutuan Tanah Melayu amat menggalakkan jika dibandingkan dengan keadaan bandaraya lain di dunia. Beliau juga telah memuji pentadbir jajahan kerana berjaya menyusun pusat bandar serta peruntukan-kawasan-kawasan untuk padang, bangunan awam, pejabat kerajaan, tempat penginapan dan kadangkala kawasan yang luas sebagai tanah kerajaan dan taman (Lee Lik Ming,2001:3).

Walaubagaimanapun, beliau menegaskan ada beberapa masalah dalam sistem perancangan bandar di Persekutuan Tanah Melayu pada masa tersebut antaranya seperti ketiadaan undang-undang perancangan bandar cekap dan efisien serta isu ketiadaan halangan/had terhadap hak seseorang pemilik untuk membangunkan tanah-tanahnya (Lee Lik Meng,2001:3)

Akhirnya pada tahun 1923, “Enakmen Perancangan Bandar” (Town Planning Enactment) telah diperkenalkan. Enakmen ini ditafsirkan oleh Goh Ban Lee sebagai:

“It was a very comprehensive planning act, incorporating provisions for planning, development control and powers to implement town improvement schemes. It also had provisions to regulate buildings, including the extension of houses, and the acquisition, sale and leasing of land. Most significantly, it gaves the town planner tremendous executive powers in the planning and development of land” (1991:41)

Walaupun begitu, enakmen 1923 ini turut mempunyai kelemahan. Antaranya ialah menuntut pemilik tanah supaya menyerahkan tanah mereka untuk kemudahan awam seperti jalanraya dan sebagainya tanpa dibayar apa-apa pampasan (Lee Lik Meng,2001:3). Akibat desakan dari pelbagai pihak terutamanya dari orang awam enakmen ini telah dikaji semula.

Pada tahun 1927, ia dipinda dengan kerajaan berjanji akan membayar gantirugi untuk tanah yang diambil untuk kemudahan awam. Pada tahun 1930, enakmen tahun 1927 ini telah dimasukkan dalam bahagian IX (Perancangan Bandar) dalam Enakmen Lembaga Sanitari (Lee Lik Meng,2001:3).

Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia mula mencapai pembangunan yang pesat dari aspek ekonomi, sosial dan juga pembandaran. Ini merupakan hasil dari pelbagai dasar dan perancangan yang telah dibuat oleh pihak kerajaan. Kemajuan dan pembangunan ini mengakibatkan wujudnya keperluan untuk menyemak semula peruntukan perundangan dalam bidang perancangan bandar agar ia selaras arus pembangunan semasa.

Maka, pada awal tahun 1970an, kerajaan telah mengarahkan satu kajian menyeluruh dibuat ke atas sistem Perancangan Bandar dan Desa yang sedia ada dan seterusnya meminta supaya digubal satu sistem (perundangan) dalam bidang perancangan bandar dan desa yang lebih dinamik dan berdaya maju (Ismail Ibrahim,2000:4). Oleh itu, lahirlah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

3.0: Perundangan Yang Berkaitan Dengan Perancangan Bandar Di Malaysia
Dalam memperkatakan tentang perundangan dalam aktiviti perancangan Bandar dan desa dsi melaysia, pada realitinya terdapat plbagai peruntuakn perundangan/akta-akta yang berkaitan dengan bidang ini selain dari perundangan yang uatama iaitu Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172). Antara akta/perundangan yang turut mempunyai perkaitan dengan bidang Perancangan Bandar dan Desa ialah:

a) Kerajaan Tempatan
· Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171)
· Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1962 (Akta 267)
· Akta Lembaga Pembangunan Langkawi 1990 (Akta 423)
· Akta Perbadanan Labuan 2001 (Akta 609)
· Enakmen Lembaga Bandaran (Cap 137)

b) Tanah
· Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56)
· Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486)
· Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318)
· Akta Pemeliharaan Tanah 1960 (Akta 385)

c) Bangunan
· Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133)
· Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984

d) Alam Sekitar
· Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127)

e) Infrastruktur dan Utiliti
· Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447)
· Akta Perkhidmatan Pembentungan 1993 (Akta 508)

f) Perumahan
· Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446)
· Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 (Akta 118)

g) Perkhidmatan
· Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341)
· Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506)

h) Warisan
· Akta Benda Purba 1976 (Akta 168)
(JBBD, 2003)


4.0: Akta 172 (A 1129)-Tinjauan Am
Selaras dengan beberapa kelemahan yang timbul dalam peruntukan perundangan yang terdahulu darinya dan ditambah pula dengan keperluan untuk mewujudkan satu sistem perancangan bandar yang bersifat dinamik dan berdaya maju, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) telah diperkenalkan. Penyediaannya ialah berdasarkan peruntukan perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, bidang perancangan bandar merupakan satu bidang yang terletak dalam “Senarai Bersama” (concurrent list). Ini membawa maksud bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sama-sama memainkan peranan dalam merealisasikan kejayaan dalam bidang ini di Malaysia.

Akta 172 ini secara keseluruhannya mempunyai 12 bahagian. Ia telah melalui 3 kali pindaan iaitu pada tahun 1993 (Akta A 866), 1995 (Akta A 933) dan yang terbaru pada tahun 2001(Akta A 1129)
2. Pindaan dalam akta dibuat berdasarkan keperluan-keperluan semasa. Sebagai contoh pindaan pada tahun 1995 (A 933) dibuat berdasarkan keperluan terhadap alam sekitar. Begitu juga halnya dengan pindaan pada tahun 1993 (A 866) dan 2001 (A 1129).

Secara umumnya peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Akta 172 ini adalah seperti berikut:
I. Permulaan
II. Dasar dan Pentadbiran
II A. Jawatankuasa Perancang Wilayah
II B. Rancangan Fizikal Negara
III. Rancangan Pemajuan
IV. Pengawalan Rancangan
V. Bayaran Pemajuan
V A. Perintah Pemeliharaan Pokok
VI. Lembaga Rayuan
VII. Notis Beli dan Pengambilan Tanah
VIII. Kawasan-Kawasan Pemajuan
IX. Peruntukan-Peruntukan Pelbagai

Peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Akta 172 ini mempunyai beberapa penekanan tertentu. Umpamanya, penekanan kepada penyediaan pelan-pelan pembangunan yang bertujuan untuk memastikan pemeliharaan, pemajuan dan penggunaan tanah dan bangunan yang teratur serta selamat untuk kesejahteraan rakyat (Ismail Ibrahim,2001:1).

Pindaannya pada tahun 2001 juga dilihat memberikan beberapa pembaharuan dalam konteks penyediaan pelan-pelan pembangunan iaitu dengan penubuhan “Majlis Perancang Fizikal Negara” (Seksyen 2A(1)) dan penyediaan “Rancangan Fizikal Negara” (Seksyen 6(b)). Penambahan kedua-dua seksyen (yang telah disebutkan tadi) dalam Akta 172 ini dijangkakan mampu untuk memantap dan memperkemaskan lagi sistem perancangan bandar di Malaysia.


5.0: Pembaharuan-Pembaharuan Dalam Akta A 1129: Tinjauan Ringkas
Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, pendaan-pindaan dalam Akta 172 adalah disebabkan oleh beberapa sebab dan isu penting yang memerlukan pendekatan serta penyelesaian yang lebih efektif. Begitu juga halnya dengan pindaan akta ini pada tahun 2001. Secara keseluruhannya, pindaan dalam akta ini pada tahun 2001 dilihat mampu merealisasikan system perancangan Bandar dan desa yang lebih berkesan di Malaysia berbanding sebelumnya. Secara ringkas, pindaan-pindaan penting yang terdapat dalam Akta A1129 ini ialah seperti berikut:

i. Seksyen 2a : Majlis Perancang Fizikal Negara (Penubuhan, keahlian serta tugas-tugasnya)
ii. Seksyen 2 b: Ketua Pengarah Perancang Bandar dan Desa (Tugas-tugasnya)
iii. Seksyen 5: Pengarah Negeri sebagai Pihak Berkuasa Perancang Tempatan
iv. Bahagian II a: Jawatankuasa Perancang Wilayah (Penubuhan, keahlian serta tugas-tugasnya)
v. Bahagian II b: Rancangan Fizikal Negara (Penyediaan dan kandungan)
vi. Seksyen 11: Kajian semula/pengubahan Rancangan Struktur
vii. Seksyen 11 a : Tatacara kajian semula Rancangan Struktur
viii. Seksyen 11 b : Tatacara bagi pengubahan Rancangan Struktur
ix. Seksyen 12 a: Seranta awal bagi penyediaan Draf Rancangan Tempatan
x. Seksyen 15 (f) (5) dan (6): Perselisihan antara Rancangan Struktur dengan Rancangan Tempatan
xi. Seksyen 16 b: Rancangan Kawasan Khas
xii. Seksyen 26, 27, 28, 29 dan 30: Tambahan Penalti (Denda)
xiii. Seksyen 31 a: Ketidakselarasan antara Undang-Undang kecil bangunan dengan Rancangan Pemajuan
xiv. Seksyen 35 a, e dan h: Tambahan Penalti (Denda)

6.0: Peranan Akta 172 Dalam Konteks Pemuliharaan Bandar
Di Malaysia, akta yang menumpu kepada aktiviti pemuliharaan bandar (pemuliharaan kawasan, tapak dan bangunan warisan) ialah Akta Benda Purba 1976 (Akta 168). Walaupun begitu, dalam konteks pemuliharaan bandar, beberapa peruntukan yang telah digariskan oleh Akta 172 tidak boleh dipandang sepi.

Walaupun tidak seperti Akta 168 yang memberikan kuasa kepada pihak-pihak tertentu untuk mewarta dan juga membeli/menyewa/mengambil sesebuah bangunan warisan, tetapi apa yang jelas ialah beberapa peruntukan yang terkandung dalam akta ini memberikan sedikit kelebihan terhadap bangunan warisan untuk terus dipelihara dan dikekalkan seandainya peruntukan yang ada digunapakai dengan sempurna.

Secara rumusannya, peruntukan-peruntukan dalam bidang pemuliharaan bandar sepertimana yang digariskan oleh Akta 172 bolehlah di bahagikan kepada 3 bentuk yang utama:

i. Kebenaran Merancang
Jika berdasarkan kepada peruntukan yang ada dalam akta ini, “Kebenaran Merancang”
3 perlulah diperolehi dari Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) sesebuah kawasan sebelum satu-satu “pembangunan/pemajuan” itu dijalankan di sesebuah kawasan.

Mengikut peruntukan yang ada dalam Akta 172 ini, seandainya sesebuah kawasan yang ingin dimajukan/dibangunkan itu PBPTnya merupakan Kerajaan Tempatan (seperti Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah), maka “kebenaran merancang” haruslah dipohon dari Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah tadi. Bagi kawasan yang tidak mempunyai Kerajaan Tempatan pula, PBPT bagi kawasan tersebut ialah Jabatan Perancang Bandar dan Desa (Negeri) (JPBD Negeri) di negeri tempat terletaknya kawasan tersebut. Oleh itu, urusan “Kebenaran Merancang, hendaklah dipohon daripada Pengarah, JPBD negeri tersebut.

Penekanan tentang “kebenaran merancang” dengan jelas telah dinyatakan mengikut peruntukan dalam seksyen 19(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1972 yang berbunyi:
“Tiada seorang pun, selain dari Pihak Berkuasa Tempatan, boleh memula, mengusaha atau menjalankan apa-apa pemajuan melainkan “Kebenaran Merancang” berkenaan dengan pemajuan itu telah diberikan kepadanya.

Walaubagaimanapun, untuk memperolehi “kebenaran merancang” ini, beberapa keperluan serta prosedur perlulah dipenuhi dan dipatuhi terlebih dahulu. Harus diketahui bahawa setiap “pembangunan/pemajuan”4 perlu memperolehi “kebenaran merancang”. Oleh itu, setiap pembangunan/pemajuan yang dijalankan tanpa terlebih dahulu memperolehi “kebenaran merancang” dari pihak yang berkenaan (samada PBPT ataupun Pengarah JPBD Negeri) merupakan satu kesalahan. Pihak yang melakukannya boleh didakwa. Jika sabit kesalahan denda boleh dikenakan.

Bagi sesiapa yang menjalankan aktiviti pembangunan/pemajuan tanpa memperolehi “kebenaran merancang” seperti yang telah dinyatakan dalam seksyen 19(1), seksyen 26 Akta 172 ini membolehkan pelaku perbuatan tersebut didakwa. Jika sabit kesalahan, denda maksimum sebanyak tidak melebihi RM 500,000.00 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebih 2 tahun atau kedua-duanya serta denda sebanyak RM 5000 bagi tiap-tiap hari kesalahan tersebut dilakukan.

Seksyen 22 (5) (i)(j)(k) pula, telah memperuntukkan beberapa keperluan dan syarat yang perlu diikuti dan dipatuhi sekiranya seseorang/mana-mana pihak ingin memperolehi “kebenaran merancang”. Ini boleh dilihat seperti berikut:

a) Jika pemajuan melibatkan pendirian sesuatu bangunan baru atau pendirian semula atau perluasan sesuatu bangunan atau sebahagian daripanya syarat-syarat untuk memastikan bangunan baru itu bersepadu dengan senibina, ciri atau rupa yang tergambar pada bangunan-bangunan yang terletak disekelilingnya, yang PBPT berhasrat untuk melindungi, memelihara atau mengindahkan (seksyen 22(5)(i))

b) Jika pemajuan melibatkan apa-apa tambahan kepada atau pengubahan suatu bangunan yang sedia Ada yang mempunyai kepentingan sendiri atau senibina sejarah, syarat-syarat untuk memastikan muka bangunan dan ciri luaran lain bangunan itu dikekalkan (seksyen 22(5)(j))

c) Jika pemajuan melibatkan pendirian semula suatu bangunan yang mempunyai senibina tersendiri atau kepentingan sejarah atau perobohannya dan pendirian suatu bangunan baru di tempatnya, syarat-syarat untuk memastikan muka bangunan dan ciri luaran lain bangunan yang dirobohkan itu akan dikekalkan (seksyen 22(5)(k)).

Keperluan-keperluan yang ada dalam seksyen ini jelas berkaitan dengan pemuliharaan dan pengekalan bangunan warisan. Antaranya ialah keperluan untuk mengekalkan “muka bangunan” (fasad) serta ciri-ciri luaran bangunan warisan, seandainya satu-satu pembangunan atau pemajuan itu akan melibatkan pengubahsuaian, perobohan ataupun pendirian semula bangunan warisan tersebut.

ii. Rancangan Pemajuan
Dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) ini, satu sistem pembangunan yang komprehensif telah diperkenalkan. Ia dikenali sebagai “Sistem Rancangan Pemajuan”
5. Melalui sistem ini, Rancangan Fizikal Negara disediakan oleh Ketua Pengarah JPBD, Rancangan Struktur disediakan oleh Pengarah JPBD Negeri manakala PBPT pula dikehendaki menyediakan Rancangan Tempatan.

Menurut peruntukan Akta 172, seksyen 12(3)(a)(viii) menyatakan bahawa satu-satu Rancangan Pemajuan (dengan rujukan khusus kepada rancangan tempatan) perlu membuat rumusan yang mengandungi perincian yang difikirkan sesuai oleh PBPT mengenai cadangan untuk memelihara dan mengindah ciri-ciri rupa bangunan dalam kawasan rancangan pemajuan (rancangan tempatan) tersebut. Ini jelas melalui pernyataan yang yang berbunyi:

“Sesuatu Draf Rancangan Tempatan hendaklah mengandungi suatu peta dan pernyataan bertulis dan hendaklah membuat rumusan yang mengandungi apa-apa perincian yang difikirkan sesuai oleh PBPT mengenai cadangannya bagi memelihara dan mengindahkan ciri dan rupa bangunan dalam kawasan rancangan tempatan”
(seksyen 12(3)(viii))


Walaubagaimanapun, keperluan yang sebegini tidak pula begitu ditekankan dalam proses penyediaan Rancangan Struktur.

Mengapa senario sebegini berlaku?

Ingin dijelaskan bahawa Rancangan Sstruktur merupakan satu pernyataan bertulis terhadap dasar dan cadangan-cadangan am untuk pemajuan dan pembangunan tanah termasuklah langkah-langkah memperelokkan alam sekitar dari segi fizikal dan lain-lain di sesebuah kawasan. Perincian terhadap peruntukan-peruntukan ini hanya dapat ditemui dalam rancangan tempatan. Oleh yang demikian, ketidakwujudan peruntukan terhadap pemuliharaan bandar dalam penyediaan rancangan struktur tidak perlu dipersoalkan.

iii. Laporan Cadangan Pemajuan
6
Selain itu, di bawah seksyen 21 A(d)(iii) akta yang sama pula telah memperuntukkan bahawa sesiapa yang ingin memperoleh kebenaran merancang, perlulah menyediakan Laporan Cadangan Pemajuan (LCP) yang mengandungi butir-butir bangunan yang berkenaan.

Dalam kes ini, jika kawasan yang hendak dibangun/dimajukan mempunyai tapak dan bangunan warisan, LCP harus menyertakan butir-butir bangunan warisan tersebut, menyenaraikan kegunaannya, rupa binaannya dan bentuk serta langkah-langkah melindungi, memelihara dan mengindahkannya seperti mana yang diperuntukkan di bawah peruntukan seksyen 21 B (1)(b) yang berbunyi seperti berikut:
“Pelan-pelan susunatur di bawah perenggan (f), seksyen 21A(1) hendaklah menunjukkan pemajuan yang dicadangkan dan khususnya jika pemajuan itu berkenaan dengan sesuatu bangunan yang mempunyai senibina yang tersendiri atau kepentingan sejarah, butir-butir untuk mengenalpasti bangunan itu termasuklah kegunaannya dan keadaannya, serta ciri-cirinya, rupanya, binaannyadan bentuknya yang tersendiri dan langkah-langkah bagi melindunginya, memeliharanya dan mengindahkannya”

iv. Kuasa Pihak Berkuasa Negeri
Akhir sekali, Akta 172 melalui peruntukannya dalam seksyen 58 (2)(f) yang berbunyi:

“Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat kaedah-kaedah untuk menjalankan maksud-maksud akta ini khususnya dan tanpa menyentuh keluasan seksyen-seksyen kecil (1), kaedah-kaedah yang dibuat dibawah seksyen-seksyen kecil itu boleh memperuntukkan perlindungan bagi tugu-tugu lama dan tanah dan bangunan yang mempunyai kepentingan sejarah atau senibina”

Akta ini dilihat telah memberikan kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk membuat peraturan, kaedah-kaedah serta garis panduan yang difikirkan perlu bagi tujuan penjagaan monumen lama dan tanah serta bangunan warisan yang mempunyai kepentingan sejarah dan senibina.

7.0: Peruntukan Akta 172: Satu Analisis
Setelah dibincangkan dalam bahagian yang sebelumnya, jelas dapat dilihat bahawa walaupun Akta 172 ini bukanlah merupakan satu akta yang berpegang kepada aktiviti pemuliharaan bandar secara langsung, tetapi berdasarkan beberapa peruntukannya bolehlah dirumuskan bawah akta ini turut juga memberikan sedikit penekanan terhadap aktiviti pemuliharaan bandar di Malaysia.

