"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Wednesday, August 02, 2006

Jejak Nyemah Mulya: Upeh

Foto: Tengkera Kini


Dalam novel 1515, ada beberapa petikan ayat yang berkaitan dengan sebuah kawasan dalam Negeri Melaka yang di namakan sebagai ‘Upeh’. Perbincangan antara saya dengan beberapa rakan tentang ‘Upeh’ juga menimbulkan kekeliruan. Ada antara sahabat yang mengandaikan bahawa ‘Upeh’ ialah ‘Pulau Upeh’ iaitu tempat yang mempunyai banyak batu lada yang digunakan bagi pembinaan kota A Famosa, manakala ramai pula yang diam membatukan diri.

Hakikatnya, ‘Upeh’ pada ketika ini dikenali sebagai Tengkera yang berasal dari bahasa Portugis ‘Tranquiera’ iaitu “benteng pertahanan”. Walaupun ditambah oleh Faisal bahawa selepas penaklukan Portugis beberapa kawasan di luar Kota Melaka telah ditukar nama oleh Rui de Araujo iaitu Upeh kepada Tranquerah, Kampung Jawa kepada Sabac dan Bandar Di Hilir kepada Yler (2003:114)

‘Upeh’ ialah sebuah kawasan daripada Bandar Melaka ke arah utara. Sungai Melaka dan kubu Portugis. Ia merupakan tempat tinggal saudagar-saudagar Keling, China, Jawa dan lain-lain komuniti asing (Albuquerque: Caesar Timur, 1995:128)

Foto: Masjid Tengkera
Dalam perbincangan antara Albuquerque dengan para kaptennya tentang bagaimana dan di mana mereka harus mendarat semasa penyerangan Melaka, Rui de Araujo memberi pendapat bahawa pihak Portugis perlu menyerang jambatan Melaka dahulu kerana selepas merampas dan memilikinya, mereka akan berada di antara Bandar itu dengan petempatan Upeh (Albuquerque: Caesar Timur, 1995:107), manakala menurut Faisal pula, Upeh merupakan kawasan petempatan mewah dan orang-orang kaya di Melaka (2003:62).

Ini amat bertepatan seperti mana yang dijelaskan oleh Rui de Araujo bahawa Upeh merupakan kawasan petempatan golongan pedagang jadi tidak mustahillah ia merupakan petempatan mewah di Negeri Melaka pada ketika itu.

Namun yang jelas, Upeh (atau Tengkera:namanya kini) merupakan kawasan awal tempat pendaratan Portugis dan di kawasan ini jugalah Portugis membina kubunya yang awal dalam menghadapi serangan balas dari Sultan Melaka dan tenteranya. Di Upeh juga Portugis mengatur serangan dan strategi untuk mengusai Melaka.

Saya berpendapat bahawa jika benar Upeh merupakan kawasan pendaratan dan tempat didirikan kubu pertama Portugis amat logik kerana jika dilihat dari segi kedudukan, ia amat berhampiran dengan pantai dan ia juga terletak berhampiran dengan kawasan Bandar Melaka.

Semasa penaklukan Melaka, Portugis membakar semua masjid yang ditemui di Melaka dan salah satunya ialah masjid yang ditemui di Upeh.

Ini adalah fakta, kerana sehingga ke hari ini tidak ada Masjid yang diwarisi sejak dari Zaman Kesultanan Melayu apatah lagi dari Zaman Portugis. Masjid-Masjid Lama di Melaka seperti Masjid Tengkera, Masjid Kg Hulu dan Masjid Kg Keling semunya dibina semasa zaman Pemerintahan Belanda yang menuru kata sesetengah ahli sejarah lebih bersifat toleran berbanding Portugis.

Hari ini saya cuba jejaki jika ada kesan-kesan sejarah yang ditinggalkan olah Portugis di Upeh. Saya tahu mustahil untuk saya memperoleh sesuatu kerana jarak masa yang terlalu jauh antara tarikh penaklukan dengan kini.

Namun, menjejakkan kaki di Upeh dan singgah di Masjid Lama tengkera membuat hati amat sebak kerana di sinilah segala strategi diatur, di sinilah Portugis bertahan hingga akhirnya mereka berjaya Menakluki Melaka pada tahun 1515 itu. Di Upehlah SEGALANYA BERMULA.