Tak layan demonstrasi
Oleh Magendran Rajagopal
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak tunduk kepada desakan pertubuhan, kesatuan atau kumpulan menggunakan demonstrasi jalanan bagi mengetengahkan masalah atau mengemukakan bantahan terhadap dasar kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata kerajaan sedia mendengar pandangan menerusi saluran yang betul dan tertib serta mematuhi undang-undang.
Beliau berkata demikian ketika mengulas demonstrasi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di luar bangunan Parlimen semalam, demonstrasi di taman KLCC pada Ahad lalu dan beberapa demonstrasi selepas solat Jumaat sejak tiga minggu lalu bagi membantah kenaikan harga minyak.
“Kebanyakan demonstrasi menyalahi undang-undang kerana setiap perhimpunan melebihi tujuh orang perlu mendapat kebenaran dan permit polis.
“Demonstrasi atau berpiket mengganggu ketenteraman dan mewujudkan ketakutan rakyat. Malah, tidak kurang pula mengakibatkan kesesakan serta menyusahkan kehidupan seharian orang ramai.
“Sebagai negara berpegang kepada demokrasi, kita menghargai kebebasan bersuara dan menghormati hak individu tetapi jangan sampai amalan ini mengganggu atau mencabuli hak asasi orang lain,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.
Beliau juga mengaku kepentingan mengetengahkan masalah rakyat kepada kerajaan, tetapi memadai melakukannya sekali bagi menyampaikan mesej seperti beberapa NGO dan kesatuan menghubunginya untuk menyerahkan memorandum di Parlimen tanpa sebarang masalah.
Mohamed Nazri berkata, beliau mengalu-alukan memorandum MTUC tetapi kesatuan itu tidak menghubunginya terlebih dulu atau memperoleh permit polis untuk mengadakan demonstrasi di luar bangunan Parlimen
Beliau turut mempertahankan tindakan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) menyuraikan perhimpunan kira-kira 300 orang itu secara tolak-ansur.
“Saya akan bawa isu demonstrasi ini dalam mesyuarat Kabinet kerana ia menjadi budaya setiap kali selepas solat Jumaat. Kita perlu garis panduan terperinci membendungnya.
“Hanya segelintir yang terbabit tetapi sebahagian besar rakyat mengalami kesannya, terutama bukan Melayu yang sering risau apabila setiap kali lepas solat Jumaat ada demonstrasi yang kadang kala kita tidak tahu hujung pangkal isu yang diperjuangkan,” katanya.
Demonstrasi di taman KLCC pada Ahad lalu hampir gagal dikawal sehingga memaksa polis menggunakan meriam air dan menahan 20 orang. Demonstrasi di Parlimen bersurai aman selepas Presiden MTUC, Syed Sharir Syed Mohamud dan Setiausaha Agungnya, G Rajasekaran menyerahkan memorandum kepada Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, manakala salinan untuk Mohamed Nazri tidak dapat diserahkan kerana wakil MTUC dilarang memasuki pekarangan Parlimen.
Pada mulanya, MTUC mahu berarak ke bangunan Parlimen ketika Dewan Rakyat bersidang tetapi mereka diyakinkan Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Ramli Din supaya 10 orang menyerahkan memorandum.Bagaimanapun, Nazri berkata, pentadbiran Parlimen membenarkan lima wakil menyerahkan memorandum dan beliau sudah bersedia menerimanya walaupun tiada temujanji tetapi mereka berubah hati apabila sampai di pintu masuk dan membatalkan niat memasuki Parlimen.
Kumpulan 300 orang membawa sepanduk dan kain rentang membantah kenaikan harga minyak dan kos kehidupan harian itu, kemudian berarak ke bangunan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) untuk menyerahkan salinan memorandum
Berita Petikan: Berita Harian (28 Mac 2006), Foto dari Blog Roslan SMS (http://n32.blogspot.com/) dan Blog Faisal Tehrani (http://tehranifaisal.blogspot.com/)
Bicara Pak Kebun: Inilah komen seorang Menteri Melayu di sebuah negara ISlam Hadhari. Beliau ternyata amat sombong dalam menempelak para demonstrator. Pak Kebun pelik...kerana demonstrasi tersebut sebenarnya aman..tetapi mula jadi kacau bila bila polis mula menyemburkan 'water cannon' ke arah demonstrator.
Sudah sangat agaknya Kerajaan hendak mendengar keluhan rakyat. Sementara Shapie Apdal mengomel bahawa kerajaan akan memastikan bahawa harga tidak naik dan biro Pemuda pula akan turun padang untuk menjelaskan isu kenaikan harga...barang-barang terus naik tanpa kawalan.
Rakyat hanya menyuarakan hati dan perasaan mereka. Pak-Pak Menteri memangnya tiada apa-apa masalah, tetapi rakyat yang menanggung azab (malah lebih lucu mereka disuruh berjimat)...
Pak Kebun percaya bahawa..demonstrasi ialah jalan terakhir untuk rakyat menyuarakan isi hati apabila jalan-jalan lain ditutup rapat....
Fikirlah dengan akal yang waras..
2 comments:
Salam,
Buat macam rakyat Thailand agaknya...hairan sungguh kenapa rakyat Malaysia tak mahu-mahu sedar?!
Salam,
sayalah salah seorang rakyat Malaysia yang rasanya sudah sedar tapi masih penakut...kenapalah agaknya?
Post a Comment