Peruntukan seksyen 26, akta ini yang menyatakan bahawa mana-mana pembangunan/pemajuan yang dijalankan tanpa memperoleh “kebenaran merancang” terlebih dahulu merupakan satu kesalahan sedikit sebanyak telah diimplementasikan. Satu kes yang boleh dirujuk sebagai contoh terbaik yang menunjukkan belakunya pelanggaran terhadap peruntukan seksyen 19(1)) dan penguatkuasaan seksyen 26 Akta 172 ialah dalam peristiwa perobohan/pemusnahan Hotel Metropole, Pulau Pinang pada tahun 1993.

Akibat dari tindakan tersebut, syarikat yang merobohkan hotel tersebut telah dihadapkan ke mahkamah atas perbuatannya yang menjalankan kerja-kerja tersebut tanpa memperoleh “kebenaran merancang” seperti yang termaktub dalam seksyen 19(1), Akta 172.

Setelah dibicarakan, mahkamah mendapati pihak yang berkenaan (Dolphin Square Sdn Bhd) telah sabit kesalahan. Oleh itu, mahkamah telah membuat keputusan supaya syarikat tersebut dikenakan hukuman denda sebanyak RM 10 000 atau penjara selama 10 bulan kerana kesalahan yang telah dilakukannya itu (Sewaktu kes ini dibicarakan Akta 172 masih lagi belum membuat peruntukan-peruntukan tambahan seperti yang terkandung dalam Akta A 1129).

Selain itu, peruntukan dalam seksyen 12(3)(a)(viii), Akta 172 telah menyarankan agar PBPT menyediakan cadangan-cadangan yang boleh memelihara dan mengindahkan ciri dan rupa bangunan dalam Rancangan Tempatannya. Dalam hal ini, ada beberapa PBPT dilihat telah menggunapakai peruntukan ini. Antaranya PBPT ialah ialah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MPMBB) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Secara umumnya, peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan pemuliharaan bandar seperti yang termaktub dalam Akta 172 masih lagi mencukupi pada ketika ini. Walaupun begitu, ini tidak bermaksud segala peruntukan yang ada telah sempurna. Beberapa peruntukan baru seharusnya ditambah di masa-masa akan datang seperti peruntukan kuasa kepada PBPT untuk mengeluarkan “Perintah Pemeliharaan” (Preservation Order) ataupun “Notis Pemeliharaan” (Preservation Notice).

“Preservation/Notice Order” ini lebih merupakan satu arahan daripada PBPT kepada pemilik atau penghuni sesebuah tapak dan bangunan warisan (yang mempunyai keistimewaan-keistimewaan seperti nilai senibina atau sejarah) dalam kawasan PBPT tersebut supaya menjaga, mengawal dan mengekalkan keistimewaan-keistimewaan tersebut agar bangunan tersebut terus wujud seperti keadaan asalnya. “Preservation Order” ini telah dilaksanakan di United Kingdom (UK) sejak tahun 1932 lagi melalui peruntukan dalam “Town and Country Planning Act” (Kennet W,1972:39).

Dalam Akta 172 juga, tidak ditemui apa-apa peruntukan yang “mewajibkan” setiap PBPT untuk menyediakan “Garispanduan Pemuliharaan Bandar” untuk kawasan dalam lingkungan pentadbirannya dan seterusnya kewajipan untuk menubuhkan satu unit khas bagi melaksanakan garispanduan tersebut. Penyediaan garispanduan pemuliharaan dan unit khas ini penting kerana majoriti kawasan dalam lingkungan PBPT di Malaysia, mempunyai warisan masing-masing samada dalam bentuk kawasan, tapak mahupun bangunan.

Walaupun kebanyakan darinya memanglah tidak sehebat seperti yang ada di Melaka, Pulau Pinang, Perak ataupun Kuala Lumpur. Tetapi, tinggalan warisan (bangunan terutamanya) mampu menggambarkan budaya, imej dan identiti bandar/pekan dan masyarakatn. Jadi keperluan untuk pemuliharaan tidak seharusnya diabaikan walaupun ia terletak di pekan-pekan kecil yang agak mundur.

Sememangnya tidak dinafikan bahawa ada antara PBPT yang mengambil berat dalam hal ini dengan menyediakan garispanduan-garispanduan tertentu serta menubuhkan unit-unit yang berperanan dalam melaksanakan garispanduan tersebut. Namun begitu, jumlahnya amat mengecewakan. Mungkin, kerana tiadanya peruntukan dalam Akta 172 yang mewajibkan supaya perkara ini dilaksanakan sedikit sebanyak menyumbang kepada keadaan ini untuk berlaku.

8.0: Rumusan
Bidang perancangan ialah satu bidang yang dinamik dan fleksibel. Oleh itu, ia sentiasa berubah demi mencapai kesempurnaan. Salah satu dari pendekatannya ialah dengan sentiasa menambah baik peruntukan-peruntukan perundangan yang ada dalam bidang Perancangan Bandar dan Desa ini bagi memastikan ia mampu membantu kepada penghasilan kehidupan yang sempurna, berkualiti dan harmoni.

Dalam konteks pemuliharaan bandar, jelas bahawa peruntukan dalam Akta 172 dilihat mampu menyumbang kepada keberkesanan amalan. Namun begitu ia masih lagi memebrlukan beberapa penambahbaikan untuk memastikan ia mampu menyumbang secara maksima dalam proses pemuliharaan bandar di Malaysia.

Bibliografi
Ahmad Atory Hussin, 1991: Kerajaan Tempatan: Teori dan Peranan Di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Goh Ban Lee, 1991: Urban Planning In Malaysia: History, Assumptions and Issues. Petaling Jaya, Selangor: Tempo Publishing.

Ismail Ibrahim, 2002: Pengenalan Kepada Prosedur Dan Amalan Perancangan Bandar Dan Desa. Kuala Lumpur: Jabatan Perancangan Bandar dan Desa. Tidak Diterbitkan.

Lee Lik Ming,1990: Town and Planning In Malaysia: History and Legislation. Pulau Pinang. Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah, 2002: Draf Pelan Tindakan Kawasan Pemeliharaan Zon 1 MPMBB. Melaka: Unit Konservasi

Majlis Perbandaran Pulau Pinang, 1985: Laporan Pemeriksaan Rancangan Struktur Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Pulau Pinang: Jabatan Perancangan Bandar dan Pembangunan

Majlis Perbandaran Pulau Pinang: 2000: Draf Rancangan Struktur (Pengubahan) Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Pulau Pinang: Jabatan Perancangan Bandar dan Pembangunan

Malaysia, 1976: Akta Benda Purba (Akta 168). Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Negara

Malaysia, 1998: Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171). Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Negara

Malaysia, 1998: Akta Perancangan Bandar Dan Desa (Akta 172). Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Negara

Perbadanan Muzium Melaka, 1996: Pelan Tindakan Kawasan Warisan Melaka: Jalan Tun Tan Cheng Lock dan Jalan Gelanggang. Melaka: Perbadanan Muzium Melaka

Phang Siew Nooi, 1996: Sistem Kerajaan Tempatan Di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Yazid Saleh, 2003: Pemuliharaan Bangunan Warisan: Kajian Kes di Melaka dan Pulau Pinang Rancangan Pengajian Perbandaran dan Perancangan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Tidak Diterbitkan.


2 Perbincangan dalam artikel ini akan menggunakan peruntukan-peruntukan Akta 172 berserta pindaannya yang dibuat pada tahun 2001 (A 1129). Setiap huraian adalah berasakan kepada kata dan pindaan tersebut kecuali dinyatakan.

3 “Kebenaran Merancang” membawa maksud “kebenaran yang diberi, dengan atau tanpa syarat untuk menjalankan pemajuan” (maklumat lanjut sila rujuk Bahagian IV Akta 172: Pengawalan Rancangan.

4 Mengikut Seksyen 2 (1) Akta 172 ini, “Pembangunan/Pemajuan” membawa maksud menjalankan apa-apa kerja bangunan, kejuteraan, perlombongan, perindustrian atau apa-apa kerja lain yang seumpanya pada, di atas, di sebelah atas atau di bawah tanah, membuat perubahan matan tentang penggunaan sesuatu tanah atau bangunan atau mana-mana bahagian daripadanya, atau memecah sempadan atau mencantumkannya serta membangun atau memaju pada tafsiran yang sewajarnya.

Walaubagaimanapun, dalam bahasa yang mudah, “Pembangunan/Pemajuan” memberikan tiga maksud yang jelas iaitu:
i) Kerja-kerja operasi-Aktiviti-aktiviti fizikal seperti merobohkan bangunan, mendirikan bangunan, perlombongan dan sebagainya.
ii) Penggunaan yang membawa kepada perubahan matan.
iii) Kerja-kerja pecah sempadan dan penyatuan tanah.
Manakala dalam Seksyen yang sama juga mendefinisikan “Kerja Bangunan” sebagai meruntuh, mendiri, mendirikan semula atau meluaskan sesuatu bangunan atau sebahagian daripadanya. Ini membuktikan bahawa kerja-kerja meruntuhkan bangunan (termasuk juga bangunan warisan) merupakan sebahagian dari kerja “Pemajuan/pembangunan” yang memerlukan “Kebenaran Merancang”.

5 Ia merupakan satu rancangan/pernyataan bertulis yang mengandungi dasar dan cadangan bagi memenuhi keperluan sosial dan ekonomi penduduk melalui pembentukan struktur fizikal serta alam sekitar yang selesa.

Jika mengikut Bahagian III Akta 172, Sistem Rancangan Pemajuan di Malaysia terbahagi kepada tiga bentuk rancangan yang utama iaitu Rancangan Fizikal Negara (Peringkat Spatial Negara), Rancangan Struktur Negeri (Peringkat Negeri) dan Rancangan Tempatan (Peringkat Daerah). Dalam konteks Malaysia, sesebuah Rancangan Struktur akan meliputi keseluruhan negeri manakala bagi Rancangan Tempatan pula kebiasaanya ia disediakan berdasarkan keperluan bagi pihak PBPT yang ada dalam sesebuah kawasan/daerah dalam negeri tersebut.
Sehingga 30 Jun 2001 sebanyak 99 buah Rancangan Tempatan telah siap manakala 28 lagi sedang dalam proses penyediaan. Maklumat lanjut Rujuk Dato’ Wan Mohd Mokhtar bin Mohd Noor, 2001: Planning For An Urbanising Nation: Towards A Better Quality of Life. Kertas Kerja yang dibentangkan pada Simposium Kebangsaan Masyarakat Malaysia: Isu dan Cabaran Abad ke 21 di Hotel Hilton, PJ pada 22-24 Jun 2001.

6 Ia merupakan “laporan teknikal” yang menjelaskan mengenai cadangan tapak pemajuan yang mengandungi cadangan bertulis beserta plan, gambarajah, lukisan dan lain-lain yang seumpamanya yang berkaitan/berkenaan dengan satu-satu permohonan serta alam sekitar dan kawasan disekelilingnya. Kandungan dalam LCP berdasarkan peruntukan seksyen 21A dan seksyen 21B Akta 172.
LCP amat penting dalam satu-satu pemajuan/pembangunan kerana ia memberi penerangan tentang keadaan tapak yang terlibat dengan aktiviti pemajuan/pembangunan yang hendak dijalankan. Selain itu, LCP akan memudahkan PBPT memberi keputusan terhadap permohonan kebenaran merancang yang di pohon oleh seseorang berdasarkan LCP yang disediakan.

Kerajaan Tak Layan Demonstrasi




Tak layan demonstrasi

Oleh Magendran Rajagopal

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak tunduk kepada desakan pertubuhan, kesatuan atau kumpulan menggunakan demonstrasi jalanan bagi mengetengahkan masalah atau mengemukakan bantahan terhadap dasar kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata kerajaan sedia mendengar pandangan menerusi saluran yang betul dan tertib serta mematuhi undang-undang.
Beliau berkata demikian ketika mengulas demonstrasi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di luar bangunan Parlimen semalam, demonstrasi di taman KLCC pada Ahad lalu dan beberapa demonstrasi selepas solat Jumaat sejak tiga minggu lalu bagi membantah kenaikan harga minyak.
“Kebanyakan demonstrasi menyalahi undang-undang kerana setiap perhimpunan melebihi tujuh orang perlu mendapat kebenaran dan permit polis.
“Demonstrasi atau berpiket mengganggu ketenteraman dan mewujudkan ketakutan rakyat. Malah, tidak kurang pula mengakibatkan kesesakan serta menyusahkan kehidupan seharian orang ramai.
“Sebagai negara berpegang kepada demokrasi, kita menghargai kebebasan bersuara dan menghormati hak individu tetapi jangan sampai amalan ini mengganggu atau mencabuli hak asasi orang lain,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.
Beliau juga mengaku kepentingan mengetengahkan masalah rakyat kepada kerajaan, tetapi memadai melakukannya sekali bagi menyampaikan mesej seperti beberapa NGO dan kesatuan menghubunginya untuk menyerahkan memorandum di Parlimen tanpa sebarang masalah.
Mohamed Nazri berkata, beliau mengalu-alukan memorandum MTUC tetapi kesatuan itu tidak menghubunginya terlebih dulu atau memperoleh permit polis untuk mengadakan demonstrasi di luar bangunan Parlimen
Beliau turut mempertahankan tindakan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) menyuraikan perhimpunan kira-kira 300 orang itu secara tolak-ansur.
“Saya akan bawa isu demonstrasi ini dalam mesyuarat Kabinet kerana ia menjadi budaya setiap kali selepas solat Jumaat. Kita perlu garis panduan terperinci membendungnya.
“Hanya segelintir yang terbabit tetapi sebahagian besar rakyat mengalami kesannya, terutama bukan Melayu yang sering risau apabila setiap kali lepas solat Jumaat ada demonstrasi yang kadang kala kita tidak tahu hujung pangkal isu yang diperjuangkan,” katanya.
Demonstrasi di taman KLCC pada Ahad lalu hampir gagal dikawal sehingga memaksa polis menggunakan meriam air dan menahan 20 orang. Demonstrasi di Parlimen bersurai aman selepas Presiden MTUC, Syed Sharir Syed Mohamud dan Setiausaha Agungnya, G Rajasekaran menyerahkan memorandum kepada Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, manakala salinan untuk Mohamed Nazri tidak dapat diserahkan kerana wakil MTUC dilarang memasuki pekarangan Parlimen.
Pada mulanya, MTUC mahu berarak ke bangunan Parlimen ketika Dewan Rakyat bersidang tetapi mereka diyakinkan Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Ramli Din supaya 10 orang menyerahkan memorandum.Bagaimanapun, Nazri berkata, pentadbiran Parlimen membenarkan lima wakil menyerahkan memorandum dan beliau sudah bersedia menerimanya walaupun tiada temujanji tetapi mereka berubah hati apabila sampai di pintu masuk dan membatalkan niat memasuki Parlimen.
Kumpulan 300 orang membawa sepanduk dan kain rentang membantah kenaikan harga minyak dan kos kehidupan harian itu, kemudian berarak ke bangunan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) untuk menyerahkan salinan memorandum
Berita Petikan: Berita Harian (28 Mac 2006), Foto dari Blog Roslan SMS (http://n32.blogspot.com/) dan Blog Faisal Tehrani (http://tehranifaisal.blogspot.com/)
Bicara Pak Kebun: Inilah komen seorang Menteri Melayu di sebuah negara ISlam Hadhari. Beliau ternyata amat sombong dalam menempelak para demonstrator. Pak Kebun pelik...kerana demonstrasi tersebut sebenarnya aman..tetapi mula jadi kacau bila bila polis mula menyemburkan 'water cannon' ke arah demonstrator.
Sudah sangat agaknya Kerajaan hendak mendengar keluhan rakyat. Sementara Shapie Apdal mengomel bahawa kerajaan akan memastikan bahawa harga tidak naik dan biro Pemuda pula akan turun padang untuk menjelaskan isu kenaikan harga...barang-barang terus naik tanpa kawalan.
Rakyat hanya menyuarakan hati dan perasaan mereka. Pak-Pak Menteri memangnya tiada apa-apa masalah, tetapi rakyat yang menanggung azab (malah lebih lucu mereka disuruh berjimat)...
Pak Kebun percaya bahawa..demonstrasi ialah jalan terakhir untuk rakyat menyuarakan isi hati apabila jalan-jalan lain ditutup rapat....
Fikirlah dengan akal yang waras..

Untuk Kawan-Kawan II


Hari ini kau datang lagi
masih seperti hari-hari lalu
tetapi..
kali ini bukan untuk
minum-minum dan makan-makan
kali ini untuk ke Pesta Buku

Rasanya kelmarin aku telah maklumkan
yang aku telah pergi
dan tidak mahu untuk pergi lagi
(kerana sekatan masa dan wang)

Tetapi
kau masih tak faham-faham
tolonglah...

kau semua telah 'disahkan jawatan'
sedangkan aku..
baru belajar merangkak di sini..

Monday, March 27, 2006

Untuk Kawan-Kawan



UNTUK KAWAN-KAWAN (Yang Selalu Ajak Aku Pergi Minum)
Masuk 8.00m pagi
kemas itu dan itu
buka fail
semak kerja
9.00 pagi
kawan ketuk bilik...
minum pagi....
1.00 tengahari
kawan telefon...
makan tengahari
4.00 petang
kawan hantar mesej
minum petang
5.30 petang
kawan hantar pesan (melalui Yahoo Messeger)
ajak turun padang (bersukan katanya)
Kawan-kawan
kerja kita bukan hanya makan dan minum sahaja
kita memegang amanah
perlu ditunaikan sepenuh jiwa..
Kawan-kawan
kurangkanlah "minum-minum"
aku tak larat (tapi aku tak boleh tolak kerana nanti digelarnya sombong)
sukarnya hendak mengajar manusia supaya memahami....

Dampak Privatisasi Terhadap Pembangunan Kuala Lumpur



* Kertas Kerja ini telah dibentangkan pada "Seminar Temu Ilmiah Privatisasi BUMN Malaysia-Indonesia" pada 5 September 2002 di Universitas Muslim Nusantara, Medan, Indonesia
*Kertas kerja ini sebagai makluman dan informasi sahaja, sebarang ciplak dan cuplikan tidak dihalalkan kecuali mendapat kebenaran dari Pak Kebun sendiri.
Dampak Privatisasi Terhadap Pembangunan Kuala Lumpur:
Kajian Terhadap Pengurusan Sampah dan Penempatan Semula Setinggan


Oleh:
Prof Dr **********
Pak Kebun


1.0: Pendahuluan
Dasar Privatisasi (Penswastaan) di Malaysia telah diumumkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohammad pada tahun 1983. Dasar ini muncul hasil dari kempen penswastaan antarabangsa yang bermula pada awal tahun 1980an selepas pemilihan Margaret Tatcher di Britain dan Ronald Reagan di Amerika Syarikat. Menurut Jomo (1989), galakan dari Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia turut menggalakkan program penswastaan di Malaysia. Dasar penswastaan dilihat mampu untuk mengurangkan penglibatan kerajaan dalam ekonomi terutamanya dalam perbelanjaan awam dan seterusnya membolehkan aktiviti ekonomi ditentukan oleh mekanisme pasaran (Zakiyah Jamaluddin dan Mohd Razali Agus,1998:166).

Keberkesanan perlaksanaan konsep penswastaan yang telah dilaksanakan di negera-negara maju sedikit sebanyak telah menimbulkan minat kepada Malaysia. Dalam konteks Malaysia, terdapat pelbagai perkhidmatan kerajaan yang telah melalui proses penswastaan dan kebanyakannya mencapai kejayaan yang diinginkan. Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad merupakan dua contoh utama kejayaan dalam proses penswastaan di Malaysia.

Dalam konteks perancangan dan pembangunan bandar, terdapat beberapa perkhidmatan yang asalnya dilaksanakan/disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kini telah mengalami proses penswastaan. Dengan mengambil Kuala Lumpur sebagai contoh dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kertas kerja ini akan cuba melihat perlaksanaan program penswastaan terhadap dua jenis perkhidmatan/kemudahan yang sebelum ini dilaksanakan/disediakan oleh PBT iaitu pengurusan sampah dan penempatan semula setinggan.

2.0: Konsep Penswastaan
Penswastaan’ (Privatization), membawa maksud yang berbeza dengan ‘Pemiliknegaraan’ (Nationalization). Pemiliknegaraan boleh membawa maksud ‘memiliknegarakan perusahaan-perusahaan swasta’, manakala penswastaan pula membawa maksud yang sebaliknya. Secara amnya, penswastaan membawa maksud “penarikan diri oleh kerajaan daripada penglibatan dalam pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan” (Mohd Razuki,1998:11). Razak Mamat dan Muhammad Zakaria (1989) pula mendefinisikan penswastaan sebagai “penjualan aset atau syarikat awam kepada sektor swasta”.

Abu Bakar Munir (1992), mentafsirkan penswastaan sebagai “mengurangkan segala bentuk pengawalan kerajaan dalam pembahagian hasil kekayaan”. Jomo (1989) pula menterjemahkan konsep penswastaan sebagai “mengubah sesuatu perniagaan, perkhidmatan atau perusahaan daripada hak milik atau kawalan negara, kerajaan atau awam kepada hak milik atau pengendalian oleh swasta”. Zuriana Isa (2001) pula menyimpulkan bahawa penswastaan itu merupakan suatu proses yang menyekat atau mengurangkan penglibatan sektor awam”. Louise pula menambah bahawa penswastaan juga merupakan satu jalan yang menuju ke arah pemilikan harta persendirian dan pelupusan milik kerajaan (Zuriana Isa:2001). Manakala Rondinelli dan Kasarda (1993) pula menghuraikan konsep penswastaan sebagai dasar yang luas untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam penyediaan perkhidmatan awam dan menghapus/mengubahsuai monopoli syarikat-syarikat kerajaan”

Secara kesimpulannya, berdasarkan pelbagai definisi dan tafsiran yang dikemukakan, bolehlah dibuat satu rumusan terhadap maksud sebenar konsep penswastaan itu sendiri “penswastaan itu merupakan satu konsep di mana kerajaan memindahkan kepentingan atau pelaburannya (ada juga yang menyebut sebagai perkhidmatan dan perusahaan) kepada pihak swasta”.

3.0: Dasar Penswastaan
Dalam konteks dunia global, konsep penswastaan telah menjadi pilihan semenjak tahun 1970an yang dipelopori oleh pemimpin-pemimpin seperti Margaret Thatcher dan Roanald Reagan. Manakala dalam konteks Malaysia pula, dasar ini mula diperkenal dan diterapkan pada pertengahan tahun 1983 selepas Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohammad melancarkan Dasar Pensyarikatan Malaysia. Dalam ucapannya semasa merasmikan satu konferens, “The Security Industry in Malaysia” pada 28 April 1984 beliau menyatakan bahawa:
“……..Government the world over are notorious for inefficiency when running enterprises, even aided by monopoly and the authority of Government. On the other hand, the private sector is better motivated and generally more efficient. It is hoped that privatization will improve the economic and general performance of the services, resulting in a more rapid growth of the nation as a whole” (www.smke.jpm.my)

Berdasarkan kenyataan ini jelas dapat dilihat bahawa penswastaan adalah alternatif yang terbaik dalam memberikan perkhidmatan yang lebih efisyen kepada masyarakat di samping dapat membantu kepada pertumbuhan dalam pembangunan secara keseluruhan.

Dasar penswastaan juga dapat mewujudkan permintaan yang tinggi terhadap kepakaran pengurusan dan keusahawanan dan ini merupakan satu usaha untuk menyediakan peluang yang unik untuk memupuk dan mengembangkan masyarakat perniagaan.

Di Malaysia, penswastaan amat penting kerana saiz sektor awam telah berkembang dengan pesat. Satu hakikat yang perlu diterima ialah saiz sektor awam di Malaysia dianggap agak besar berbanding dengan kebanyakan negara lain (Zuriana Isa,2001:15). Pertumbuhan yang pesat itu sedikit sebanyak telah mengakibatkan keadaan kewangan menjadi tidak begitu kukuh dan keadaan ini ketara pada tahun-tahun 1980an. Keadaan ini ditambah pula dengan faktor kemelesetan ekonomi.

Perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan telah meningkat daripada RM 2 875 juta pada tahun 1970 kepada RM 21 296 juta dalam tahun 1991. Walaupun pendapatan kerajaan meningkat dari RM 2 400 juta pada tahun 1970 kepada RM 13 969 juta pada tahun 1980 dan RM 34 055 juta pada tahun 1991, namun jumlah tersebut masih lagi belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan kerajaan secara keseluruhannya. Kekurangan ini terpaksa ditampung melalui beberapa pendekatan seperti pinjaman dari luar negeri (Mohd Razuki,1998:19). Oleh yang demikian, kerajaan berpendapat bahawa jika sebahagian dari perkhidmatan yang selama ini diuruskan oleh kerajaan seperti telekom, bekalan air, elektrik dan sebagainya dapat diserahkan kepada pihak swasta, masalah beban kewangan ini sedikit sebanyak akan dapat dikurangkan.

Secara umumnya, penswastaan di Malaysia mempunyai beberapa matlamat yang utama. Antaranya:
a) Mengurangkan beban kewangan dan pentadbiran kerajaan
b) Mewujudkan kecekapan dan meninggikan daya pengeluaran
c) Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.
d) Pengurangan saiz dan penglibatan sektor awam dalam ekonomi
e) Membantu mencapai matlamat dasar ekonomi negara
(Mohd Razuki,1998:19 dan Zuriana Isa,2001:16)

Untuk melaksanakan dasar penswastaan, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan dan diletakkan di bawah pengawasan Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri. Jawatankuasa ini dianggotai oleh Unit Penyelaras Perlaksanaan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Selaras dengan itu, satu pasukan petugas khas penswastaan telah ditubuhkan sebagai urusetia kepada jawatankuasa ini. Jawatankuasa ini telah menyediakan garispanduan yang lengkap untuk kegunaan kementerian/jabatan yang ingin menswastakan perkhidmatan yang terletak di bawah bidang kuasa mereka. Garispanduan-garispanduan tersebut ialah:
i) Garispanduan mengenai penswastaan untuk kegunaan pihak swasta (21 Jan 1985)
ii) Pekeliling Am Bil. 2/85: Garispanduan mengenai penswastaan untuk agensi kerajaan (21 januari 1985)
iii) Pelan Induk Perswastaan (PIP) (1991- yang bertujuan untuk membolehkan sektor awam dan swasta memahami dengan jelas dasar-dasar di bawah programpenswastaan dan peluang-peluang pelaburan yang diwujudkan olehnya. (INTAN,1992:61-64)

4.0: Bentuk-Bentuk Penswastaan
Penswastaan pada secara teorinya merupakan pemindahan kuasa kawalan dan kepentingan atau pelaburan kerajaan yang tertentu kepada sektor swasta. Menyedari hakikat bahawa matlamat program penswastaan ini hanya akan tercapai dalam jangka masa yang panjang kerana faktor-faktor tertentu, maka kerajaan membenarkan agar penswastaan dilaksanakan dalam beberapa bentuk yang tertentu. Menurut Mohd Razuki (1998) dan Zuriana Isa (2001), penswastaan di Malaysia boleh dibahagikan kepada empat bentuk iaitu:

i) Penjualan
Bentuk penswastaan melalui penjualan boleh digunakan ke atas aset atau ekuiti kerajaan. Penjualan ekuiti adalah khusus bagi syarikat-syarikat kerajaan dan melibatkan pemindahan ketiga-tiga komponen organisasi iaitu tanggungjawab pengurusan, aset (beserta atau tanpa tanggungan) dan kakitangan.

Bentuk penswastaan ini boleh melibatkan penjualan sebahagian atau keseluruhan ekuiti sesuatu syarikat. Penjualan ekuiti keseluruhan bermakna pemindahan 100%. Penjualan aset beleh melibatkan pemindahan samada ketiga-tiga komponen organisasi tersebut atau sebahagian daripada komponennya. Penjualan aset juga boleh melibatkan aset yang dimiliki oleh apa jua organisasi kerajaan samada syarikat atau lain-lain entiti.

ii) Pajakan
Kaedah ini melibatkan pemindahan hak menggunakan aset untuk tempoh tertentu dengan bayaran pajakan. Kaedah ini biasanya digunakan bagi penswastaan entiti yang mempunyai aset yang bernilai tinggi dan bersifat strategik seperti pelabuhan dan lapangan terbang. Walaupun tidak ada pemindahan kedudukan hak milik asset berkenaan, tetapi peraturan-peraturan boleh dibuat bagi pemajak membeli aset berkenaan di akhir tempoh pajakan.

iii) Kontrak Pengurusan
Kontrak Pengurusan ini melibatkan penggunaan kepakaran pengurusan sektor swasta untuk mengurus sesuatu entiti kerajaan dengan dibayar yuran pengurusan. Kaedah ini meliputi pemindahan tanggungjawab pengurusan kepada sektor swasta dan mungkin juga melibatkan pemindahan kakitangan. Walaubagaimanapun, ia tidak melibatkan pemindahan hak milik aset.

iv) ‘Bina-Kendali-Pindah’ (BKP) dan ‘Bina-Kendali’ (BK)
Kedua-dua kaedah ini digunakan bagi penswastaan projek-projek baru yang secara tradisinya dimajukan oleh sektor awam termasuk projek infrastruktur dan kemudahan awam seperti jalan dan bekalan air.

