"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Wednesday, August 23, 2006

Hairan..


Semalam dalam Buletin Utama, Menteri yang berkaitan dengan air berapi-api berhujah bahawa Kerajaan mungkin terpaksa menaikan tarif air untuk membendung sikap suka membazirkan air di kalangan rakyat
Hari ini, aku terima bil air dengan tambahan nota:
"Makluman: Kadar Tarif Air Lembaga *** ***** telah dinaikkan sejak 1 Julai 2006"
Pak Kebun: Tahniah

Friday, August 18, 2006

Setelah 2 Minggu !!

Pagi :Mesyuarat
Petang : Bengkel
Malam : Taklimat

2 Minggu
10 Hari bekerja

Mungkin aku dibayar hanya untuk ketiga-tiga benda mengarut itu agaknya…

Tuesday, August 15, 2006

Jejak Nyemah Mulya: Akhirul Kalam

Jejak Nyemah Mulya saya tamatkan dengan entri "A Famosa"


Tamat di sini bukan bermaksud bahawa saya telah menjejaki kesemua yang ada dalam novel 1515 tulisan Faisal, mungkin ada antara peminat yang mampu buat yang lebih baik dari apa yang saya lakukan.
Saya kini telah kembali ke Negeri Utara dan kini dibebani dengan pelbagai tugasan yang tertunggak yang telah saya tinggalkan selama 3 bulan yang lalu
Kerja tertunggak serta kerja lain yang datang bertali arus menyebabkan saya tidak mampu untuk meluangkan masa untuk menulis. Saya akui bahawa kesibukan menyebabkan ide melimpah-limpah untuk dicurahkan namun saya kena terima hakikat bahawa ada yang penting dan ada yang lebih penting. Menulis itu penting tetapi kerja dan tanggungjawab saya lebih penting.
Saya ucapkan terima kasih kepada Faisal kerana memberi 'lampu hijau' kepada saya dalam siri Jejak Nyemah Mulya ini. Juga terima kasih kepada pembaca yang sudi membaca serta memberikan komen.
Setiap kebaikan datang dari Allah dan segala kelemahan datang dari diri saya sendiri.
InsyaAllah saya akan terus menulis...
Wassalam'

Tuesday, August 08, 2006

Jejak Nyemah Mulya: A Famosa


Foto: A Famosa Kini


Setelah menakluki Melaka, selain dari membina beberapa buah gereja untuk tujuan penyebaran agama Kristian dan memurtadkan orang-orang Islam yang lemah imannya, Portugis di bawah pimpinan Albuquerque turut membina sebuah kubu pertahannan yang maha hebat bagi menangkis serangan balas dari Sultan dan pahlawan-pahlawan Melaka dan seterusnya memastikan Melaka terus kekal dalam genggaman Portugis.

Begitu licik strategi Albuquerque dan strategi ini memang benar-benar berkesan kerana sejak di tawan pada 1511 hingga ke tahun kekalahan Portugis ke tangan Belanda, A Famosa benar-benar merupakan kubu yang kekal dan tidak mampu ditembusi oleh orang-orang Melaka.

Saya amat yakin, A Famosa merupakan satu faktor utama yang menggagalkan serangan balas Sultan Melaka serta sehingga serangan dari pihak Acheh. Kubu ini benar-benar kebal. Benar-benar kukuh dan matap untuk ditembusi oleh pendekar-pendekar Melayu pada waktu tersebut.

Dalam novel 1515, terdapat satu bab khas yang mengisahkan tentang A Famosa yang ditonjolkan melalui surat yang diutuskan oleh Nyemah Mulya kepada Tun Fatimah. Tidak usahlah dipersoalkan samada benar-benar surat tersebut wujud kerana boleh jadi ia hanya imaginasi sahaja, walaubagaimanapun, yang jelas A Famosa tetap terbina di bumi Melaka.

“Ini tidak lain dan tidak bukan kerana patik merasakan Portugis babi ini sedang membina sebuah kubu kota yang besar. Yang jika dibina dan siap pula, nescaya tidak ada caranya lagi untuk baginada Sultan memperoleh Melaka kembali. Kata Datuk Bongkok, kubu itu akan dinamakan A Famosa dalam bahasa mereka” (1515:110)

“Dia berfikir-fikir saat mendaki jalan curam. Nyemah sudah memberi amaran kepada baginda Sultan tentang pembinaan A Famosa, tetapi ternyata tiada sesiapa yang mengambil berat. Suatu perkara yang sungguh mendukacitakan kerana seperti kata Nyemah dalam suratnya kepada Tun Fatimah, kota kubu yang dibina adalah kukuh dan jika telah terdiri, sudah pasti Melaka akan terlepas buat selama-lamanya” (1515:113)

“Dia membayangkan betapa hebatnya A Famosa. Kota lima penjuru dengan sebuah bandar di atas bukit di sebelah tebing kiri Sungai Melaka. Di dalam kota ini didirikan pula gereja yang didiami ahli-ahli agama monsterio de santo eloi, pusat pentadbiran fidalgos Portugis, fortalezas yang memuatkan askar-askar Portugis dan soldadu upahan serta kediaman atau rumah-rumah casados. Kota ini dibenteng sendiri oleh manusia, oleh penduduk Melaka. Jika baginda sultan menyerang bermakna baginda sultan akan menyerang penduduk Melaka dulu dan pada setiap penjuru itu disediakan meriam dan lascar yang cukup untuk menangkis serangan” (1515:113)

“Apa yang ditakuti Nyema nampaknya betul-betul berlaku. A Famosa terbina gah dan agam, menyulitkan apa jua bentuk serangan dari laut dan dari darat kerana jika serangan dating dari darat, pasukan baginda sultan harus menempuh Bandar Di Hilir, Kampung Jawa dan Upeh, sedang di puncak Bukit Cina, ditempatkan pasukan pemanah yang handal dan pasti merumitkan serta mengucar-kacirkan tentera baginda sultan” (1515:115)

Kehebatan A Famosa
Dalam proses menjejak A Famosa ini, saya agak kecewa kerana tidak menemui dokumen-dokumen yang menceritakan tentang kehebatan kota ini. Walau bagaimanapun, tulisan Faisal tentang A Famosa saya dapati agak terpeinci untuk kita membayangkan tentang kehebatan A Famosa itu.
“A Famosa, dia menyebut perlahan. Dia pernah membaca dokumen-dokumen sejarah tentang kehebatan kubu itu. Kota bentuk quadrilateral, enam puluh kaki dengan ketinggian sebenar setiap bahagian ialah dua ratus empat puluh kaki. Ia mengelilingi bukit Melaka. Dindinmg kubu dibina daripada batu lada dan kerikil tajam” (1515:115)
Foto: Batu Lada-Jenis Batu Untuk Membina A Famosa

“Pada permukaannya ditanam kaca-kaca mencucuk. Buku kubu di bahagian muara, penjuru St Pedro adalah setinggi tujuh ratus lapan puluh kaki. Di penjuru Santiago ketinggian empat ratus lima puluh kaki menjulang. I pintu utama , bucu yang dinamakan St Domingo situ adalah sembilan ratus kaki sedang di penjuru Madre de Deos ketinggian nya ialah enam ratus kaki. Penjuru St Antonio juga setinggi enam ratus kaki menempatkan garisan Virgins, antara tempat pertahanan tergagah di dalam kota. Inilah kubu Eropah yang tak terlihat oleh orang-orang di Alam Melayu, nanti dikukuhkan lagi oleh fasa kedua pembinaannya. Di perhebat oleh arkitek diRaja Portugis, Joao Baptista” (1515:115-116)

Foto: AFamosa Di Tahun 1600

“Terlalu hebat A Famosa hingga tak tembus serangan Baginda Sultan dan negeri-ngeri Islam yang lain. Pada 1514, Jawa menyerang sia-sia. 1518, Sultan Bintang datang mengepalai bala tentera, juga tak apa-apa. Sultan Acheh datang penuh perkasa pada tahun 1538, tidak dapat melanggar kota, begitu juga pada tahun 1572 dan 1573. Jawa menyerang lagi pada tahun 1574 dan masuk semula Acheh pada tahun 1575, berturut-turut A Famosa dibedil, tetapi bagaikan tidak lut oleh apa juga peluru. Tidak termasuk kepungan dari Johor pada tahun 1588 yang mana orang Portugis hampir mati kebururan beramai-ramai di dalamnya” (1515:116)

Begitu hebat A Famosa, selama 74 tahun diserang, namun ia masih tegu dan Portugis laknat masih kekal di bumi Melaka. Memang sepadanlah dengan namanya A Famosa iaitu “yang hebat” dalam bahasa Portugis.

“Empat pintu pada A Famosa. Yang paling utama pintu St Antonio. Pintu itu saja memberi laluan masuk orang-orang Melaka yang mahu berurusan dengan fidalgos. Pintu lain khas untuk orang Portugis, tali barut dan sanak keluarganya saja” (1515:117)

“Kota keliling dinding itu melindungi kepentingan Portugis yang penting-penting sahaja. Istana Feitor kediaman Wizurai Melaka, kediaman paderi-paderi, dewan sembahyang Brothers of Mercy, lima buah gereja termasuk gereja besar Our Lady of Assumption Chapel tinggi di atas puncak bukit dengan rumah api serta biara untuk melatih orang Melaka jadi Murtad beserta dua buah hospital. Hospital del rey dan Hospital d Povne tempat merawat orang-orang cedera, kebanyakannya Portugis sahaja” (1515:117)

“Di dalam kota itu juga terletak Alfadenga, tidak jauh dari tenggara sungai, kelab tempat orang-orang Portugis bersuka ria mengepit betina, minum-minuman danmelepas letih lelah membunuh orang Melaka dan mengaut keuntungan daripada pelabuhannya” (1515:118)

Nah, sebegitu hebatnya A Famosa. Lengkap dengan gereja dan hospital. Kebal dan mantap…

Walau bagaimanapun, Faisal tidak memperincikan tentang pembinaannya.

Maklumat Tambahan Tentang Pembinaan A Famosa

Secara ringkasnya, A Famosa dibina atas air mata dan darah rakyat Melaka. Pada pembinaannya, rakyat Melaka di paksa untuk membina kubu yang hebat itu. Batu Lada yang dibina diambil dari Pulau Upeh (kesan pemotongan batu masih kelihatan hingga kini) (Nota: Pulau Upeh dan Upeh ialah dua tempat yang berbeza). Batu lada memang batu yang kuat dan tahan bedilan peluru dan Meriam.

Malah ada yang mengatakan bahawa sebahagian batu yang digunapakai untuk membina A Famosa ialah batu-batu nisan sultan-sultan Melaka dan rakyat Melaka yang terdahulu. Oleh yang semikian sehingga kini kita tidak dapat melihat dan mengetahui makam-makan sultan Melaka yang pernah memerintah sebelum penjajahn Portugis begitu juga kubur orang Islam Melaka terdahulu.Kajian-kajian tentang Nisan Acheh membuktikan kenyataan saya (untuk makluman tentang Nisan Acheh sila rujuk Othman Mohd Yatim, Achenese Tombstone….) dan lebih buruk ada yang mengatakan bahawa bancuhan simen di A Famosa sebahagiannya dibancuh dengan darah rakyat Melaka yang disembelih.

A Famosa dibina di Bukit Melaka. Pembinaannya secara tidak langsung melenyapkan kesan-kesan pemerintahan kesultanan Islam di Melaka. Masjid Melaka dan Istana Sultan dihapuskan kesannya. A Famosa di bina di atas runtuhan Masjid dan Istana Melaka. Yang nyata, A Famosa di bina atas air mata dan darah rakyat Melaka dan hasil binaannya adalah untuk kepentingan Portugis di Melaka…

A Famosa Kini

Kini, A Famosa merupakan tarikan utama pelancong ke negeri Melaka. A Famosa merupakan mercu tanda pelancongan di negeri ini.

Semasa berdiri di hadapan runtuhan A Famosa iaitu di hadapan pintu Porta de Santiago, hati begitu sayu. Kerana Kota inilah yang menghalang Melaka dari di takluki semula oleh Kesultanan Melayu dan hasilnya hingga kini Melaka sebagai sebuah negeri yang hebat sejarah kesultanan tidak mempunyai sultan. Saya berimaginasi, jika kota ini tidak dibina, sudah pasti Portugis akan diusir keluar dari bumi melaka dalam serangan-serangan selepas penjajahan.

A Famosa kekal dalam bentuknya yang asal semasa pemerintahan Belanda namun ia dibakar dan cuba di Musnahkan oleh Kolonel William Farquhar semasa pemerintahan Inggeris. Jika tidak kerana halangan oleh Stamford Raffles pastinya tiada kesan A Famosa hingga kini.
Foto: Kesan-Kesan Runtuhan A Famosa

Jejak Nyemah Mulya: Perang dan Jambatan Melaka

Sekiranya anda telah membaca novel 1515 dan juga buku Albuquerque: Caesar Timur terutamanya dalam bab-bab yang mebgisahkan tentang peperangan yang tercetus antara Portugis dan Melaka, pasti anda akan temui bahawa lokasi pertempuran yang paling hebat ialah di Jambatan Melaka. Di jambatan Melakalah Tuan Bandan Syahid bersama-sama pengikutnya. Di Jambatanlah tentera dan Sultan Melaka berkubu dan bermatian-matian berjuang. Dan jambatan jugalah sasaran pertama penaklukan Portugis.

Saya mengandaikan tentu jamatan ini amat hebat dan besar. Jika tidak maskaan boleh beratus-ratus tentera (samada Melaka dan Portugis bertempur di atas jambatan tersebut). Harus di ingat pengikut Tuan Bandan sahaja seramai 700 orang.
Kenapa Jambatan?

“Rui de Araujo menyatakan bahawa pada pendapatnya mereka patut menyerang jambatan itu dahulu kerana selepas merampas dan memilikinya mereka akan berada di antara bandar itu dengan penempatan Upeh. Dengan demikian ia akan membahagikan tentera Sultan Melaka kepada dua” (Albuquerque:Caesar Timur:107)
Ya..jambatan Melaka adalah lokasi yang amat strategik. Memandangkan adalah mustahil untuk Portugis menyerang dari arah laut. Portugis telah mendarat dan membina kubu pertahanan di Upeh dan jambatan Melaka merupakan satu-satunya penghalang yang pastinya menyukarkan serangan ke atas Melaka. Menguasai jambatan merupakan kejayaan yang paling penting bagi membolehkan penaklukan seterusnya.

Oleh yang demikian, Albuquerque telah mengambil pendekatan untuk mengusai jambatan dahulu melalui serangannya yang berpusat di kubu awal mereka di kawasan Upeh. Begitu juga dengan Sultan Melaka yang menyedari akan kepentingan untuk mempertahankan jamatan telah mengerahkan tenteranya untuk mempertahankan jamabtan bersungguh-sunggu kerana jatuhnya jambatan ke tangan Portugis merupakan petandan awal kepada kejatuahan Melaka.
Serangan Untuk Menguasai Jambatan

Dalam novel 1515 dan buku Albuquerque:Caesar Timur sama-sama memperincikan tentang kehebatan pertempuran di atas jambatan.

“Tentera Portugis sebetulnya bertungkus-lumus untuk menguasai jambatan Melaka, tetapi usaha itu sukar sekali. Kerana itu pada hari ketiga kepungan dan pertempuran mereka menggunakan jong besar yang sarat dengan muatan senjata dan makanan dengan harapan ketinggian jong mencapai paras jambatan dan memudahkan mereka menyerang kubu orang Islam” (1515:94-95)

“ Patik perhatikan pihak musuh seribu daya berhempas pulas untuk merampas jambatan Melaka kerana di situlah kekuatan kita. Jambatan Melaka menghubungkan kota dengan penempatan Upeh” (1515:165)

“Orang Islam mula menembak orang-orang kita dengan meriam yang diletakkan di dalam kubu dan tembakan mereka telah mencederakan beberapa orang. Apabila letupan senjata api pertama berakhir, Albuquerque mengarahkan supaya ditiupkan trumpet dan dengan laungan ‘Saint James’, mereka maju ke arah kubu di atas jambatan tempat pasukan itu berada” (Albuquerque: Caesar Timur:108)

“Albuquerque berhenti di sebelah bandar dengan semua kapten dan pasukan tentera yang lain dan mereka menyerang jambatan dari situ. Mereka bertembung dengan penentang yang kuat kerana ramai pasukan musuh bersama-sama raja berkumpul di sana” (Albuquerque: Caesar Timur:109)

“Tuan Bandan, Ketua Pasukan di Raja Melaka telah menaikkan bendera dengan warna mereka dalam salah sebuah kubu di atas jambatan. Apabila melihat orang Islam kacau bilau, beliau keluar dengan 700 orang Jawa dan dua orang kapten lain naik ke atas jambatan di bahagian kota dan menyerang kami dari belakang.”

“Albuquerque nampak mereka datangdari salah satu jalan besar di bandar tersebut lalu mengeluarkan Joao de Sousa, Antonio de Ebreu dan Aries Pariera serta orang-orangnya supaya mereka boleh menyerang. Ini dilakukan dengan cepat sebelum orang islam sampai ke kubu.”

“Mereka dapat melempar lembing dengan penuh semangat sehingga memaksa pihak musuh untuk berundur. Dom Joao de Lima dan kapten-kapten lain yang berada di sebelah masjid tergesa-gesa untuk sampai ke hadapan secepat mungkin, apabila mereka muncul dan dengan segera membunuh sebahagian daripada mereka.”

“Yang lain-lain pula terjun ke arah sungai apabila mendapati diri mereka di serang dari ke dua-dua arah. Para pelayar terus menujuke arah mereka dalam kapal lalu membunuh mereka semua tanpa mengecualikan sesiapa pun kerana komander mereka Tuan Bandan dan dua orang kapten yang bersama-samanya telah terbunuh”
(Albuquerque: Caesar Timur:110)

“Albuquerque dengan tenteranya mengambil alih kubu dan mengejar orang Islam di jalan menuju ke jambatan dan membunuh ramai antara mereka” (Albuquerque: Caesar Timur:111)

Seperti yang akan diterangkan kemudian, terdapat banyak meriam seperti itu di melaka dan jambatan tersebut dihalang dengan halangan yang sangat kukuh. Di salah satu jalan utama yang menuju kea rah jambatan, dibina kubu dan dipasang meriam di belakangnya. Lebih banyak diletakkan di bahagian sebelah masjid dan di pantai tempat jeti terletak dibubuhnya besi-besi berduri yang direndamkan ke dalam racundan diletakkannya bertaburan supaya orang-orang kita yang menghampiri pantai akan tercucuk. Untuk memenuhi kehendak orang Jawa yang ramai menjadi tenteranya tetapi tidak puas hati kerana tidak dibayar gaji, baginda mengarahkan mereka semua supaya dilunaskan segala bayaran dan di bayar tiga bulan gaji pendahuluan kerana bimbang Afonso akan menyerang bandar itu” (Albuquerque: Caesar Timur:113)

Begitu hebat strategi dan serangan yang diatur oleh Portugis untuk menawan jambatan Melaka. Begitu juga hebatnya strategi Sultan Melaka dalam mempertahankan jambatan. Namun, serangan demi serangan dan strategi yang di atur oleh Portugis ternyata amat licik dan akhirnya jambatan dapat ditawan seterusnya mempercepatkan usaha mereka untuk menawan Melaka.

Dalam ketewasan itu Faisal sempat meyindir

“Puaslah hati agaknya baginda Sultan selama ini berlekaan membiarkan negeri akhirnya jatuh ke tangan orang kafir dan ramai pula merungkai diri dari syahadah” (1515:118)

Semasa proses dokumentasi saya cuba menjejak jambatan Melaka yang penuh sejarah itu. Saya tahu amat mustahil untuk saya menemuinya. Namun saya amat berharap agar dapat sedikit sebanyak mengandaikan lokasinya. Berdasarkan pemerhatian dan bacaan saya andaikan bahawa jambatan yang hebat itu terletak di Muara Sungai Melaka dan dari segi lokasinya mungkjin berada d bahagian belakang Muzium kastam hingga di kawasan sungai di sebelah Muzium Samudera..Wallahualam…

Foto: Mungkin Di Sini Lokasi Jambatan Melaka

Jejak Nyemah Mulya: Lereng Bukit Melaka


Foto: Lereng Bukit Melaka-Pertempuran Hebat Berlaku Di Sini

Dalam entri saya yang bertajuk “Jejak Nyemah Mulya: Istana dan Masjid Melaka” telah dijelaskan bahawa kedua-dua institusi penting yang telah dibakar semasan serangan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1515 itu terletak di Lereng Bukit Melaka.
Ini tidak mustahil kerana lokasi dan kedudukan Bukit Melaka yang begitu strategik sehingga menyebabkan Sultan Melaka pada ketika itu berkenan untuk mendidirikan Istana dan Masjid di lereng Bukit Melaka.

Oleh yang demikian, dalam penyerangan tersebut Bukit Melaka merupakan antara medan pertempuran yang terhebat antara pahlawan Melayu Melaka dengan penjajah Portugis.

“ Baginda Sultan yang berundur ke Lereng Bukit Melaka, berpaling lantas disertai dua ribu pengikut bersedia untuk menyerang semula orang-orang Portugis kerana Baginda juga kepingin syahid seperti Tuan Bandan” (1515:69)

Hari ini, Lereng Bukit Melaka begitu tenang. Ketenangannya menyebabkan ramai antara kita yang melupai bahawa di sini pernah berlakunya pertempuran yang hebat. Pertumpahan darah antara Agama dan maruah menentang penjajah.

Saya berlegar-legar di Lereng Bukit Melaka, menghayati dan mengingati sejarah dengan sebak…..

Jejak Nyemah Mulya: Istana dan Masjid Melaka

Foto: Istana Budaya (Beginikah Rupanya Istana Melaka Yang Terbakar itu??)




Semasa pertempuran antara Portugis dengan pahlawan Melaka pada tahun 1515, antara medan pertempuran utama ialah di kawasan sekitar Istana dan Masjid Melaka (selain pertempuran hebat di kawasan Jambatan Melaka). Pertempuran dikatakan amat hebat.

“Muncul baginda Sultan Mahmud dari arah Istana menaiki gajah diiringi paluan gong” (1515:65)

Bagaimana rupa dan di mana lokasi Istana Melaka??

Saya tidak dapat memastikan dengan tepat lokasi asal Istana Melaka. Walaubagaimanapun, dalam kebanyakan buku sejarah mengatakan bahawa Istana Melaka terletak di Lereng Bukit Melaka dan ia berhampiran dengan Masjid Melaka.

Foto: Mungkin Di Sini Lokasi Asal Masjid dan Istana Melaka

Kenapa Istana dan Masjid jadi sasaran utama Portugis???

“Usaha Portugis untuk menawan masjid hamba patahkan kerana hati kecil hamba tahu jika masjid ini kalah bermakna kalahlah Islam”
(1515:151)

Ini kerana matlamat utama Portugis untuk menghapuskan Islam dari muka bumi Melaka. Jadi Istana ialah lambang Kesultanan yang menganut agama Islam manakala Masjid ialah institusi utama dalam perkembangan dan penyebaran agama Islam di muka bumi.

Sebab itu sehingga kini usaha meroboh dan memusnahkan masjid-masjid masih berlaku di seluruh dunia atas pelbagai alasan seperti di India (Masjid Babri) dan Jerusalem (Masjid Al Aqsa).

Bagi Portugis, musnahnya Istana dan Masjid secara tidak langsung memusnahkan dua tonggak utama Islam di negeri Melaka dan tanpa kedua-dua tonggak itu, mudahlah mereka menakluki Negeri Melaka.

Sedih dan terharu apabila mendapati Istana dan masjid Melaka telah dibakar Portugis dalam pertempuran tersebut.

Jatuhnya (rentungnya) istana dan masjid Melaka, maka fasa bagi kejatuhan Islam pun bermula….

“sesetengah pula ligat membakar istana, maka api pun merebak marak. Pantas menyala ke seluruh kota. Kerana istana Melaka itu memang teramat besar, kau sendiri tahu hebatnya istana Melakan di lereng bukit itu, bukat asap memenuhi ruang udara”
(1515:72)

“Pada masa kubu sedang dibina, beliau mengarahkan Gaspar de Paiva bersama-sama seratus orang untuk membakar di bahagian Bandar itu sebaik-baik sahaja angina mula bertiup. Simao Martins bersama-sama seratus orang pula diarahkan membakar Istana yang terletak di bahagian yang sama dengan Masjid. Apabila api marak, ia merebak dengan pantas sehingga sebahagian besar Bandar itu terbakar. Apabila orang-orang Islam melihat api itu, mereka beredar ke tempat yang jauh daripada orang-orang kita”
(Alburquque: Caesar Timur,1995:111)
Foto: Masjid Kg Hulu-Antara Masjid Yang Tertua Di Melaka

Thursday, August 03, 2006

Jejak Nyemah Mulya: Sungai Melaka


Foto: Sungai Melaka Kini Indah Di Pandang Mata Tetapi Jangan Terlupa Di Sini Pertempuran Hebat Berlaku Pada Tanggal 1511

Sungai Melaka.
andai kau mampu bercerita. Pasti dapat kau ceritakan padaku bagaimana hebatnya peperangan pada April 1511 itu.
Air mu yang asalnya jernih bertukar menjadi merah akibat bercampur dengan darah samada darah pendekar mahupun pen jajah.
Sungai Melaka,
andai kau mampu merakam, pasti ku pinta agar kau pertontonkan kepada ku kehebatan peperangan itu.
Peperangan yang menjatuhkan Kesultanan Melayu.
Peperangan yang meranapkan maruah agama dan bangsa di bumi tercinta

Saya sendiri tidak yakin apabila melihat saiz sungai ini bahawa pertempuran yang hebat pernah berlaku di sini. Sungai yang memisahkan antara kawasan kota Melaka dengan kawasan tempat berkubunya tentera Portugis di Upeh.

Sungai yang yang di atasnya terbina jambatan Melaka yang merupakan medan pertempuran yang terhebat.

“Apabila semuanya sudah siap sedia, Afonso memberitahu Antonio de Abreu untuk belayar ke sungai melalui kukup ke hilir dari jambatan. Dan dia berserta orang-orangnya akan mengekorinya. Jong itu sangat besar dan tidak dapat melepasi kukup kerana air sedang surut ketika itu. Untuk tidak membuang masa Afonso memerintahkan agar dihantar jong lain yang lebih kecil saiznya. Walau bagaimanapun jong ini tersadai juga dan mereka terpaksa menunggu air pasang” (Albuquerque: Caesar Timur,1995:115)

“Ayahmu memimpin seratus hafiz berdiri di pesisir sungai lalu memanah, menembak dan menyumpit askar-askar Malabar yang sedang berundur, lima puluh sempat terluka. Ada yang jatuh ke dalam sungai dan ditembak dengan istinggar” (1515:74)

“Pasukan Baginda Sultan yang berjumlah tiga ribu orang semuanya berazam mempertahankan tebing sungai bersungguh-sungguhmenembak dengan meriam supoaya askar-askar itu berundur semula ke nau mereka” (1515:169)
“Bahang kebakaran Kota Melaka menyebabkan air sungai Melaka menggelegak dan mendidih justeru ikan-ikan, udang-udang, siput-siput dan ketam-ketam merah terpanggang terapung ke permukaan” (1515:73)

Begitu hebatnya perang yang di saksikan oleh sungai Melaka.

Hari ini Sungai Melaka semakin jernih. Ia kini dipromosikan sebagai salah satu tarikan utama pelancongan bagi negeri ini. Menyusuri Sungai Melaka memberikan satu pandangan yang amat menarik.

