"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Tuesday, December 05, 2006

Negeriku Sayang-Pemuliharaan Bandar

Dalam konteks pembangunan yang semakin pesat, pelbagai pendekatan telah dikemukakan bagi menangani isu-isu perbandaran. Pendekatan-pendekatan seperti “Pembangunan Semula Bandar” dan “Pembaharuan Bandar” merupakan antara pendekatan yang sering digunapakai dalam memastikan sesebuah bandar itu dapat wujud dengan sempurna selaras dengan pembangunan dan pemodenannya.

Pun begitu, satu lagi pendekatan yang tidak seharusnya diketepikan dalam pembangunan dan pemajuan bandar (terutamanya bagi bandar-bandar yang tua usianya dan banyak pula harta warisannya) ialah “Pemuliharaan Bandar”. Ia bermatlamat untuk mewujudkan keseimbangan antara pembangunan moden dengan peninggalan silam. Selain itu, pemuliharaan bandar juga bertujuan untuk mengawal atau memperoleh kembali kepentingan budaya sesuatu tempat dengan menjamin keselamatan dan penjagaannya pada masa kini dan akan datang (Syed Zainol,1996:11).

Samada sedar atau tidak, proses pembandaran yang pesat, sedikit sebanyak telah memusnahkan warisan yang ada dalam sesebuah secara beransur-ansur. Keadaan ini harus dielakkan. Ini kerana bandar yang ideal dan sempurna ialah bandar yang membangun dari segi fizikal dan dalam masa yang sama ia juga mampu untuk mengekalkan warisan-warisan lama untuk tatapan generasi akan datang.

Dari segi sejarahnya, usaha dan kesedaran diperingkat antarabangsa dalam bidang ini bermula selepas Perang Dunia Pertama dan peristiwa penting yang menyemarakkan rasa kesedaran ini ialah keputusan untuk membina Empangan Tinggi Aswan di Mesir yang bakal menenggelamkan lembah yang mengandungi Kuil Abu Simbel iaitu salah satu harta warisan peningggalan Tamadun Mesir Purba. Akhirnya pada tahun 1959, hasil usaha dari UNESCO satu kempen untuk menyelamatkan kuil tersebut telah dilaksanakan dan ia telah berjaya dipindahkan ke tempat yang lebih selamat (Kurier Unesco,1997:5 dan http://whc.unesco.org).

Kemudian, ide dan gagasan ini mula dikembangkan dan disebarkan oleh agensi-agensi tertentu, terutamanya UNESCO sendiri. Dalam tahun 1972, UNESCO telah menerimapakai satu strategi yang menyepadukan usaha negara-negara di seluruh dunia ke arah menyelamatkan dan melindungi warisan-warisan budaya dan lingkungan semulajadi yang terdapat di serata dunia. Kemudian dalam tahun 1987 pula satu peruntukan/piagam (charter) telah diluluskan oleh ICOMOS (International Council of Monument and Sites) yang dinamakan sebagai Conservation of Historic Town, yang memperincikan lagi bidang pemuliharaan bandar ini.

Di Malaysia, bidang pemuliharaan bandar merupakan satu bidang yang baru. Secara umumnya, tahun 1960an bolehlah dianggap sebagai titik permulaan terhadap aktiviti pemuliharaan ini dan pada awalnya penumpuan lebih diberikan terhadap kerja-kerja pemuliharaan di sekitar Lembah Bujang, Kedah. Pengenalan Akta Benda Purba 1976 (Akta 168), telah menggiatkan lagi aktiviti ini di Malaysia. Seterusnya, dalam tahun-tahun 1980an dan 1990an aktiviti pemuliharaan bandar semakin berkembang apabila pemuliharaan tidak lagi difokuskan kepada bangunan semata-mata tetapi turut melibatkan kawasan atau zon-zon tertentu seperti yang dilaksanakan di George Town, Pulau Pinang dan Medan Budaya, Alor Star.
Dalam Konvensyen Warisan Dunia yang telah diadakan pada tahun 1972 oleh UNESCO, “Warisan” telah dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu “Warisan Budaya” (termasuk monumen, bangunan, tapak, gaya hidup, estetika dan lain-lain dan “Warisan Semulajadi” (termasuk hutan, alam persekitaran, terumbu karang dan lain-lain).
Secara umumnya, konsep pemuliharaan bandar agak kabur. Walaubagaimanapun terdapat beberapa definisi yang telah diberikan oleh agensi-agensi tertentu dan pengkaji-pengkaji terdahulu.