Kaedah BKP melibatkan pembinaan sesuatu kemudahan awam oleh pihak swasta dengan pembiayaannya sendiri dan akan mengendalikannya bagi tempoh yang dinamakan “tempoh konsesi”. Kemudahan-kemudahan yang disediakan ini akan diserahkan balik kepada kerajaan pada akhir tempoh konsesi tersebut. Dalam tempoh konsesi, pihak swasta dibenarkan mengutip cas terus daripada pengguna kemudahan berkenaan atau secara tidak langsung dari pihak perantaraan yang kebiasaannya ialah pihak kerajaan.

Kaedah BK pula hampir sama dengan kaedah BKP. Cuma kaedah ini tidak melibatkan penyerahan balik kemudahan yang telah disediakan kepada pihak kerajaan. Kedua-dua kaedah ini (BKP dan BK) kebiasaannya melibatkan pemberian lesen atau konsesi (INTAN,1992:64-66).

5.0: Sejarah dan Latarbelakang Kuala Lumpur
Kuala Lumpur wujud di pertemuan dua batang sungai iaitu Sungai Kelang dan Sungai Gombak. Ia berasal dari sebuah petempatan kecil dengan aktiviti melombong bijih timah merupakan kegiatannya yang utama. Sejarah awal petempatan Kuala Lumpur pada asalnya menunjukkan bahawa penduduk asalnya adalah terdiri dari orang-orang Melayu dari pelbagai suku. Pada tahun-tahun 1820 an telah wujud petempatan Melayu di Petaling (Gullick J.M,1994:1-2).

Pada tahun 1881, berlaku kebakaran besar di Kuala Lumpur. Kebakaran ini telah memusnahkan sebahagian besar bandar Kuala Lumpur. Peristiwa ini menyebabkan British mula memperkenalkan langkah perancangan bandar di Kuala Lumpur. Peraturan-peraturan baru diperkenalkan. Antaranya ialah mensyaratkan bahawa rumah-rumah yang hendak dibina mestilah menggunakan bahan-bahan dari batu dan genting. Ekoran dari peraturan tersebut banyak rumah-rumah yang dibina di Kuala Lumpur telah mengikuti peraturan yang telah digariskan itu. Pada tahun 1884, sebanyak 218 buah rumah daripada batu dan genting telah dibina di Kuala Lumpur kemudian ia bertambah kepada 518 buah rumah pada tahun 1887 (Sulong Mohamad dalam Hairi Abdullah 1995: 50).

Pada tahun 1890 pula, “Sanitary Board” diwujudkan di Kuala Lumpur dan ia berfungsi seperti Kerajaan Tempatan pada hari ini. Pada tahun 1890an juga, jalan keretapi mula dibina ke arah utara, selatan dan barat. Dalam tahun-tahun tersebut juga Kuala Lumpur telah menyerlahkan fungsinya sebagai Ibu Negeri dengan terdirinya pelbagai kemudahan seperti sekolah, gereja, kelab sukan, masjid, kuil, hospital, panggung wayang dan lain-lain (Sulong Mohamad dalam Hairi Abdullah 1995: 50).

Namun begitu, sesuatu yang menarik tentang perkembangan Kuala Lumpur ialah ia tidak mempunyai “Perancang Bandar”. Perancangan bandar di Kuala Lumpur bermula dengan rasminya pada tahun 1921 yang bertujuan unutk mengawal kepadatan penduduk disamping memandu perkembangan gunatanah. Oleh itu sebelum tahun tersebut segala pembangunan dan kemajuan berlaku secara “spontan” (berlaku dengan sendiri) (Khoo Kay Kim,1996: viii).

Pada tahun 1931, Pelan Zon Gunatanah mula diperkenalkan dan ia diikuti dengan Pelan Bandar pada tahun 1939. Pelan Bandar (1939) telah dipinda pada tahun 1950 apabila berlakunya perluasan sempadan bandar di Kuala Lumpur. (Katiman Rostam dalam Hairi Abdullah,1995:76). Ini diikuti dengan pelan Induk Kuala Lumpur 1965. Pelan Induk (1965) ini mengandungi Pelan Pembangunan Pusat Bandar (L866), Pelan Pengezonan Kepadatan Perumahan (L887) dan Pelan Pengezonan Gunatanah (L888) (Katiman Rostam dalam Hairi Abdullah,1995:76).

Pada tahun 1970, pelan-pelan tersebut telah diubah dengan nama Pelan Pembangunan 1039 (bagi kawasan perdagangan pusat), Pelan Pembangunan Komprehensif 1040 (bagi kepadatan) dan Pelan Pembangunan Komprehensif 1041 (bagi gunatanah) (Katiman Rostam dalam Hairi Abdullah,1995:76).

Pada tahun 1973, Akta 107 iaitu Akta (Perancangan) Bandaraya Kuala Lumpur telah menggantikan pelan-pelan komprehensif tersebut. Keadaan ini berterusan sehinggalah kepada pengenalan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) (yang mempunyai tuntutan terhadap penyediaan “Rancangan Pembangunan”). Selain itu, aktiviti perancangan bandar di Kuala Lumpur juga turut berpandukan kepada Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267).

Pada tahun 1972, Kuala Lumpur telah mencapai tahap bandaraya dan seterusnya menjadi sebuah Wilayah Persekutuan pada tahun 1974. Kini dengan keluasan seluas 243 km persegi dan dengan jumlah penduduk yang hampir mencecah 2 juta orang, DBKL selaras dengan visi dan misinya memainkan peranan penting sebagai agensi utama dalam perancangan dan pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur.

6.0: Penswastaan Di DBKL
Kuala Lumpur merupakan ibu Negara Malaysia. Urusan perancangan dan pembangunan di Kuala Lumpur dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terbesar di Malaysia.

Selaras dengan kepesatan Kuala Lumpur dalam pembangunan dan sebagai menyahut dasar penswastaan yang telah dikemukakan pada tahun 1983, DBKL sedang dan telah merancang beberapa projek penswastaan dalam kawasan Kuala Lumpur.

Antara program penswastaan yang telah dilaksanakan di Kuala Lumpur ialah pembangunan Bandar Baru Wangsa Maju, Projek Perumahan Kampung Selamat, Projek Pasar Borong dan lain-lain lagi.

Untuk mencapai dan seterusnya merealisasikan mtlamat penswastaan di Kuala Lumpur, DBKL telah menggubal dan menetapkan dasar-dasar tertentu yang harus dipatuhi. Dasar yang digubal ini tidak –alin dan tidak bukan ialah semata-mata sebagai satu panduan kepada DBKL agar setiap program penswastaan yang dilaksanakan mencapai kejayaan. Antara dasar-dasar tersebut ialah:

a) Penubuhan Syarikat
Projek yang dilaksanakan melalui dasar dan bentuk ini ialah Projek Pembangunan Bandar Baru Wangsa Maju. Dalam projek ini DBKL telah menubuhkan satu syarikat usahasama yang diberi nama Syarikat Genting Klang Sdn Bhd. Ianya berasaskan perkongsian samarata antara syarikat ini dengan syarikat swasta yang memajukan projek ini.

b) Usahasama Perjanjian
Jika berlandaskan dasar ini, tanah DBKL dinilai mengikut harga pasaran dan ia merupakan modal di pihak DBKL. Pembahagian untung bersih terpulang kepada perbincangan antara pihak DBKL dengan pihak swasta yang menjadi rakan usahasamanya.

Satu jawatankuasa dilantik bagi menjamin kelicinan perjalanan projek yang dirancang yang terdiri dari wakil-wakil DBKL dan pemaju. Contoh terbaik perlaksanaan dasar ini dalam penswastaan di Kuala Lumpur ialah dalam kes pembinaan Pasar Borong Selayang dan Kompleks Damai.

c) Pemegang Amanah
Mengikut dasar ini, DBKL bertindak sebagai pemegang amanah kepada penduduk di sesebuah kawasan yang hendak dibangunkan. Contohnya projek perumahan di Kampong Selamat yang melibatkan kira-kira 300 buah keluarga. Sebagai ganjaran, setiap tuan punya tanah akan diberi dua unit rumah pangsa (Zuriana Isa,2001:22)

d) Sale a Site
Ia merupakan satu konsep baru dalam penswastaan di Kuala Lumpur dan secara jujurnya, konsep sebegini masih lagi belum dilaksanakan. Konsep ini wujud berasaskan kejayaan dan pengalaman yang dialami oleh Singapura. Dalam hal ini, konsep pembangunan akan disediakan oleh DBKL. Tanah-tanah akan dipecahkan (parcel) dan setiap bahagian tanah ini akan dijual kepada pemaju yang berlainan.

Setelah membincangkan tentang konsep penswastaan dan pengamalannya di Malaysia secara am dan Kuala Lumpur secara khas, kertas kerja ini akan cuba untuk membincangkan dua perkhidmatan/program utama yang telah menjalani proses penswastaan di Kuala Lumpur iaitu pengurusan sampah dan penempatan semula setinggan.

6.1: Pengurusan Sampah (Alam Flora)
Di Malaysia, setiap pengguna dianggarkan mampu mewujudkan sebanyak 0.9-1kg sampah setiap hari. Pengguna di Kuala Lumpur sahaja mampu menghasilkan kira-kira 3 500 tan sampah sehari dan jumlah ini akan terus meningkat dari masa ke semasa (Hamdan Adnan,2002:9).

Dari segi perbelanjaan pengurusan pula, DBKL telah membelanjakan kira-kira RM 60 juta setahun bagi tujuan pelupusan dan pengurusan sampah di Kuala Lumpur. Seandainya sampah yang ada di Kuala Lumpur tidak dikutip selama sebulan sahaja, keseluruhan Kuala Lumpur (dengan keluasan 243 km persegi) mampu dilitupi sampah setinggi satu meter (Zuriana Isa,2001:25).

Walaupun sebelum ini urusan pemungutan dan pengurusan sampah di Kuala Lumpur (terutamanya di kawasan taman-taman perumahan) telah dijalankan oleh kira-kira 50 kontraktor swasta tetapi perkhidmatan yang diberikan masih lagi tidak memuaskan. Isu-isu seperti pemungutan yang tidak bersistem dan mengikut jadul menyebabkan pihak DBKL merasakan perlunya penswastaan yang sempurna dilaksanakan terhadap perkhidmatan ini.

Atas kesedaran itu dan didorong dengan kejayaan beberapa program penswastaan di Malaysia seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia, DBKL mengambil keputusan untuk menswastakan perkhidmatan pengurusan sampah di kawasan Bandaraya Kuala Lumpur kepada satu syarikat yang dilantik iaitu Alam Flora Sdn Bhd pada tahun 1997.

Alam Flora Sdn Bhd merupakan salah satu syarikat yang terletak di bawah Hicom-led Konsortium iaitu syarikat yang dianugerahkan konsesi penswastaan pengurusan sampah oleh Kerajaan Persekutuan pada Disember 1995. Syarikat ini (Alam Flora Sdn Bhd) berperanan dalam urusan pengurusan sampah dan sisa pepejal di kawasan Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Selangor dan Kelantan (http://www.alamflora.com.my/).

Pindaan peruntukan perundangan dan perlaksanaan perjanjian konsesi di antara pihak kerajaan dengan Alam Flora pada 28 Ogos 1996 telah membolehkan Alam Flora mengambil alih pengurusan sampah dari pihak DBKL bermula pada 1 Januari 1997.

Kesinambungan dari itu, pada 23 April 1998, kerajaan telah meminta Alam Flora mengambil alih pengurusan sampah sarap dalam pindaan tempoh tidak lebih dari 3 tahun daripada badan pentadbiran tempatan dan lingkungan kawasan konsesi. Sehingga kini, Alam Flora telah mengambil alih tugas pengurusan sampah daripada 23 hingga 43 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuklah Perbadanan Putrajaya.

Sebagai sebuah syarikat yang telah diamanahkan (melalui konsep penswastaan) oleh pihak DBKL dalam konteks pengurusan sampah, Alam Flora pada hakikatnya mempunyai fungsi dan peranan yang tersendiri yang perlu dilaksanakan. Secara umumnya, tugas Alam Flora di Kuala Lumpur boleh dibahagikan kepada dua bahagian yang utama iaitu:

a) Pengurusan Sisa Pepejal
Termasuklah tugas-tugas seperti pemungutan sampah, penyimpanan, pengangkutan, pemprosesan, perawatan dan kitar semula sisa pepejal.

b) Kerja-Kerja Pembersihan
Merangkumi tugas-tugas seperti potong rumput, cuci longkang, sapu jalan, kutip sampah dan lain-lain yang berkaitan.

Melalui perancangan dan pengurusan dan perancangan yang teliti dan terpeinci, ternyata pihak Alam Flora Sdn Bhd begitu komited terhadap tugas yang diamanahkan kepadanya. Ini jelas dibuktikan dengan peruntukan sebanyak 4.7 bilion untuk penyediaan beberapa kemudahan infrastruktur dalam pengurusan sisa pepejal. Pihak Alam Flora juga bercadang untuk menaiktarafkan tapak-tapak pelupusan yang sedia ada serta membekalkannya dengan teknologi tinggi sejajar dengan keperluan menjelang tahun 2020.

Selain itu, yang lebih jelas, melalui kajian-kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu seperti Mohd Razuki (1998) dan Zuriana Isa (2001) didapati penduduk di kawasan kajian (dalam kawasan Kuala Lumpur) secara majoritinya bersetuju dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak Alam Flora Sdn Bhd jika dibandingkan dengan perkhidmatan sebelum ini (oleh pihak DBKL).

6.2: Penempatan Semula Setinggan
Rumah merupakan keperluan asas manusia. Dengan kadar perbandaran setinggi 100% (di Kuala Lumpur) serta pertambahan penghijrahan penduduk, penyediaan perumahan menjadi satu masalah besar kepada DBKL. Kepesatan pembangunan di Kuala Lumpur ini menyebabkan ada sebilangan rakyat yang tidak mampu dan terpinggir dalam mengikuti arus pemodenan.

Menurut Rancangan Struktur Kuala Lumpur, sebanyak 326 300 unit rumah harus dibina di Kuala Lumpur untuk tempoh 1980 hingga 2000. Daripada jumlah tersebut sebanyak 58% ialah rumah kos rendah, 30% rumah kos sederhana dan selebihnya rumah pasaran bebas. Masalah pekerjaan dan ditambah pula dengan pendapatan yang rendah menyebabkan golongan yang terpinggir ini mengambil keputusan samada untuk menyewa ataupun mendirikan rumah setinggan (Zakiyah Jamaluddin,1994:98).

Permasalahan setinggan telah menjadi perbincangan yang mendalam dan merupakan isu lama yang memerlukan perhatian baru. Masalah ini timbul akibat dari kekurangan penyediaan rumah kos rendah yang mampu disewa dan dibeli oleh golongan yang berpendapatan rendah. Sehingga tahun 1997, dianggarkan penduduk setinggan di Kuala Lumpur ialah seramai 347 772 orang atau 9.2% daripada keseluruhan penduduk di Kuala Lumpur (Mohd Razali Agus dan Melasutra Md Dali,2001:4-5).

Langkah-langkah mengatasi setinggan telah bermula semenjak tahun 1978 iaitu dengan pembentukan Dasar dan Perlaksanaan Penempatan Setinggan di Wilayah Persekutuan (Polisi Setinggan 1978). Serentak dengan itu, Bahagian Kawalan dan Penempatan Setinggan ditubuhkan di bawah Unit Penyelarasan Pembangunan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Bahagian ini berfungsi untuk mengawal dan mencegah pembinaan rumah-rumah setinggan baru termasuk mengawal tanah kerajaan yang kosong daripada dicerobohi oleh setinggan-setinggan serta terlibat dengan kerja-kerja pemindahan dan penempatan semula setinggan.

Berasaskan Polisi Setinggan 1978 ini, kerajaan telah mewajibkan pemaju swasta memperuntukkan sekurang-kurangnya 30% daripada keseluruhan rumah yang dibina merupakan rumah kos rendah. Harga jualan yang ditetapkan ialah sebanyak RM 25 000. Syarat kedua pula, majikan sektor swasta wajib menyediakan rumah bagi pekerja-pekerja yang berpendapatan rendah.

Malangnya, syarat kedua ini tidak diberi perhatian berat oleh sektor swasta dan kerajaan gagal mengenakan sebarang tindakan terhadap majikan yang gagal berbuat demikian. Manakala syarat yang pertama pula hanya dilaksanakan dalam tahun 1985 (Zakiyah Jamaluddin,1994:99, Zakiyah Jamaluddin dan Mohd Razali Agus,1998:170).

Sehingga tahun 1984, semua projek penempatan semula setinggan di Kuala Lumpur dilaksanakan oleh DBKL (Zakiyah Jamaluddin,1994:99). Kemelesetan ekonomi pada tahun 1980an telah menyebabkan penyediaan rumah kos rendah tidak dapat dilaksanakan seperti dirancangkan. Jumlah setinggan kian meningkat dan beban kewangan bertambah mengakibatkan rumah kos rendah tidak dapat menampung permintaan awam yang banyak (Zakiyah Jamaluddin dan Mohd Razali Agus,1998:170).

Berkaitan dengan fenomena ini dan selaras dengan dasar penswastaan yang mula diamalkan di Malaysia pada tahun 1983, DBKL telah bertindak menswastakan projek perumahan bagi penempatan setinggan dengan pengawasan oleh pihak Bahagian Kemajuan Wilayah Persekutuan (BKWP), Jabatan Perdana Menteri. Tujuan utama penswastaan ini ialah sejajar dengan dasar penswastaan oleh pihak kerajaan (Zakiyah Jamaluddin,1994:99).

Pada tahun 1985, Kerajaan Malaysia telah melancarkan Program Khas Perumahan Kos Rendah (PKPKR) yang dirancang untuk disiapkan pada tahun 1989. Matlamat program ini ialah untuk membina sejumlah 80 000 unit rumah kos rendah di seluruh negara bagi tempoh tiga tahun dan meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 2% setahun (Mohd Razali Agus,1987:15).
Dalam konteks Kuala Lumpur pula, program ini dilaksanakan di bawah pengawasan BKWP dan DBKL sebagai salah satu alternatif bagi mengatasi masalah setinggan dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setinggan.

Melalui projek penswastaan ini, tanah yang dimajukan merupakan milik kerajaan dan kerajaan melantik pemaju swasta untuk membangunkan semula kawasan setinggan tersebut. Pembiayaan pembangunan akan ditanggung oleh pemaju swasta daripada kos pembelian tanah sehinggalah kepada kos pembinaan rumah.

Beban kewangan di pihak kerajaan akan dikurangkan kerana DBKL tidak lagi perlu lagi memohon pinjaman untuk projek perumahan yang dianjurkannya dan mendapat sedikit keuntungan serta dapat mengawal harga rumah. Harga tanah yang dimajukan oleh pemaju swasta akan dikurangkan (premium) supaya pemaju dapat membangunkan kawasan tersebut dengan menyediakan unit-unit kos rendah dengan tawaran harga tidak melebihi RM 25 000 seunit (Zakiyah Jamaluddin dan Mohd Razali Agus,1998:172).

Sebelum pemaju memulakan projek mereka, senarai nama bakal pembeli rumah harus disertakan yang dipersetujui oleh pemaju dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau agensi kerajaan negeri. Keutamaan ialah kepada golongan yang berpendapatan RM 750 dan ke bawah.

Dalam kes yang melibatkan setinggan, penduduk setinggan asal dan penyewa secara automatik akan mendapat rumah kos rendah yang disediakan tanpa mengira jumlah pendapatannya. Sekiranya ada lebihan unit, maka unit-unit lebihan tadi akan ditawarkan kepada lain-lain setinggan di Kuala Lumpur dengan diuruskan oleh DBKL. DBKL dan BKWP menjadi “orang tengah” di antara pemaju dengan setinggan dalam melaksanakan projek penswastaan ini (Zakiyah Jamaluddin dan Mohd Razali Agus,1998:172).

Menurut Zakiyah Jamaluddin dan Mohd Razali Agus (1998), sebanyak 13 buah kawasan setinggan di Kuala Lumpur telah dikenalpasti akan dibangunkan secara penswastaan. Kawasan-kawasan tersebut ialah Selayang, Kepong, Jinjang, Keramat, Jalan Klang Lama, Jalan Kuchai Lama, Sg Besi (Kg Batu Kong), Kg Pandan, wangsa maju, Kg Cheras Batu 2½ dan Kampung Pasir Wedieburn. Menurut Mohd Razali Agus (1993) pula, kawasan-kawasan seperti Desa Pandan, Seri Sentosa, Taman Kuchai, Taman Miharja bt 2, Desa Pantai, Kg Bakti Selayang, Tmn Intai Baiduri (kepong) dan Kg Puah/Kg Chubadak merupakan antara contoh kawasan yang telah melalui proses petempatan semula setinggan melalui penswastaan. Kawasan-kawasan penempatan semula setinggan ini dilaksanakan melalui skim PKPKR dengan pengawasan BKWP.

Secara kesimpulannya, penempatan semula setinggan di bawah program penswastaan telah dilaksanakan oleh DBKL semenjak penggal kedua Rancangan Malaysia Ke Empat (1981-1985) yang meliputi kawasan seluas 1500 hektar (Mohd Razali Agus,1993:15) benar-benar dapat membantu mengurangkan jumlah setinggan di Kuala Lumpur dan seterusnya menyumbang ke arah merealisasikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya yang bebas setinggan menjelang tahun 2005.

7.0: Kesimpulan
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa penswastaan merupakan satu langkah terbaik dalam mencapai dasar-dasar tertentu kerajaan. Ini kerana, pihak swasta dilihat mempunyai tenaga kerja serta peruntukan kewangan yang tinggi dalam melaksanakan satu-satu projek yang telah diswastakan. Dalam konteks Kuala Lumpur, dilihat bahawa penswastaan dalam pengurusan sampah dan penempatan semula setinggan bukanlah diakibatkan oleh ketidakmampuan pihak kerajaan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. Tetapi penswastaan dilihat sebagai salah satu cara yang membolehkan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut disediakan kepada masyarakat dengan cara yang lebih baik dan sempurna. Walaubagaimanapun, dalam mengamalkan konsep penswastaan ini, pihak kerajaan tidak harus bersikap “lepas tangan” secara keseluruhannya. Pengawasan dan pemantauan dari masa ke semasa harus dilakuakan dengan teliti agar segala matlamat yang ingin dicapai oleh dasar penswataan akan dapat dicapai secara semaksimum mungkin.


Kembara Buku 3-KLIBF (PWTC)

Buku-Buku Yang Telah Dibeli Semasa Kembara Buku III- KLIBF (PWTC)-25 Mac 2006
Tarikh: 25 Mac 2006
Masa : 10.00am-5.00 pm
Menurut Shahrom TM Sulaiman (2002:3), Kecanduan atau ketagihan yang paling baik, kata orang bijak pandai ialah kecanduan atau ketagihan terhadap buku. Hal ini disebabkan kecanduannya yang jauh lebih baik daripada kecanduan terhadap narkotik dan minuman keras yang sering menjadi masalah kepada pengidamnya, masyarakat bahkan negara.
Menurut beliau lagi, Kecenderungan berlebihan untuk membeli, membaca, menyimpan dan mengagumi buku disebut sebagai biblioholisme manakala orang yang memiliki sifat tersebut digelar sebagai biblioholik
Beliau menambah, biblioholisme itu terbahagi kepada dua iaitu:
  1. Bibliomania (Gila Buku): membeli buku untuk mengumpukannya
  2. Bibliofil (Cinta Buku): Membeli buku dan mengharapkan akan mendapat pengajaran dari isi buku yang dibeli

Pak kebun kurang pasti sebenarnya pak kebun terletak dalam kategori yang mana, namun pada hakikatnya Pak Kebun memiliki kedua-dua sifat yang dinyatakan tadi.

Jika tak beli terasa rugi...sebab kemungkinan untuk semula dengan bertemu buku yang diminati itu masih samar-samar.

Jika dibeli, belum tentu baca lagi..kerana ada sahaja alasan dan halangan yang melintang...(sedang buku yang dibeli semasa Kembara Buku II masih tak habis dibaca)

Mmmm.....walau terletak di kategori mana sekalipun yang nyata poket Pak Kebun dah 'kempis'...jumlah yang dihabiskan dalam tempoh tujuh jam di Pesta buku telah melebihi jumlah ansuran bulanan kereta Pak Kebun sendiri...

Hari ahad, 26 Mac 2006: duduk termenung sendiri memikirkan 'survival' hidup sementara menanti gaji yang akan datang (sebulan lagi)

Buku dan Pembelian Semasa Kembara Buku 3: KLIBF (15 Mac 2006)

1) Ghani Saleh, 2000: Urbanisation and Regional Development In Malaysia. Kuala Lumpur, Utusan Publication and Distributor Sdn Bhd

2) Sabitha Marican, 2001: Dasar Awam Di Malaysia. Kuala Lumpur, Utusan Publication and Distributor Sdn Bhd

3) Abdul Rahman Embong, 2005: Pembangunan dan Kesejahteraan: Agenda Kemanusiaan Abad Ke 21. Bangi. Penerbit UKM

4) Chamsuri Siwar, 2004: Pembangunan Mapan: Strategi ‘Menang-Menang’ Untuk Pembasmian Kemiskinan dan Pemuliharaan Alam Sekitar. Bangi, Penerbit UKM

5) N.A Halim, 1981: Tempat-Tempat Bersejarah:Perak. Kuala Lumpur, Jabatan Muzium dan Antikuiti

6) Raiha Mohd Saud, 1981: Kota-Kota Bersejarah Di Semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur, Jabatan Muzium dan Antikuiti

7) Jomo K.S, Shamsulbahriah Ku Ahmad, 2004: Teori Pembangunan Ekonomi. Utusan Publication and Distributor Sdn Bhd

8) Dani Salleh (Penyunting), 2004: Pengurusan Bandar Metropolitan. Isu, Cabaran dan Peluang. Sintok, Penerbit UUM

9) Zakiyah Jamalludin et. al , 2004: Rumah Kos Rendah: Masalah dan Penyelesaian. Sintok, Penerbit UUM

10) Abdullah Hussain, 2005: Imam. Utusan Publication and Distributor Sdn Bhd

11) 911 In Plane Site (Director Cut)- DVD

12) Confronting The Evidence: A Call To Reopen The Sept 11 Investigation- DVD

13) Laungan Yang Tidak Akan Senyap:Siri Rawatan Hati-VCD

14) Micheal Collins Piper, 2005: The High Priests Of War (Terjemahan), Kuala Lumpur, Saba Islamic Media

15) Micheal Collins Piper, 2004: New Jerusalem (Terjemahan), Kuala Lumpur, Saba Islamic Media

16) Mahmood Mamdani, 2005: Good Muslim, Bab Muslim: America, The Cold War and The Roots Of Terror. Pasig City Philippines. Anvil Publishing

17) Abu Mazaya Al Hafiz, 2005: Sirah dan Riwayat Hidup Nabi Muhammad S.A.W. Kuala Lumpur, Al Hidayah Publishers

18) Dr Aidh Abu Bakar Al Qarni (Terj: Noraine Abu), 2006: Jangan Bersedih: Setelah Kesulitan Pasti Ada Kemudahan. Kuala Lumpur, Al Hidayah Publishers

19) A Samad Said, 2005: Al Amin: Riwayat Hidup Rasulullah SAW Dalam Puisi. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka

20) Langganan majalah mingguan Newsweek selama setahun

21) Tiga keluaran terdahulu majalah National Geographic (May 2001, Februari 2002 dan August 2002)

22) Lima keluaran terdahulu majalah Gila-Gila (tahun 2005)

Pesta Buku-Ukhwah Makin Kukuh

25 Mac 2006 Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur..menemukan kembali kami anak Negeri Bersejarah. Pak Kebun, Mat Unos, Badak dan Zahid..bertemu di PWTC atas alasan yang sama..."Memburu Buku"
Mat Unos kini bermastatutin di Kuala Lumpur, Badak datang awal pagi dari Negeri Bersejarah (menaiki bas dan dia cuti pada hari tersebut) manakala aku dan zahid datang dari sebelah Utara tanah air..
Bertemu semula sahabat lama, mengenang kembali kisah dan nostalgia lama. Indah sungguh masa lalu. Kini masing-masing membawa haluan. Hanya badak masih kekal di Negeri Bersejarah..
Badak juga membawa ucapan salam sahabat-sahabat di Negeri Bersejarah termasuklah sahabat dari Kumpulan Rumpai Laut (Ubi, Pijat juga Chelek)..
Malam...setelah jamuan di rumah Mat Unos (masak Lomak Cili Api: Resepi asli isteri Mat Unos) aku dan zahid pulang, manakala badak bermalam di rumah Mat Unos.
Sambil mengenang-ngenang poket yang semakin 'kempis' aku juga tertanya..bila agaknya lagi kami dapat bertemu lagi.....
Selamat tinggal Kuala Lumpur
Selamat tinggal Badak dan Mat Unos
Selamat tinggal kenangan...