"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Tuesday, August 08, 2006

Jejak Nyemah Mulya: A Famosa


Foto: A Famosa Kini


Setelah menakluki Melaka, selain dari membina beberapa buah gereja untuk tujuan penyebaran agama Kristian dan memurtadkan orang-orang Islam yang lemah imannya, Portugis di bawah pimpinan Albuquerque turut membina sebuah kubu pertahannan yang maha hebat bagi menangkis serangan balas dari Sultan dan pahlawan-pahlawan Melaka dan seterusnya memastikan Melaka terus kekal dalam genggaman Portugis.

Begitu licik strategi Albuquerque dan strategi ini memang benar-benar berkesan kerana sejak di tawan pada 1511 hingga ke tahun kekalahan Portugis ke tangan Belanda, A Famosa benar-benar merupakan kubu yang kekal dan tidak mampu ditembusi oleh orang-orang Melaka.

Saya amat yakin, A Famosa merupakan satu faktor utama yang menggagalkan serangan balas Sultan Melaka serta sehingga serangan dari pihak Acheh. Kubu ini benar-benar kebal. Benar-benar kukuh dan matap untuk ditembusi oleh pendekar-pendekar Melayu pada waktu tersebut.

Dalam novel 1515, terdapat satu bab khas yang mengisahkan tentang A Famosa yang ditonjolkan melalui surat yang diutuskan oleh Nyemah Mulya kepada Tun Fatimah. Tidak usahlah dipersoalkan samada benar-benar surat tersebut wujud kerana boleh jadi ia hanya imaginasi sahaja, walaubagaimanapun, yang jelas A Famosa tetap terbina di bumi Melaka.

“Ini tidak lain dan tidak bukan kerana patik merasakan Portugis babi ini sedang membina sebuah kubu kota yang besar. Yang jika dibina dan siap pula, nescaya tidak ada caranya lagi untuk baginada Sultan memperoleh Melaka kembali. Kata Datuk Bongkok, kubu itu akan dinamakan A Famosa dalam bahasa mereka” (1515:110)

“Dia berfikir-fikir saat mendaki jalan curam. Nyemah sudah memberi amaran kepada baginda Sultan tentang pembinaan A Famosa, tetapi ternyata tiada sesiapa yang mengambil berat. Suatu perkara yang sungguh mendukacitakan kerana seperti kata Nyemah dalam suratnya kepada Tun Fatimah, kota kubu yang dibina adalah kukuh dan jika telah terdiri, sudah pasti Melaka akan terlepas buat selama-lamanya” (1515:113)

“Dia membayangkan betapa hebatnya A Famosa. Kota lima penjuru dengan sebuah bandar di atas bukit di sebelah tebing kiri Sungai Melaka. Di dalam kota ini didirikan pula gereja yang didiami ahli-ahli agama monsterio de santo eloi, pusat pentadbiran fidalgos Portugis, fortalezas yang memuatkan askar-askar Portugis dan soldadu upahan serta kediaman atau rumah-rumah casados. Kota ini dibenteng sendiri oleh manusia, oleh penduduk Melaka. Jika baginda sultan menyerang bermakna baginda sultan akan menyerang penduduk Melaka dulu dan pada setiap penjuru itu disediakan meriam dan lascar yang cukup untuk menangkis serangan” (1515:113)

“Apa yang ditakuti Nyema nampaknya betul-betul berlaku. A Famosa terbina gah dan agam, menyulitkan apa jua bentuk serangan dari laut dan dari darat kerana jika serangan dating dari darat, pasukan baginda sultan harus menempuh Bandar Di Hilir, Kampung Jawa dan Upeh, sedang di puncak Bukit Cina, ditempatkan pasukan pemanah yang handal dan pasti merumitkan serta mengucar-kacirkan tentera baginda sultan” (1515:115)

Kehebatan A Famosa
Dalam proses menjejak A Famosa ini, saya agak kecewa kerana tidak menemui dokumen-dokumen yang menceritakan tentang kehebatan kota ini. Walau bagaimanapun, tulisan Faisal tentang A Famosa saya dapati agak terpeinci untuk kita membayangkan tentang kehebatan A Famosa itu.
“A Famosa, dia menyebut perlahan. Dia pernah membaca dokumen-dokumen sejarah tentang kehebatan kubu itu. Kota bentuk quadrilateral, enam puluh kaki dengan ketinggian sebenar setiap bahagian ialah dua ratus empat puluh kaki. Ia mengelilingi bukit Melaka. Dindinmg kubu dibina daripada batu lada dan kerikil tajam” (1515:115)
Foto: Batu Lada-Jenis Batu Untuk Membina A Famosa

“Pada permukaannya ditanam kaca-kaca mencucuk. Buku kubu di bahagian muara, penjuru St Pedro adalah setinggi tujuh ratus lapan puluh kaki. Di penjuru Santiago ketinggian empat ratus lima puluh kaki menjulang. I pintu utama , bucu yang dinamakan St Domingo situ adalah sembilan ratus kaki sedang di penjuru Madre de Deos ketinggian nya ialah enam ratus kaki. Penjuru St Antonio juga setinggi enam ratus kaki menempatkan garisan Virgins, antara tempat pertahanan tergagah di dalam kota. Inilah kubu Eropah yang tak terlihat oleh orang-orang di Alam Melayu, nanti dikukuhkan lagi oleh fasa kedua pembinaannya. Di perhebat oleh arkitek diRaja Portugis, Joao Baptista” (1515:115-116)

Foto: AFamosa Di Tahun 1600

“Terlalu hebat A Famosa hingga tak tembus serangan Baginda Sultan dan negeri-ngeri Islam yang lain. Pada 1514, Jawa menyerang sia-sia. 1518, Sultan Bintang datang mengepalai bala tentera, juga tak apa-apa. Sultan Acheh datang penuh perkasa pada tahun 1538, tidak dapat melanggar kota, begitu juga pada tahun 1572 dan 1573. Jawa menyerang lagi pada tahun 1574 dan masuk semula Acheh pada tahun 1575, berturut-turut A Famosa dibedil, tetapi bagaikan tidak lut oleh apa juga peluru. Tidak termasuk kepungan dari Johor pada tahun 1588 yang mana orang Portugis hampir mati kebururan beramai-ramai di dalamnya” (1515:116)

Begitu hebat A Famosa, selama 74 tahun diserang, namun ia masih tegu dan Portugis laknat masih kekal di bumi Melaka. Memang sepadanlah dengan namanya A Famosa iaitu “yang hebat” dalam bahasa Portugis.

“Empat pintu pada A Famosa. Yang paling utama pintu St Antonio. Pintu itu saja memberi laluan masuk orang-orang Melaka yang mahu berurusan dengan fidalgos. Pintu lain khas untuk orang Portugis, tali barut dan sanak keluarganya saja” (1515:117)

“Kota keliling dinding itu melindungi kepentingan Portugis yang penting-penting sahaja. Istana Feitor kediaman Wizurai Melaka, kediaman paderi-paderi, dewan sembahyang Brothers of Mercy, lima buah gereja termasuk gereja besar Our Lady of Assumption Chapel tinggi di atas puncak bukit dengan rumah api serta biara untuk melatih orang Melaka jadi Murtad beserta dua buah hospital. Hospital del rey dan Hospital d Povne tempat merawat orang-orang cedera, kebanyakannya Portugis sahaja” (1515:117)

“Di dalam kota itu juga terletak Alfadenga, tidak jauh dari tenggara sungai, kelab tempat orang-orang Portugis bersuka ria mengepit betina, minum-minuman danmelepas letih lelah membunuh orang Melaka dan mengaut keuntungan daripada pelabuhannya” (1515:118)

Nah, sebegitu hebatnya A Famosa. Lengkap dengan gereja dan hospital. Kebal dan mantap…

Walau bagaimanapun, Faisal tidak memperincikan tentang pembinaannya.

Maklumat Tambahan Tentang Pembinaan A Famosa

Secara ringkasnya, A Famosa dibina atas air mata dan darah rakyat Melaka. Pada pembinaannya, rakyat Melaka di paksa untuk membina kubu yang hebat itu. Batu Lada yang dibina diambil dari Pulau Upeh (kesan pemotongan batu masih kelihatan hingga kini) (Nota: Pulau Upeh dan Upeh ialah dua tempat yang berbeza). Batu lada memang batu yang kuat dan tahan bedilan peluru dan Meriam.

Malah ada yang mengatakan bahawa sebahagian batu yang digunapakai untuk membina A Famosa ialah batu-batu nisan sultan-sultan Melaka dan rakyat Melaka yang terdahulu. Oleh yang semikian sehingga kini kita tidak dapat melihat dan mengetahui makam-makan sultan Melaka yang pernah memerintah sebelum penjajahn Portugis begitu juga kubur orang Islam Melaka terdahulu.Kajian-kajian tentang Nisan Acheh membuktikan kenyataan saya (untuk makluman tentang Nisan Acheh sila rujuk Othman Mohd Yatim, Achenese Tombstone….) dan lebih buruk ada yang mengatakan bahawa bancuhan simen di A Famosa sebahagiannya dibancuh dengan darah rakyat Melaka yang disembelih.

A Famosa dibina di Bukit Melaka. Pembinaannya secara tidak langsung melenyapkan kesan-kesan pemerintahan kesultanan Islam di Melaka. Masjid Melaka dan Istana Sultan dihapuskan kesannya. A Famosa di bina di atas runtuhan Masjid dan Istana Melaka. Yang nyata, A Famosa di bina atas air mata dan darah rakyat Melaka dan hasil binaannya adalah untuk kepentingan Portugis di Melaka…

A Famosa Kini

Kini, A Famosa merupakan tarikan utama pelancong ke negeri Melaka. A Famosa merupakan mercu tanda pelancongan di negeri ini.

Semasa berdiri di hadapan runtuhan A Famosa iaitu di hadapan pintu Porta de Santiago, hati begitu sayu. Kerana Kota inilah yang menghalang Melaka dari di takluki semula oleh Kesultanan Melayu dan hasilnya hingga kini Melaka sebagai sebuah negeri yang hebat sejarah kesultanan tidak mempunyai sultan. Saya berimaginasi, jika kota ini tidak dibina, sudah pasti Portugis akan diusir keluar dari bumi melaka dalam serangan-serangan selepas penjajahan.

A Famosa kekal dalam bentuknya yang asal semasa pemerintahan Belanda namun ia dibakar dan cuba di Musnahkan oleh Kolonel William Farquhar semasa pemerintahan Inggeris. Jika tidak kerana halangan oleh Stamford Raffles pastinya tiada kesan A Famosa hingga kini.
Foto: Kesan-Kesan Runtuhan A Famosa

5 comments:

Jong said...

salam,
sebagai orang perbandaran - pak kebun pernah kaji tak konsep perbandaran portugis dan belanda? ada jumpa apa-apa artikel mengenai hal ini?

Anonymous said...

Salam, Bagusnya usaha Pak Kebun, semoga dirahmati Allah hendaknya. Jika dapat alangkah bagusnya ia dijadikan sebuah buku dan sejarah ini dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran pendidikan Di Malaysia.

Anonymous said...

Assalamualaikum...

Kalau tidak kerana blog saudara Faisal Tehrani, masakan saya tahu tentang Pak Kebun (unik sekali panggilan).
Saya juga warga UPSI. Disini saya hanya mengetahui mengenai betapa berjasanya Tanjong Malim ke atas dunia sastera Malaysia.
Mungkin kita boleh ketemu untuk mengenali lebih dekat lagi. Hati saya berbisik bahawa Pak Kebun merupakan seorang tenaga pengajar di UPSI....

al-atiq said...

salam.
Tahniah Pak Kebun.
Selepas membaca 1515 ,akhir tahun lepas, saya juga ke melaka dan cuba menyelusuri negeri itu mengikut riwayat FT !namun saya hanyalah pemerhati biasa yang tidak dapat mengupasnya seperti pak Kebun!

Pak Kebun said...

Zahidi- InsyaAllah, jika tiada aral melintang mungkin kita boleh ketemu di sini. Saya hanya seorang Tuang Kebun

Kakz- Terima kasih atas komen. Jika hendak link dengan blog kakz saya tiada apa halangn.
Masih banyak lagi yang hendak say tulis tentang gusti..tetapi masa amat mencemburui..insyaAllah ada kelapangan akan saya teruskan

Aslina Bidadari- terima kasih atas sokongan. Cuma cadangan saudari tu perlu di perhalusi. Sejarah bukan sekadar tarikh dan peristiwa, sejarah ialah ilamu tentag punca sebab dan akibat

Al-Atiq: Tahniah kerana telah membaca. Tahniah kerana ke Melaka.

Faisal-saya ada jumpa beberapa bacaan tentang "Urban Morphology In Malacca" yang ada kisahkan tentang evolusi reka bentuk bandar di Negeri Melaka. Dari Era Awal-Portugis-Belanda dan seterusnya Inggeris.

InsyaAllah, jika ada kesempatan boleh saya bincangkan dalam bloh ini. Tentang negara dan kota serta lain-lain yang berkaitan

Moga Allah memberikan saya kekuatan dan kelapangan masa