Menurut Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) (2002) pemuliharaan bandar didefinisikan sebagai:

“Segala proses yang terlibat untuk menjaga sesuatu tempat bagi tujuan memelihara kepentingan budaya. Tindakan-tindakannya seperti perawatan mengikut keadaan tertentu termasuklah pengekalan, pemulihan, pembangunan semula dan penyesuaian”

Selain itu, pemuliharaan bandar juga dilihat sebagai:
“Satu tindakan yang menyeluruh iaitu segala proses yang terlibat untuk menjaga sesuatu tempat bagi tujuan memelihara kepentingan budaya. Tindakan-tindakannya termasuklah perawatan dan mengikut keadaan-keadaan tertentu termasuk pengekalan, pemulihan dan pembangunan semula dan penyesuaigunaan. Lazimnya kaedanya merangkumi lebih dari mana-mana satu yang disebut tadi”(MPMBB,2001dan MPMBB,2002(b):5)

Menurut Syed Zainol Abidin Idid (1996:3), pemuliharaan bandar boleh dirujuk sebagai:

“Pemuliharaan komponen yang membentuk keunikan dan identiti bandar yang diistilahkan sebagai Rupa Bandar yang mengabungkan corak susun atur bangunan-bangunan serta segala kandungan yang membentuk satu imej yang dilihat dan dikenali oleh masyarakat yang sekaligus menjadi identitinya. Pemuliharaan juga tidak hanya tertumpu terhadap penjagaan bangunan-bangu8an tertentu sahaja, malah ia meliputi penjagaan terhadap segala kualiti yang membentuk sesuatu rupa bandar itu”

Menurut A Ghafar Ahmad pula:
“Pemuliharaan bandar disifatkan sebagai penjagaan dan pengekalan warisan bandar daripada dimusnah atau diubah tanpa pengawalan, dan pengurusan yang sempurna lagi sistematik”
(di halaman internet: http://www.hbp.usm.my/conservation)

Selain itu, A Ghafar Ahmad (1998:4-5), juga telah memperincikan lagi konsep pemuliharaan bandar yang agak umum ini kepada tiga kategori yang utama iaitu:

Pemuliharaan Bangunan: termasuk kerja-kerja pengekalan bangunan, pembaikan fasad, kawalan bangunan dan lain-lain.

Pemuliharaan Kawasan: termasuk aktiviti-aktiviti mempertingkatkan nilai sejarah, senibina dan budaya bandar, pengekalan rupabentuk bandar, pengawalan pembangunan-pembangunan baru dan beberapa aktiviti lain.

Pemuliharaan Budaya: Antaranya ialah aktiviti-aktiviti pengekalan warisan budaya yang unik dan tersendiri seperti adat istiadat, tarian dan lain-lain.

Berdasarkan definisi pemuliharaan bandar yang telah dibuat oleh pengkaji dan agensi-agensi tertentu yang telah dijelaskan sebelum ini maka artikel ini merumuskan bahawa pemuliharaan bandar itu bolehlah dirujuk sebagai:

“Satu proses yang dijalankan untuk memulihkan, memelihara (menjaga dan sebagainya) serta melindungi sesuatu elemen (terutamanya elemen-elemen yang bernilai warisan/sejarah) yang wujud/mencorakkan sesebuah kawasan yang dianggap sebagai bandar seperti bangunan, budaya, kawasan, jalan/lorong, landskap, alam semulajadi dan lain-lain supaya sentiasa berada dalam bentuknya yang asal atau setidak-tidaknya ia berada dalam keadaan yang baik dan sempurna”.

No comments: