"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Wednesday, April 26, 2006

Jejak-Jejak Di Pantai Zaman


Tajuk: Jejak-Jejak Di Pantai Zaman
Terbitan: Penerbit Universiti Malaya
Tahun: 1975
Penulis: Prof Diraja Ungku Aziz
(Pak Kebun tak pasti samada buku ini masih ada di Penerbit UM lagi. Cuba-cubalah telepon sendiri ye)

Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK 9) masih hangat diperbincangkan. Pelbagai pendapat pro dan kontra tentang RMK 9 ini dapat kita dengari samada melalui media bercetak mahupun elektronik.

Dalam entri yang terdahulu, ada Pak Kebun mengulas sedikit tentang sokongan Pak Ungku (Prof Diraja Ungku Aziz) terhadap dasar-dasar dan cadangan pembangunan yang dititikberatkan dalam RMK 9 ini.

RMK 9, dilihat oleh Pak Ungku sebagai satu rancangan yang amat baik dan perlu dilaksanakan memandangkan ia bakal membawa manfaat kepada orang Melayu terutamanya di kawasan luar bandar. Ini kerana menurut beliau, dalam rancangan-rancangan pembangunan yang terdahulu, pembangunan hanya dilihat dan difokuskan kepada kawasan bandar dan kawasan luar bandar yang majoritinya penduduk Melayu seolah-olah dipinggirkan.

Walaupun, matlamat untuk penyusunan semula masyarakat dan penghapusan kemiskinan telah dicadang dan dilaksanakan sejak dari Rancangan Malaysia Ke Dua dan disusuli pula dengan Dasar Ekonomi Melayu tetapi dari segi pencapaian, masih kurang memuaskan kerana Pak Ungu berpendapat dasar yang mantap dan kukuh itu telah 'dicurahkan air' pada dekad-dekad 80, 90 an dan seterusnya hingga ke alaf baru hingga mengakibatkan dasar yang pada asalnya kukuh dan mantap menjadi cair dan tidak bermaya.

Jejak-Jejak Di Pantai Zaman memberikan ide awal tentang kemiskinan Melayu yang mula dibincangkan oleh Za’ba sehinggalah diteruskan penelitian semasa zaman Pak Ungku.

Jejak-Jejak Di Pantai Zaman merupakan sebuah buku yang menghimpunkan empat buah makalah tentang kemiskinan Melayu dari era Za’ba hingga ke zaman Rancangan Malaysia Ke Dua (RMK 2)

Daripada empat makalah tersebut, Dua daripadanya tulisan Za'ba dan dua lagi tulisan Pak Engku sendiri.

1) Jejak-Jejak Di Pantai Zaman: Konsep Kemiskinan Melayu Sepanjang 50 Tahun Dari Za'ba Ke Aziz dan Rancangan Malaysia Kedua (Prof Diraja Pak Ungku)
2) Kemiskinan Orang Melayu (Za'ba)
3) Jalan Keselamatan Bagi Orang Melayu (Za'ba)
4) Zahir dan Batin Ekonomi Orang Melayu (Prof Diraja Pak Ungku)

Membaca ide-ide dalam buku ini dapat kita rumuskan bahawa keperluan untuk membasmi kemiskinan terutamanya di kalangan orang Melayu sememangnya merupakan isu yang membarah semenjak dekat 30an. Ini kerana struktur ekonomi orang Melayu menurut pandangan Za'ba telah dicorakkan sejak zaman penjajahan.

Kesedaran Za’ba tentang kemiskinan Melayu, telah membezakan dari angkatan-sezamannya yang pada ketika itu lebih membicarakan tentang aspek moral dan keagamaan berbanding dengan soal kemiskinan.
Malahan, dalam “Jalan Keselamatan Bagi Orang Melayu” Za’ba bukan sahaja menghuraikan aspek kemiskinan tetapi turut mengemukakan pendekatan yang boleh diambil untuk mengatasi masalah kemiskinan di kalangan orang Melayu.

Secara rumusannya, buku ini merupakan naskhah yang wajib kepada sesiapa yang mengamati dan membuat penilaian tentang Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK 9) dan membacanya membuatkan kita memahami mengapa Pak Ungku menyokong kuat dasar-dasar pembangunan yang digariskan dalam RMK 9.

No comments: