"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Monday, March 27, 2006

Dampak Privatisasi Terhadap Pembangunan Kuala Lumpur



* Kertas Kerja ini telah dibentangkan pada "Seminar Temu Ilmiah Privatisasi BUMN Malaysia-Indonesia" pada 5 September 2002 di Universitas Muslim Nusantara, Medan, Indonesia
*Kertas kerja ini sebagai makluman dan informasi sahaja, sebarang ciplak dan cuplikan tidak dihalalkan kecuali mendapat kebenaran dari Pak Kebun sendiri.
Dampak Privatisasi Terhadap Pembangunan Kuala Lumpur:
Kajian Terhadap Pengurusan Sampah dan Penempatan Semula Setinggan


Oleh:
Prof Dr **********
Pak Kebun


1.0: Pendahuluan
Dasar Privatisasi (Penswastaan) di Malaysia telah diumumkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohammad pada tahun 1983. Dasar ini muncul hasil dari kempen penswastaan antarabangsa yang bermula pada awal tahun 1980an selepas pemilihan Margaret Tatcher di Britain dan Ronald Reagan di Amerika Syarikat. Menurut Jomo (1989), galakan dari Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia turut menggalakkan program penswastaan di Malaysia. Dasar penswastaan dilihat mampu untuk mengurangkan penglibatan kerajaan dalam ekonomi terutamanya dalam perbelanjaan awam dan seterusnya membolehkan aktiviti ekonomi ditentukan oleh mekanisme pasaran (Zakiyah Jamaluddin dan Mohd Razali Agus,1998:166).

Keberkesanan perlaksanaan konsep penswastaan yang telah dilaksanakan di negera-negara maju sedikit sebanyak telah menimbulkan minat kepada Malaysia. Dalam konteks Malaysia, terdapat pelbagai perkhidmatan kerajaan yang telah melalui proses penswastaan dan kebanyakannya mencapai kejayaan yang diinginkan. Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad merupakan dua contoh utama kejayaan dalam proses penswastaan di Malaysia.

Dalam konteks perancangan dan pembangunan bandar, terdapat beberapa perkhidmatan yang asalnya dilaksanakan/disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kini telah mengalami proses penswastaan. Dengan mengambil Kuala Lumpur sebagai contoh dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kertas kerja ini akan cuba melihat perlaksanaan program penswastaan terhadap dua jenis perkhidmatan/kemudahan yang sebelum ini dilaksanakan/disediakan oleh PBT iaitu pengurusan sampah dan penempatan semula setinggan.

2.0: Konsep Penswastaan
Penswastaan’ (Privatization), membawa maksud yang berbeza dengan ‘Pemiliknegaraan’ (Nationalization). Pemiliknegaraan boleh membawa maksud ‘memiliknegarakan perusahaan-perusahaan swasta’, manakala penswastaan pula membawa maksud yang sebaliknya. Secara amnya, penswastaan membawa maksud “penarikan diri oleh kerajaan daripada penglibatan dalam pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan” (Mohd Razuki,1998:11). Razak Mamat dan Muhammad Zakaria (1989) pula mendefinisikan penswastaan sebagai “penjualan aset atau syarikat awam kepada sektor swasta”.

Abu Bakar Munir (1992), mentafsirkan penswastaan sebagai “mengurangkan segala bentuk pengawalan kerajaan dalam pembahagian hasil kekayaan”. Jomo (1989) pula menterjemahkan konsep penswastaan sebagai “mengubah sesuatu perniagaan, perkhidmatan atau perusahaan daripada hak milik atau kawalan negara, kerajaan atau awam kepada hak milik atau pengendalian oleh swasta”. Zuriana Isa (2001) pula menyimpulkan bahawa penswastaan itu merupakan suatu proses yang menyekat atau mengurangkan penglibatan sektor awam”. Louise pula menambah bahawa penswastaan juga merupakan satu jalan yang menuju ke arah pemilikan harta persendirian dan pelupusan milik kerajaan (Zuriana Isa:2001). Manakala Rondinelli dan Kasarda (1993) pula menghuraikan konsep penswastaan sebagai dasar yang luas untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam penyediaan perkhidmatan awam dan menghapus/mengubahsuai monopoli syarikat-syarikat kerajaan”

Secara kesimpulannya, berdasarkan pelbagai definisi dan tafsiran yang dikemukakan, bolehlah dibuat satu rumusan terhadap maksud sebenar konsep penswastaan itu sendiri “penswastaan itu merupakan satu konsep di mana kerajaan memindahkan kepentingan atau pelaburannya (ada juga yang menyebut sebagai perkhidmatan dan perusahaan) kepada pihak swasta”.

3.0: Dasar Penswastaan
Dalam konteks dunia global, konsep penswastaan telah menjadi pilihan semenjak tahun 1970an yang dipelopori oleh pemimpin-pemimpin seperti Margaret Thatcher dan Roanald Reagan. Manakala dalam konteks Malaysia pula, dasar ini mula diperkenal dan diterapkan pada pertengahan tahun 1983 selepas Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohammad melancarkan Dasar Pensyarikatan Malaysia. Dalam ucapannya semasa merasmikan satu konferens, “The Security Industry in Malaysia” pada 28 April 1984 beliau menyatakan bahawa:
“……..Government the world over are notorious for inefficiency when running enterprises, even aided by monopoly and the authority of Government. On the other hand, the private sector is better motivated and generally more efficient. It is hoped that privatization will improve the economic and general performance of the services, resulting in a more rapid growth of the nation as a whole” (www.smke.jpm.my)

Berdasarkan kenyataan ini jelas dapat dilihat bahawa penswastaan adalah alternatif yang terbaik dalam memberikan perkhidmatan yang lebih efisyen kepada masyarakat di samping dapat membantu kepada pertumbuhan dalam pembangunan secara keseluruhan.

Dasar penswastaan juga dapat mewujudkan permintaan yang tinggi terhadap kepakaran pengurusan dan keusahawanan dan ini merupakan satu usaha untuk menyediakan peluang yang unik untuk memupuk dan mengembangkan masyarakat perniagaan.

Di Malaysia, penswastaan amat penting kerana saiz sektor awam telah berkembang dengan pesat. Satu hakikat yang perlu diterima ialah saiz sektor awam di Malaysia dianggap agak besar berbanding dengan kebanyakan negara lain (Zuriana Isa,2001:15). Pertumbuhan yang pesat itu sedikit sebanyak telah mengakibatkan keadaan kewangan menjadi tidak begitu kukuh dan keadaan ini ketara pada tahun-tahun 1980an. Keadaan ini ditambah pula dengan faktor kemelesetan ekonomi.

Perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan telah meningkat daripada RM 2 875 juta pada tahun 1970 kepada RM 21 296 juta dalam tahun 1991. Walaupun pendapatan kerajaan meningkat dari RM 2 400 juta pada tahun 1970 kepada RM 13 969 juta pada tahun 1980 dan RM 34 055 juta pada tahun 1991, namun jumlah tersebut masih lagi belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan kerajaan secara keseluruhannya. Kekurangan ini terpaksa ditampung melalui beberapa pendekatan seperti pinjaman dari luar negeri (Mohd Razuki,1998:19). Oleh yang demikian, kerajaan berpendapat bahawa jika sebahagian dari perkhidmatan yang selama ini diuruskan oleh kerajaan seperti telekom, bekalan air, elektrik dan sebagainya dapat diserahkan kepada pihak swasta, masalah beban kewangan ini sedikit sebanyak akan dapat dikurangkan.

Secara umumnya, penswastaan di Malaysia mempunyai beberapa matlamat yang utama. Antaranya:
a) Mengurangkan beban kewangan dan pentadbiran kerajaan
b) Mewujudkan kecekapan dan meninggikan daya pengeluaran
c) Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.
d) Pengurangan saiz dan penglibatan sektor awam dalam ekonomi
e) Membantu mencapai matlamat dasar ekonomi negara
(Mohd Razuki,1998:19 dan Zuriana Isa,2001:16)

Untuk melaksanakan dasar penswastaan, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan dan diletakkan di bawah pengawasan Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri. Jawatankuasa ini dianggotai oleh Unit Penyelaras Perlaksanaan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Selaras dengan itu, satu pasukan petugas khas penswastaan telah ditubuhkan sebagai urusetia kepada jawatankuasa ini. Jawatankuasa ini telah menyediakan garispanduan yang lengkap untuk kegunaan kementerian/jabatan yang ingin menswastakan perkhidmatan yang terletak di bawah bidang kuasa mereka. Garispanduan-garispanduan tersebut ialah:
i) Garispanduan mengenai penswastaan untuk kegunaan pihak swasta (21 Jan 1985)
ii) Pekeliling Am Bil. 2/85: Garispanduan mengenai penswastaan untuk agensi kerajaan (21 januari 1985)
iii) Pelan Induk Perswastaan (PIP) (1991- yang bertujuan untuk membolehkan sektor awam dan swasta memahami dengan jelas dasar-dasar di bawah programpenswastaan dan peluang-peluang pelaburan yang diwujudkan olehnya. (INTAN,1992:61-64)

4.0: Bentuk-Bentuk Penswastaan
Penswastaan pada secara teorinya merupakan pemindahan kuasa kawalan dan kepentingan atau pelaburan kerajaan yang tertentu kepada sektor swasta. Menyedari hakikat bahawa matlamat program penswastaan ini hanya akan tercapai dalam jangka masa yang panjang kerana faktor-faktor tertentu, maka kerajaan membenarkan agar penswastaan dilaksanakan dalam beberapa bentuk yang tertentu. Menurut Mohd Razuki (1998) dan Zuriana Isa (2001), penswastaan di Malaysia boleh dibahagikan kepada empat bentuk iaitu:

i) Penjualan
Bentuk penswastaan melalui penjualan boleh digunakan ke atas aset atau ekuiti kerajaan. Penjualan ekuiti adalah khusus bagi syarikat-syarikat kerajaan dan melibatkan pemindahan ketiga-tiga komponen organisasi iaitu tanggungjawab pengurusan, aset (beserta atau tanpa tanggungan) dan kakitangan.

Bentuk penswastaan ini boleh melibatkan penjualan sebahagian atau keseluruhan ekuiti sesuatu syarikat. Penjualan ekuiti keseluruhan bermakna pemindahan 100%. Penjualan aset beleh melibatkan pemindahan samada ketiga-tiga komponen organisasi tersebut atau sebahagian daripada komponennya. Penjualan aset juga boleh melibatkan aset yang dimiliki oleh apa jua organisasi kerajaan samada syarikat atau lain-lain entiti.

ii) Pajakan
Kaedah ini melibatkan pemindahan hak menggunakan aset untuk tempoh tertentu dengan bayaran pajakan. Kaedah ini biasanya digunakan bagi penswastaan entiti yang mempunyai aset yang bernilai tinggi dan bersifat strategik seperti pelabuhan dan lapangan terbang. Walaupun tidak ada pemindahan kedudukan hak milik asset berkenaan, tetapi peraturan-peraturan boleh dibuat bagi pemajak membeli aset berkenaan di akhir tempoh pajakan.

iii) Kontrak Pengurusan
Kontrak Pengurusan ini melibatkan penggunaan kepakaran pengurusan sektor swasta untuk mengurus sesuatu entiti kerajaan dengan dibayar yuran pengurusan. Kaedah ini meliputi pemindahan tanggungjawab pengurusan kepada sektor swasta dan mungkin juga melibatkan pemindahan kakitangan. Walaubagaimanapun, ia tidak melibatkan pemindahan hak milik aset.

iv) ‘Bina-Kendali-Pindah’ (BKP) dan ‘Bina-Kendali’ (BK)
Kedua-dua kaedah ini digunakan bagi penswastaan projek-projek baru yang secara tradisinya dimajukan oleh sektor awam termasuk projek infrastruktur dan kemudahan awam seperti jalan dan bekalan air.

Kaedah BKP melibatkan pembinaan sesuatu kemudahan awam oleh pihak swasta dengan pembiayaannya sendiri dan akan mengendalikannya bagi tempoh yang dinamakan “tempoh konsesi”. Kemudahan-kemudahan yang disediakan ini akan diserahkan balik kepada kerajaan pada akhir tempoh konsesi tersebut. Dalam tempoh konsesi, pihak swasta dibenarkan mengutip cas terus daripada pengguna kemudahan berkenaan atau secara tidak langsung dari pihak perantaraan yang kebiasaannya ialah pihak kerajaan.

Kaedah BK pula hampir sama dengan kaedah BKP. Cuma kaedah ini tidak melibatkan penyerahan balik kemudahan yang telah disediakan kepada pihak kerajaan. Kedua-dua kaedah ini (BKP dan BK) kebiasaannya melibatkan pemberian lesen atau konsesi (INTAN,1992:64-66).

5.0: Sejarah dan Latarbelakang Kuala Lumpur
Kuala Lumpur wujud di pertemuan dua batang sungai iaitu Sungai Kelang dan Sungai Gombak. Ia berasal dari sebuah petempatan kecil dengan aktiviti melombong bijih timah merupakan kegiatannya yang utama. Sejarah awal petempatan Kuala Lumpur pada asalnya menunjukkan bahawa penduduk asalnya adalah terdiri dari orang-orang Melayu dari pelbagai suku. Pada tahun-tahun 1820 an telah wujud petempatan Melayu di Petaling (Gullick J.M,1994:1-2).

Pada tahun 1881, berlaku kebakaran besar di Kuala Lumpur. Kebakaran ini telah memusnahkan sebahagian besar bandar Kuala Lumpur. Peristiwa ini menyebabkan British mula memperkenalkan langkah perancangan bandar di Kuala Lumpur. Peraturan-peraturan baru diperkenalkan. Antaranya ialah mensyaratkan bahawa rumah-rumah yang hendak dibina mestilah menggunakan bahan-bahan dari batu dan genting. Ekoran dari peraturan tersebut banyak rumah-rumah yang dibina di Kuala Lumpur telah mengikuti peraturan yang telah digariskan itu. Pada tahun 1884, sebanyak 218 buah rumah daripada batu dan genting telah dibina di Kuala Lumpur kemudian ia bertambah kepada 518 buah rumah pada tahun 1887 (Sulong Mohamad dalam Hairi Abdullah 1995: 50).

Pada tahun 1890 pula, “Sanitary Board” diwujudkan di Kuala Lumpur dan ia berfungsi seperti Kerajaan Tempatan pada hari ini. Pada tahun 1890an juga, jalan keretapi mula dibina ke arah utara, selatan dan barat. Dalam tahun-tahun tersebut juga Kuala Lumpur telah menyerlahkan fungsinya sebagai Ibu Negeri dengan terdirinya pelbagai kemudahan seperti sekolah, gereja, kelab sukan, masjid, kuil, hospital, panggung wayang dan lain-lain (Sulong Mohamad dalam Hairi Abdullah 1995: 50).

Namun begitu, sesuatu yang menarik tentang perkembangan Kuala Lumpur ialah ia tidak mempunyai “Perancang Bandar”. Perancangan bandar di Kuala Lumpur bermula dengan rasminya pada tahun 1921 yang bertujuan unutk mengawal kepadatan penduduk disamping memandu perkembangan gunatanah. Oleh itu sebelum tahun tersebut segala pembangunan dan kemajuan berlaku secara “spontan” (berlaku dengan sendiri) (Khoo Kay Kim,1996: viii).

Pada tahun 1931, Pelan Zon Gunatanah mula diperkenalkan dan ia diikuti dengan Pelan Bandar pada tahun 1939. Pelan Bandar (1939) telah dipinda pada tahun 1950 apabila berlakunya perluasan sempadan bandar di Kuala Lumpur. (Katiman Rostam dalam Hairi Abdullah,1995:76). Ini diikuti dengan pelan Induk Kuala Lumpur 1965. Pelan Induk (1965) ini mengandungi Pelan Pembangunan Pusat Bandar (L866), Pelan Pengezonan Kepadatan Perumahan (L887) dan Pelan Pengezonan Gunatanah (L888) (Katiman Rostam dalam Hairi Abdullah,1995:76).

Pada tahun 1970, pelan-pelan tersebut telah diubah dengan nama Pelan Pembangunan 1039 (bagi kawasan perdagangan pusat), Pelan Pembangunan Komprehensif 1040 (bagi kepadatan) dan Pelan Pembangunan Komprehensif 1041 (bagi gunatanah) (Katiman Rostam dalam Hairi Abdullah,1995:76).

Pada tahun 1973, Akta 107 iaitu Akta (Perancangan) Bandaraya Kuala Lumpur telah menggantikan pelan-pelan komprehensif tersebut. Keadaan ini berterusan sehinggalah kepada pengenalan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) (yang mempunyai tuntutan terhadap penyediaan “Rancangan Pembangunan”). Selain itu, aktiviti perancangan bandar di Kuala Lumpur juga turut berpandukan kepada Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267).

Pada tahun 1972, Kuala Lumpur telah mencapai tahap bandaraya dan seterusnya menjadi sebuah Wilayah Persekutuan pada tahun 1974. Kini dengan keluasan seluas 243 km persegi dan dengan jumlah penduduk yang hampir mencecah 2 juta orang, DBKL selaras dengan visi dan misinya memainkan peranan penting sebagai agensi utama dalam perancangan dan pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur.

6.0: Penswastaan Di DBKL
Kuala Lumpur merupakan ibu Negara Malaysia. Urusan perancangan dan pembangunan di Kuala Lumpur dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terbesar di Malaysia.

Selaras dengan kepesatan Kuala Lumpur dalam pembangunan dan sebagai menyahut dasar penswastaan yang telah dikemukakan pada tahun 1983, DBKL sedang dan telah merancang beberapa projek penswastaan dalam kawasan Kuala Lumpur.

Antara program penswastaan yang telah dilaksanakan di Kuala Lumpur ialah pembangunan Bandar Baru Wangsa Maju, Projek Perumahan Kampung Selamat, Projek Pasar Borong dan lain-lain lagi.

Untuk mencapai dan seterusnya merealisasikan mtlamat penswastaan di Kuala Lumpur, DBKL telah menggubal dan menetapkan dasar-dasar tertentu yang harus dipatuhi. Dasar yang digubal ini tidak –alin dan tidak bukan ialah semata-mata sebagai satu panduan kepada DBKL agar setiap program penswastaan yang dilaksanakan mencapai kejayaan. Antara dasar-dasar tersebut ialah:

a) Penubuhan Syarikat
Projek yang dilaksanakan melalui dasar dan bentuk ini ialah Projek Pembangunan Bandar Baru Wangsa Maju. Dalam projek ini DBKL telah menubuhkan satu syarikat usahasama yang diberi nama Syarikat Genting Klang Sdn Bhd. Ianya berasaskan perkongsian samarata antara syarikat ini dengan syarikat swasta yang memajukan projek ini.

b) Usahasama Perjanjian
Jika berlandaskan dasar ini, tanah DBKL dinilai mengikut harga pasaran dan ia merupakan modal di pihak DBKL. Pembahagian untung bersih terpulang kepada perbincangan antara pihak DBKL dengan pihak swasta yang menjadi rakan usahasamanya.

Satu jawatankuasa dilantik bagi menjamin kelicinan perjalanan projek yang dirancang yang terdiri dari wakil-wakil DBKL dan pemaju. Contoh terbaik perlaksanaan dasar ini dalam penswastaan di Kuala Lumpur ialah dalam kes pembinaan Pasar Borong Selayang dan Kompleks Damai.

c) Pemegang Amanah
Mengikut dasar ini, DBKL bertindak sebagai pemegang amanah kepada penduduk di sesebuah kawasan yang hendak dibangunkan. Contohnya projek perumahan di Kampong Selamat yang melibatkan kira-kira 300 buah keluarga. Sebagai ganjaran, setiap tuan punya tanah akan diberi dua unit rumah pangsa (Zuriana Isa,2001:22)

d) Sale a Site
Ia merupakan satu konsep baru dalam penswastaan di Kuala Lumpur dan secara jujurnya, konsep sebegini masih lagi belum dilaksanakan. Konsep ini wujud berasaskan kejayaan dan pengalaman yang dialami oleh Singapura. Dalam hal ini, konsep pembangunan akan disediakan oleh DBKL. Tanah-tanah akan dipecahkan (parcel) dan setiap bahagian tanah ini akan dijual kepada pemaju yang berlainan.

Setelah membincangkan tentang konsep penswastaan dan pengamalannya di Malaysia secara am dan Kuala Lumpur secara khas, kertas kerja ini akan cuba untuk membincangkan dua perkhidmatan/program utama yang telah menjalani proses penswastaan di Kuala Lumpur iaitu pengurusan sampah dan penempatan semula setinggan.

6.1: Pengurusan Sampah (Alam Flora)
Di Malaysia, setiap pengguna dianggarkan mampu mewujudkan sebanyak 0.9-1kg sampah setiap hari. Pengguna di Kuala Lumpur sahaja mampu menghasilkan kira-kira 3 500 tan sampah sehari dan jumlah ini akan terus meningkat dari masa ke semasa (Hamdan Adnan,2002:9).

Dari segi perbelanjaan pengurusan pula, DBKL telah membelanjakan kira-kira RM 60 juta setahun bagi tujuan pelupusan dan pengurusan sampah di Kuala Lumpur. Seandainya sampah yang ada di Kuala Lumpur tidak dikutip selama sebulan sahaja, keseluruhan Kuala Lumpur (dengan keluasan 243 km persegi) mampu dilitupi sampah setinggi satu meter (Zuriana Isa,2001:25).

Walaupun sebelum ini urusan pemungutan dan pengurusan sampah di Kuala Lumpur (terutamanya di kawasan taman-taman perumahan) telah dijalankan oleh kira-kira 50 kontraktor swasta tetapi perkhidmatan yang diberikan masih lagi tidak memuaskan. Isu-isu seperti pemungutan yang tidak bersistem dan mengikut jadul menyebabkan pihak DBKL merasakan perlunya penswastaan yang sempurna dilaksanakan terhadap perkhidmatan ini.

Atas kesedaran itu dan didorong dengan kejayaan beberapa program penswastaan di Malaysia seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia, DBKL mengambil keputusan untuk menswastakan perkhidmatan pengurusan sampah di kawasan Bandaraya Kuala Lumpur kepada satu syarikat yang dilantik iaitu Alam Flora Sdn Bhd pada tahun 1997.

Alam Flora Sdn Bhd merupakan salah satu syarikat yang terletak di bawah Hicom-led Konsortium iaitu syarikat yang dianugerahkan konsesi penswastaan pengurusan sampah oleh Kerajaan Persekutuan pada Disember 1995. Syarikat ini (Alam Flora Sdn Bhd) berperanan dalam urusan pengurusan sampah dan sisa pepejal di kawasan Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Selangor dan Kelantan (http://www.alamflora.com.my/).

Pindaan peruntukan perundangan dan perlaksanaan perjanjian konsesi di antara pihak kerajaan dengan Alam Flora pada 28 Ogos 1996 telah membolehkan Alam Flora mengambil alih pengurusan sampah dari pihak DBKL bermula pada 1 Januari 1997.

Kesinambungan dari itu, pada 23 April 1998, kerajaan telah meminta Alam Flora mengambil alih pengurusan sampah sarap dalam pindaan tempoh tidak lebih dari 3 tahun daripada badan pentadbiran tempatan dan lingkungan kawasan konsesi. Sehingga kini, Alam Flora telah mengambil alih tugas pengurusan sampah daripada 23 hingga 43 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuklah Perbadanan Putrajaya.

Sebagai sebuah syarikat yang telah diamanahkan (melalui konsep penswastaan) oleh pihak DBKL dalam konteks pengurusan sampah, Alam Flora pada hakikatnya mempunyai fungsi dan peranan yang tersendiri yang perlu dilaksanakan. Secara umumnya, tugas Alam Flora di Kuala Lumpur boleh dibahagikan kepada dua bahagian yang utama iaitu:

a) Pengurusan Sisa Pepejal
Termasuklah tugas-tugas seperti pemungutan sampah, penyimpanan, pengangkutan, pemprosesan, perawatan dan kitar semula sisa pepejal.

b) Kerja-Kerja Pembersihan
Merangkumi tugas-tugas seperti potong rumput, cuci longkang, sapu jalan, kutip sampah dan lain-lain yang berkaitan.

Melalui perancangan dan pengurusan dan perancangan yang teliti dan terpeinci, ternyata pihak Alam Flora Sdn Bhd begitu komited terhadap tugas yang diamanahkan kepadanya. Ini jelas dibuktikan dengan peruntukan sebanyak 4.7 bilion untuk penyediaan beberapa kemudahan infrastruktur dalam pengurusan sisa pepejal. Pihak Alam Flora juga bercadang untuk menaiktarafkan tapak-tapak pelupusan yang sedia ada serta membekalkannya dengan teknologi tinggi sejajar dengan keperluan menjelang tahun 2020.

Selain itu, yang lebih jelas, melalui kajian-kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu seperti Mohd Razuki (1998) dan Zuriana Isa (2001) didapati penduduk di kawasan kajian (dalam kawasan Kuala Lumpur) secara majoritinya bersetuju dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak Alam Flora Sdn Bhd jika dibandingkan dengan perkhidmatan sebelum ini (oleh pihak DBKL).

6.2: Penempatan Semula Setinggan
Rumah merupakan keperluan asas manusia. Dengan kadar perbandaran setinggi 100% (di Kuala Lumpur) serta pertambahan penghijrahan penduduk, penyediaan perumahan menjadi satu masalah besar kepada DBKL. Kepesatan pembangunan di Kuala Lumpur ini menyebabkan ada sebilangan rakyat yang tidak mampu dan terpinggir dalam mengikuti arus pemodenan.

Menurut Rancangan Struktur Kuala Lumpur, sebanyak 326 300 unit rumah harus dibina di Kuala Lumpur untuk tempoh 1980 hingga 2000. Daripada jumlah tersebut sebanyak 58% ialah rumah kos rendah, 30% rumah kos sederhana dan selebihnya rumah pasaran bebas. Masalah pekerjaan dan ditambah pula dengan pendapatan yang rendah menyebabkan golongan yang terpinggir ini mengambil keputusan samada untuk menyewa ataupun mendirikan rumah setinggan (Zakiyah Jamaluddin,1994:98).

Permasalahan setinggan telah menjadi perbincangan yang mendalam dan merupakan isu lama yang memerlukan perhatian baru. Masalah ini timbul akibat dari kekurangan penyediaan rumah kos rendah yang mampu disewa dan dibeli oleh golongan yang berpendapatan rendah. Sehingga tahun 1997, dianggarkan penduduk setinggan di Kuala Lumpur ialah seramai 347 772 orang atau 9.2% daripada keseluruhan penduduk di Kuala Lumpur (Mohd Razali Agus dan Melasutra Md Dali,2001:4-5).

Langkah-langkah mengatasi setinggan telah bermula semenjak tahun 1978 iaitu dengan pembentukan Dasar dan Perlaksanaan Penempatan Setinggan di Wilayah Persekutuan (Polisi Setinggan 1978). Serentak dengan itu, Bahagian Kawalan dan Penempatan Setinggan ditubuhkan di bawah Unit Penyelarasan Pembangunan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Bahagian ini berfungsi untuk mengawal dan mencegah pembinaan rumah-rumah setinggan baru termasuk mengawal tanah kerajaan yang kosong daripada dicerobohi oleh setinggan-setinggan serta terlibat dengan kerja-kerja pemindahan dan penempatan semula setinggan.

Berasaskan Polisi Setinggan 1978 ini, kerajaan telah mewajibkan pemaju swasta memperuntukkan sekurang-kurangnya 30% daripada keseluruhan rumah yang dibina merupakan rumah kos rendah. Harga jualan yang ditetapkan ialah sebanyak RM 25 000. Syarat kedua pula, majikan sektor swasta wajib menyediakan rumah bagi pekerja-pekerja yang berpendapatan rendah.

Malangnya, syarat kedua ini tidak diberi perhatian berat oleh sektor swasta dan kerajaan gagal mengenakan sebarang tindakan terhadap majikan yang gagal berbuat demikian. Manakala syarat yang pertama pula hanya dilaksanakan dalam tahun 1985 (Zakiyah Jamaluddin,1994:99, Zakiyah Jamaluddin dan Mohd Razali Agus,1998:170).

Sehingga tahun 1984, semua projek penempatan semula setinggan di Kuala Lumpur dilaksanakan oleh DBKL (Zakiyah Jamaluddin,1994:99). Kemelesetan ekonomi pada tahun 1980an telah menyebabkan penyediaan rumah kos rendah tidak dapat dilaksanakan seperti dirancangkan. Jumlah setinggan kian meningkat dan beban kewangan bertambah mengakibatkan rumah kos rendah tidak dapat menampung permintaan awam yang banyak (Zakiyah Jamaluddin dan Mohd Razali Agus,1998:170).

Berkaitan dengan fenomena ini dan selaras dengan dasar penswastaan yang mula diamalkan di Malaysia pada tahun 1983, DBKL telah bertindak menswastakan projek perumahan bagi penempatan setinggan dengan pengawasan oleh pihak Bahagian Kemajuan Wilayah Persekutuan (BKWP), Jabatan Perdana Menteri. Tujuan utama penswastaan ini ialah sejajar dengan dasar penswastaan oleh pihak kerajaan (Zakiyah Jamaluddin,1994:99).

Pada tahun 1985, Kerajaan Malaysia telah melancarkan Program Khas Perumahan Kos Rendah (PKPKR) yang dirancang untuk disiapkan pada tahun 1989. Matlamat program ini ialah untuk membina sejumlah 80 000 unit rumah kos rendah di seluruh negara bagi tempoh tiga tahun dan meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 2% setahun (Mohd Razali Agus,1987:15).
Dalam konteks Kuala Lumpur pula, program ini dilaksanakan di bawah pengawasan BKWP dan DBKL sebagai salah satu alternatif bagi mengatasi masalah setinggan dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setinggan.

Melalui projek penswastaan ini, tanah yang dimajukan merupakan milik kerajaan dan kerajaan melantik pemaju swasta untuk membangunkan semula kawasan setinggan tersebut. Pembiayaan pembangunan akan ditanggung oleh pemaju swasta daripada kos pembelian tanah sehinggalah kepada kos pembinaan rumah.

Beban kewangan di pihak kerajaan akan dikurangkan kerana DBKL tidak lagi perlu lagi memohon pinjaman untuk projek perumahan yang dianjurkannya dan mendapat sedikit keuntungan serta dapat mengawal harga rumah. Harga tanah yang dimajukan oleh pemaju swasta akan dikurangkan (premium) supaya pemaju dapat membangunkan kawasan tersebut dengan menyediakan unit-unit kos rendah dengan tawaran harga tidak melebihi RM 25 000 seunit (Zakiyah Jamaluddin dan Mohd Razali Agus,1998:172).

Sebelum pemaju memulakan projek mereka, senarai nama bakal pembeli rumah harus disertakan yang dipersetujui oleh pemaju dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau agensi kerajaan negeri. Keutamaan ialah kepada golongan yang berpendapatan RM 750 dan ke bawah.

Dalam kes yang melibatkan setinggan, penduduk setinggan asal dan penyewa secara automatik akan mendapat rumah kos rendah yang disediakan tanpa mengira jumlah pendapatannya. Sekiranya ada lebihan unit, maka unit-unit lebihan tadi akan ditawarkan kepada lain-lain setinggan di Kuala Lumpur dengan diuruskan oleh DBKL. DBKL dan BKWP menjadi “orang tengah” di antara pemaju dengan setinggan dalam melaksanakan projek penswastaan ini (Zakiyah Jamaluddin dan Mohd Razali Agus,1998:172).

Menurut Zakiyah Jamaluddin dan Mohd Razali Agus (1998), sebanyak 13 buah kawasan setinggan di Kuala Lumpur telah dikenalpasti akan dibangunkan secara penswastaan. Kawasan-kawasan tersebut ialah Selayang, Kepong, Jinjang, Keramat, Jalan Klang Lama, Jalan Kuchai Lama, Sg Besi (Kg Batu Kong), Kg Pandan, wangsa maju, Kg Cheras Batu 2½ dan Kampung Pasir Wedieburn. Menurut Mohd Razali Agus (1993) pula, kawasan-kawasan seperti Desa Pandan, Seri Sentosa, Taman Kuchai, Taman Miharja bt 2, Desa Pantai, Kg Bakti Selayang, Tmn Intai Baiduri (kepong) dan Kg Puah/Kg Chubadak merupakan antara contoh kawasan yang telah melalui proses petempatan semula setinggan melalui penswastaan. Kawasan-kawasan penempatan semula setinggan ini dilaksanakan melalui skim PKPKR dengan pengawasan BKWP.

Secara kesimpulannya, penempatan semula setinggan di bawah program penswastaan telah dilaksanakan oleh DBKL semenjak penggal kedua Rancangan Malaysia Ke Empat (1981-1985) yang meliputi kawasan seluas 1500 hektar (Mohd Razali Agus,1993:15) benar-benar dapat membantu mengurangkan jumlah setinggan di Kuala Lumpur dan seterusnya menyumbang ke arah merealisasikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya yang bebas setinggan menjelang tahun 2005.

7.0: Kesimpulan
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa penswastaan merupakan satu langkah terbaik dalam mencapai dasar-dasar tertentu kerajaan. Ini kerana, pihak swasta dilihat mempunyai tenaga kerja serta peruntukan kewangan yang tinggi dalam melaksanakan satu-satu projek yang telah diswastakan. Dalam konteks Kuala Lumpur, dilihat bahawa penswastaan dalam pengurusan sampah dan penempatan semula setinggan bukanlah diakibatkan oleh ketidakmampuan pihak kerajaan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. Tetapi penswastaan dilihat sebagai salah satu cara yang membolehkan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut disediakan kepada masyarakat dengan cara yang lebih baik dan sempurna. Walaubagaimanapun, dalam mengamalkan konsep penswastaan ini, pihak kerajaan tidak harus bersikap “lepas tangan” secara keseluruhannya. Pengawasan dan pemantauan dari masa ke semasa harus dilakuakan dengan teliti agar segala matlamat yang ingin dicapai oleh dasar penswataan akan dapat dicapai secara semaksimum mungkin.


4 comments:

Jong said...

Salam,
Makin lama ilmu Pak Kebun yang satu ini makin menarik ditekuni. Ini rasa macam nak tulis novel 'perbandaran' pulak ni...boleh tolong ke nanti?!
Wassalam

Pak Kebun said...

Faisal,
ilmu tu sikit sangat, umpama setitis air di lautan..tapi kalau nak minta pertolongan..insyaAllah tiada apa-apa yang halangan :)

alumni STAN said...

mencerahkan... makasih banyak-banyak atas ilmunya...

Unknown said...

salam pak kebun saya nak mintak izin pak kebun guna artikel ini utk soalan perkumpulanan semasa kursus induksi..boleh tak pak kebun tapi pak kebun email kat saya nama pak kebun ye utk biblio....terima kasih in advance..