Petikan Utusan Malaysia: 20 Jun 2006
SAYA terpanggil untuk membicarakan isu pluralisme yang dibangkitkan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria mengikut pandangan rakyat kebanyakan.
Pelbagai pihak menghentam beliau kononnya apa yang diutarakan merupakan satu tempelak terhadap kepelbagaian agama dan budaya di Malaysia.
Kebanyakan pihak yang membuat ulasan itu merupakan golongan pemikir yang terpelajar.
Kita harus faham bahawa konsep pluralisme dan liberisme yang diamalkan di Malaysia tidak memberi ancaman terhadap keimanan atau keteguhan pegangan Islam di Malaysia sekiranya keseluruhan rakyat Malaysia beragama Islam merupakan golongan yang pengetahuannya setaraf dengan pemikir-pemikir yang berhujah ini.
Dr. Chandra Muzaffar dalam ulasan beliau yang tersiar dalam Utusan Malaysia kelmarin memberikan contoh-contoh ilmuwan Islam yang terkenal dalam kaji selidik agama-agama lain yang pada pandangan beliau ternyata tidak memberi apa-apa kesan terhadap ketakwaan mereka terhadap agama yang dianuti.
Tetapi, jika kita lihat dari konteks masyarakat Islam hari ini, kita seharusnya sedar bahawa bukanlah setiap rakyat Malaysia yang beragama Islam itu mempunyai pemikiran seperti ilmuwan Islam yang dijadikan contoh-contoh dalam menghentam Mufti Perak.
Betapa ramainya masyarakat Melayu Islam di Malaysia, walaupun didedahkan dengan ilmu-ilmu dari al-Quran, masih tidak mengerti kaitan antara Yahudi, Kristian dan Islam. Selebihnya masih buntu untuk memahami pada zaman manakah lahirnya nabi-nabi yang diutuskan untuk menyebarkan agama tauhid yang wujud hingga ke hari ini.
Ini jelas menunjukkan bahawa pengetahuan wajib yang seharusnya menjadi tanda aras pengetahuan umat Islam di Malaysia sendiri disisihkan oleh faktor yang didorong oleh rasa teruja mereka menongkah masa depan. Maka golongan yang tidak berfikir akan memperselisihkan isu-isu sebegini dalam ruang lingkup mereka dan akhirnya merumuskan pegangan-pegangan yang lebih dangkal.
Jadi, apa yang cuba ditekankan oleh Mufti Perak barangkali bukanlah pluralisme yang difikirkan pada pandangan bijak pandai yang sedia memahami konsep dan batasan. Beliau barangkali banyak memberi gambaran menyeluruh yang meliputi masyarakat umum di mana dewasa ini, telah terhakis nilai-nilai keislaman mereka akibat kurang didikan agama terutamanya dari institusi kekeluargaan sendiri.
Sebagai rakyat kebanyakan, saya berkesempatan untuk bergaul dengan semua lapisan masyarakat dan implikasi liberalisme terhadap golongan ini amat menakutkan. Kurangnya pengetahuan agama, pengetahuan sejarah dan pantasnya teknologi menguasai diri tanpa memberi ruang kepada pengisian rohaniah merupakan proses yang sedang pesat berlaku, malah terus membentuk darjah kemusnahan tersendiri.
Maka tidak menjadi sesuatu yang asing apabila kedangkalan-kedangkalan ini menyebabkan Hari Krismas dirayakan oleh orang Islam dengan konsep memeriahkan sedangkan mereka tidak tahu bahawa ia tidak betul. Berbeza pula dengan Tahun Baru Cina yang dianggap perayaan agama sedangkan unsur-unsur keagamaan merupakan campur aduk masyarakat Buddha dan Taoisme yang turut meraikan perayaan tersebut.
Itu hanyalah sekadar contoh perayaan. Jika dipaparkan contoh gejala sosial, aibnya terlalu signifikan dengan masyarakat Islam di Malaysia.
Perlukah kita melihat apa yang disebutkan oleh Mufti Perak itu dari sudut bijak pandai semata-mata sedangkan kita tidak punyai masyarakat sebegini sebagai keseluruhan organisasi malah wujud jurang keimanan yang terlalu ketara dalam pemahaman Islam masyarakat Melayu di Malaysia.
Kesan dari jurang keimanan ini, ramai yang tidak berkeupayaan untuk melihat ancaman-ancaman ke atas akidah yang sengaja disemai oleh golongan tertentu melalui ejen-ejen tertentu.
Jika bongkah ais yang terapung menggambarkan masyarakat Islam di Malaysia, bahagian yang tenggelam merupakan golongan-golongan masyarakat yang perlu diperbaiki. Namun dalam kes ini, bahagian yang timbul di permukaan seolah-olah menafikan usaha memperbaiki pemikiran majoriti yang menjadi keagungan prinsip demokrasi.
Tiada rosak keimanan sesiapa yang beriman hatta ia menghadiri malah merasmikan pembukaan pusat-pusat ibadat penganut agama lain atas kapasiti yang dipegang oleh seseorang tersebut sekiranya pengertian Islam dan konsep ketakwaan itu unggul dalam pemikirannya.
Namun, apa yang dimaksudkan oleh Harussani mungkin adalah dari konteks sosiologi Melayu Islam di Malaysia secara umum yang terlalu ramai berpakaian iman ikut-ikutan.
Seharusnya kita sedar bahawa sekiranya keimanan yang jati dan diperkukuhkan dengan pengetahuan itu ada pada segenap masyarakat Islam di Malaysia, tiada apa yang perlu dibimbangkan walaupun diadakan perayaan rumah terbuka di gereja-gereja, tokong-tokong mahupun kuil-kuil kerana setiap individu pasti sedar pluralisme yang menjadi hakikat di negara ini tidak mungkin merosak keimanan sesiapa dan secara tidak langsung, pluralisme itu akan membawa maksud tersendiri di negara ini.
Isu ini seharusnya tidak dijadikan medan bidas-membidas, sebaliknya perlulah menjadi laman untuk kita lebih dekat ke jiwa rakyat dan memperhalusi indeks pengetahuan sejarah dan agama di fikiran keseluruhan rakyat Malaysia yang beragama Islam.
– SYAMSUL FADZLI MAT,
Ipoh, Perak.
Pak Kebun: Amat tertarik dengan huraian dalam artikel ini. hanya penulis sahaja yang memberikan sokongan kepada Dato mufti Harussani Zakaria dikala semua golongan menghentam beliau dari perbagai arah dan sisi
No comments:
Post a Comment