Namun, saya amat mengharapkan agar ada usaha untuk mengesan dan menonjolkan semula kawasan juga lokasi pertempuran yang hebat yang pernah berlaku di tebing Sungai Melaka itu supaya ia juga dapat ditonjolkan kepada semua orang, bahawa Melayu itu bangsa yang ada harga diri dan bukannya mengalah sesuka hati, agar kesan tinggalan yang ditonjolkan itu dapat mengingatkan anak bangsa bahawa dulu kita menentang hebat usaha penjajahan sedang kini kita semua menyerah atas nama penjajahan walaupun penjajahan itu tanpa peperangan.

Jejak Nyemah Mulya: Bunga Raya dan Kg Jawa


Foto: Sungai Melaka (Dari Di Sebelah Kanan ialah Kg Jawa)

Foto: Surau di Kg Jawa (Ada Komuniti ISlam Di Sini)
Siapa kata Portugis menjajah untuk menguasi perdagangan rempah???

Hakikat bahawa agama adalah faktor utama penjajahan Portugis di Melaka memang tidak dapat disangkal. Dalam novel 1515, digambarkan bahawa selepas kemenangan Portugis menguasai Melaka, langkah pertama yang dilakukan ialah pembinaan gereja-gereja di bumi Melaka.

“Di tebing-tebing sungai di kampong Jawa dan Bunga Raya kembali deretan rumah-rumah kayu. Di sini juga didirikan tiga buah gereja kecil, Gereja St Lazaro, Gereja our Lady of Gandalupe dan Gereja Our Lady of Hope” (1515: 125)

Foto: Mungkin Di Sini Lokasi Salah Satu Dari 3 Gereja Tersebut??
Saya telusuri Bunga Raya dan kampong Jawa sambil berimaginasi bahawa di kedua-dua kawasan yang ‘kecil’ ini telah terbina tiga buah gereja. (saya masih tidak mempersoalkan samada ia imiginasi Faisal atau sebaliknya).

Lantas terfikir…Tiga buah gereja untuk kawasan sekecil ini? Apa tujuannya sedangkan hakikatnya berapa keratkah penjajah Portugis yang beragama Kristian?

Bukankah ini satu lagi bukti bahawa rempah bukanlah tujuan utama penjajahan.

Jika Rempah meruapakan matlamat utama penjajahan tentulah Albuquerque mengarahkan bala tenteranya mengumpul sebanyak mungkin rempah-rempah yang ada di Melaka…

Kenapa Gereja????

Hari ini, Bunga Raya dan Kampung Jawa merupakan kawasan komersial bagi Negeri Melaka. Deretan rumah-rumah kedai dan gedung-gedung perniagaan serta menjadi tumpuan di kedua-dua kawasan ini. Yang nyata bukan sahaja Melayu, malah amat sukar sekali untuk ditemui bangsa Jawa (yang asalnya Melaka dan bukan Indonesia) di Kampong Jawa pada masa kini.

Jejak Nyemah Mulya: Duyong dan Semabok


Foto: Pembangunan di Semabok (Mungkin di Sini Nyemah di tangkap...)
Duyong dan Semabok adalah dua buah kawasan yang lokasinya berhampiran dengan Bandar Melaka. Dari segi sejarah, Duyong sememangnya dikenali sebagai salah sebuah kawasan yang mempunyai tinggalan sejarah di Negeri Melaka. Duyong dikatakan tempat lahirnya Laksamana Hang Tuah dan empat orang sahabatnya yang merupakan pahlawan agung Melayu. Di duyong juga terdapat Kompleks Hang Tuah di mana terletaknya Perigi Hang Tuah, Gelanggang Silat dan sebuah rumah Melayu Tradisional.

Di Duyong juga terdapat sebuah masjid lama yang telah melalui proses pemuliharaan yang kini merupakan antara tarikan utama pelancong ke kawasan ini. Manakala semabok, pula agak kurang kesan dan tinggalan sejarah (samada memang tiada atau telah terhapus Wallahualam).
Dari segi geografi, Duyong dan Semabok terletak bersebelahan antara satu sama lain dan kedua-dua kawasan ini telah disebut dalam novel 1515 sebagai kawasan persembunyian utama Tun Nyemah dan pahlawan-pahlawan Melaka dari buruan penjajah Portugis.

“Patik sedang berusaha menghubungi beberapa pendekar Melayu untuk memohon pertolongan . Khabarnya, mereka bersembunyi di Duyong”
(1515:137-138)

“Kau melihat wajah sendiri. Pipi cengkung, kulit putih kemerahan yang sudah kotor bercomotan. Kening lebat tidak terurus, bulu mata lentik dengan mata kuyu merah tanda tidak cukup tidur dan hidung ada sedikit darah kering terpalit, bekas luka meronta saat kau diculik di sebalik belukar di Semabok”
(1515:252)

Benarkah Tun Nyemah diculik di Semabok???

Kini, Semabok dan Duyong semakin menerima arus kemajuan. Sasaran Negeri melaka untuk mencapai taraf Negeri Maju menjelang tahun 2010 menjadikan kedua-dua kawasan ini menerima limpahan akibat pembangunan dan di Semabok juga..satu sejarah telah dicipta (dan terus tercipta walaubagaimanapun ia tiada kaitan dengan Novel 1515) iaitu sebuah ‘fly-over’ yang memakan masa yang terlalu lama untuk disiapkan dan tidak lama lagi mungkin dapat pengikhtirafan dari Malaysia Book of Records gamaknya….….

Wednesday, August 02, 2006

Jejak Nyemah Mulya: Pantai Melaka


Foto: Mungkin Di Sinilah Pantai Melaka Agaknya

Dalam novel 1515, didapati bahawa selain sungai Melaka, Pantai Melaka juga merupakan sebuah kawasan pertahanan Melaka yang kukuh. Ini jelas dapat dilihat:

“Baginda (Sultan Mahmud) juga memerintahkan pasukan pemanah bersiap siaga, serta pahlawan-pahlawan bertombak panjang seramai tujuh ribu orang berkawal di sepanjang pelabuhan dan pantai Melaka, sehingga dari situ kalau dihitung jumlah orang Melaka, mengikut hokum akalnya, pasti tidak berpeluang Feringgi mencerooboh negeri Melayu ini” (!515:149-150)

Saya tidak mempersoalkan samada ini fakta ataupun fiksyen Faisal. Tetapi jika ia fakta tidak mustahil keadaan sebegini boleh berlaku kerana seperti kata seorang sahabat siapa sangka Melaka boleh tumpas dengan serangan Portugis di tahun 1511 itu sedangkan pada ketika itu Melaka sebuah nEmpayar Kesultanan Melayu yang besar dan hebat sedangkan Portugis hanya datang dengan angkatan lapan belas kapal dan satu angkatan kecil yang mengandungi lapan ratus orang askar Portugis dan dua ratus askar upahan Malabar.

Ingat, Melaka ialah sebuah Empayar sedang Portugis hanya satu angkatan!!!……

Hari ini saya cuba menjejaki Pantai Melaka seperti yang ditulis oleh Faisal. Tetapi saya hampa. Hampa akibat keliru kerana pantai Melaka kini semakin nun menjauh akibat kerancakan pembangunan dan aktiviti tambak laut yang dijalankan di Negeri Melaka ini…

Jejak Nyemah Mulya: Kg Pantai


Foto: Kg Pantai Kini-Pusat Komersial di Melaka

Sewaktu pertempuran dalam mempertahankan Melaka dari dijajah oleh Portugis, ayah dan bonda Nyemah telah terkorban di Kampung Pantai.

“Apatah pula patik kehilangan ayah dan bonda dalam satu pertempuran di Kampung Pantai” (Ungkapan Nyemah Mulya dalam suratnya kepada Tun Fatimah, 1515:103)

Saya telusuri Kampung pantai dengan rasa sebak dihati sambil mencari-cari jika ada apa-apa petunjuk tentang pertempuran yang hebat itu hingga mengorbankan nyawa ayah dan bonda Nyemah. Namun saya tahu, saya bermain dengan emosi mana mungkin ada jejak tersebut.

Tetapi saya punya imiginasi. Saya dapat bayangkan bahawa kawasan ini merupakan satu medan pertempuran yang dasyat antara pahlawan Melayu dengan soldadu portugis. Mungkin di tahun-tahun 1511 dan sebelumnya kawasan ini merupakan kawasan petempatan utama orang melayu kerana lokasinya yang hampir dengan Sungai Melaka.

Hari ini, tiada apa jejak sejarah zaman pra penjajahan Portugis yang ada di Kampung Pantai. Jejak sejarah yang ada hanyalah tinggalan penjajah Belanda dan Inggeris. Rumah-rumah Kedai dengan pelbagai gaya senibina (tentunya bukan senibina Portugis) ada di sini. Kampung Pantai saban hari sibuk dengan aktiviti perniagaan terutamanya perniagaan borong…

Oh…penjajahan bukan sahaja menjajah bangsa tetapi ‘menghalau’ bangsa Melayu dari kediaman dan petempatan asalnya dan tercampak entah ke mana-mana…..

Jejak Nyemah Mulya: Rumah Nyemah

Siapa dia Nyemah Mulya? Saya rasa persoalan ini tidak perlu saya huraikan dalam siri Jejak Nyemah Mulya ini. Apa yang perlu dilakukan ialah bacalah novel 1515 dengan tekun dan terpeinci dan anda pasti akan temui beberapa watak Nyemah dalam novel ini.

Walaubagaimanapun, untuk tujuan ini, Nyemah yang saya maksudkan ialah Nyemah Mulya yang mendorong Adi Famiyun untuk mengubah semula sejarah Negeri Melaka.

‘Nama hamba Nyemah Mulya. Usia hamba 15 tahun. Hamba menulis dan mengurus surat ini dengan satu niat. Bagaimana kalau kita bekerjasama mengubah sejarah?”(1515:viiii)

Dalam Novel 1515 ini, Nyemah dikatakan menetap di Bukit Peringgit Melaka.

“Waktu itu sudah ramai orang di Melaka sudah mengejek, anak Maulana Sadar Jahan sudah gila. Membina rumah besar di puncak Bukit Peringgit. Tetapi ayah hamba sudah berazam , anjing menyalak khafilah tetap lalu, kata orang. Ayah membatu diri, memekak telinga dan menuli gegendang.”(1515:32)

Rumah Nyemah di Bukit Peringgit juga menjadi saksi pertempuran antara pahlawan Melaka dengan tentera Portugis juga tempat Nyemah mengatur dan menyusun starategi peperangan seterusnya:

“Memang saat itu patik ikut sama menentang Feringgi. Setiap kali bertempur, bersukat darah bertimbang daging patik. Patik berada di luar kediaman patik dan orang-orang Portugis itu mengejar penduduk Melaka yang gagah berani sehingga ke Bukit Peringgit” (1515:103)

“Bubarlah pertemuan itu, hamba pulang ke kediaman hamba di Bukit Peringgit sambil menyerahkan sebanyak-banyak oemuda yang setia untuk menyusup ke Upeh dan menyebar cerita bahawa Feringgi sudah berpecah dunia dan dalam rombongan perkapalan tu yang ingin pulang sahaja ke Goa atau Lisbon kerana ternyata Melaka amat kuat dan mustahil untuk ditawan” (1515:172)

Dalam 1515, ada satu versi yang mencatatkan bahawa selepas menawan Portugal pada tahun 1515, Nyemah bersama-sama suaminya (Samsudin) kembali ke Melaka dan menetap di rumahnya di Bukit Peringgit.

“Bersama Samsudin, rumah serambi tiang enam belas di Bukit Peringgit diubah menjadi sebuah sekolah agama untuk rakyat. Di ruang serambi, Tun Nyemah mengajar kanak-kanak membaca Al Quran dengan tajwid. Anjung dan rumah tangga jadi tempat Samsudin menemui dan menerima teman-temannya dari China yang sering berziarah. Sementara di ruang kelek anak dan gajah menyusu, bertumpu orang-orang perempuan belajar Fardhu Ain”

Hari ini, Bukit Peringgit masih wujud. Ia merupakan salah satu kawasan yang bersejarah di Negeri Melaka. Di zonkan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Negeri Melaka 1988 (Pindaan 1993) kerana di bukit inilah terletaknya rumah-rumah banglo yang bernilai warisan yang masih didiami oleh penjawat tertinggi dalam pentadbiran di Negeri Melaka.

Di mana rumah Nyemah? Rumah Melayu berserambi tiang enam belas yang di sebut dalam novel 1515?????

Saya tinggalkan Bukit Peringgit dengan rasa sebak dan sayu terutamanya bila mengenangkan bahawa di bukit inilah orang Melayu (pahlawan) menyebunyikan dan berlindung dari serangan Portugis yang menggila dan hakikatnya jarak antara Bukit Peringgit dengan Banda Hilir ialah kira-kira 5-6 km (satu jarak yang jauh).

Jejak Nyemah Mulya: Upeh, Jambatan, Kg Jawa, Bunga Raya?


ini sekadar imaginasi sahaja..namun mungkin juga ia benar seperti yang ada di tahun 1511

Jejak Nyemah Mulya: Upeh

Foto: Tengkera Kini


Dalam novel 1515, ada beberapa petikan ayat yang berkaitan dengan sebuah kawasan dalam Negeri Melaka yang di namakan sebagai ‘Upeh’. Perbincangan antara saya dengan beberapa rakan tentang ‘Upeh’ juga menimbulkan kekeliruan. Ada antara sahabat yang mengandaikan bahawa ‘Upeh’ ialah ‘Pulau Upeh’ iaitu tempat yang mempunyai banyak batu lada yang digunakan bagi pembinaan kota A Famosa, manakala ramai pula yang diam membatukan diri.

Hakikatnya, ‘Upeh’ pada ketika ini dikenali sebagai Tengkera yang berasal dari bahasa Portugis ‘Tranquiera’ iaitu “benteng pertahanan”. Walaupun ditambah oleh Faisal bahawa selepas penaklukan Portugis beberapa kawasan di luar Kota Melaka telah ditukar nama oleh Rui de Araujo iaitu Upeh kepada Tranquerah, Kampung Jawa kepada Sabac dan Bandar Di Hilir kepada Yler (2003:114)

‘Upeh’ ialah sebuah kawasan daripada Bandar Melaka ke arah utara. Sungai Melaka dan kubu Portugis. Ia merupakan tempat tinggal saudagar-saudagar Keling, China, Jawa dan lain-lain komuniti asing (Albuquerque: Caesar Timur, 1995:128)

Foto: Masjid Tengkera
Dalam perbincangan antara Albuquerque dengan para kaptennya tentang bagaimana dan di mana mereka harus mendarat semasa penyerangan Melaka, Rui de Araujo memberi pendapat bahawa pihak Portugis perlu menyerang jambatan Melaka dahulu kerana selepas merampas dan memilikinya, mereka akan berada di antara Bandar itu dengan petempatan Upeh (Albuquerque: Caesar Timur, 1995:107), manakala menurut Faisal pula, Upeh merupakan kawasan petempatan mewah dan orang-orang kaya di Melaka (2003:62).

Ini amat bertepatan seperti mana yang dijelaskan oleh Rui de Araujo bahawa Upeh merupakan kawasan petempatan golongan pedagang jadi tidak mustahillah ia merupakan petempatan mewah di Negeri Melaka pada ketika itu.

Namun yang jelas, Upeh (atau Tengkera:namanya kini) merupakan kawasan awal tempat pendaratan Portugis dan di kawasan ini jugalah Portugis membina kubunya yang awal dalam menghadapi serangan balas dari Sultan Melaka dan tenteranya. Di Upeh juga Portugis mengatur serangan dan strategi untuk mengusai Melaka.

Saya berpendapat bahawa jika benar Upeh merupakan kawasan pendaratan dan tempat didirikan kubu pertama Portugis amat logik kerana jika dilihat dari segi kedudukan, ia amat berhampiran dengan pantai dan ia juga terletak berhampiran dengan kawasan Bandar Melaka.

Semasa penaklukan Melaka, Portugis membakar semua masjid yang ditemui di Melaka dan salah satunya ialah masjid yang ditemui di Upeh.

Ini adalah fakta, kerana sehingga ke hari ini tidak ada Masjid yang diwarisi sejak dari Zaman Kesultanan Melayu apatah lagi dari Zaman Portugis. Masjid-Masjid Lama di Melaka seperti Masjid Tengkera, Masjid Kg Hulu dan Masjid Kg Keling semunya dibina semasa zaman Pemerintahan Belanda yang menuru kata sesetengah ahli sejarah lebih bersifat toleran berbanding Portugis.

Hari ini saya cuba jejaki jika ada kesan-kesan sejarah yang ditinggalkan olah Portugis di Upeh. Saya tahu mustahil untuk saya memperoleh sesuatu kerana jarak masa yang terlalu jauh antara tarikh penaklukan dengan kini.

Namun, menjejakkan kaki di Upeh dan singgah di Masjid Lama tengkera membuat hati amat sebak kerana di sinilah segala strategi diatur, di sinilah Portugis bertahan hingga akhirnya mereka berjaya Menakluki Melaka pada tahun 1515 itu. Di Upehlah SEGALANYA BERMULA.