"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Wednesday, December 06, 2006

Negeriku Sayang-Kontroversi 1

Melaka cadang bina menara 110 meter

Oleh Daud Awang

MELAKA: Kerajaan negeri merancang membina menara setinggi 110 meter dengan kos RM15 juta di kawasan Bandar Hilir, untuk memudahkan orang ramai melihat sejarah lama Kota Melaka
.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, (gambar) berkata kos pembinaannya dibiayai pihak swasta dari Singapura manakala kerajaan negeri menyediakan tapak saja.
Beliau berkata, pembinaan menara yang boleh bergerak di bahagian atas itu bertujuan membolehkan pelancong melihat dari atas keseluruhan sejarah lama Kota Melaka.
“Kerajaan negeri yakin dengan pembinaan menara ini ia boleh menjadi satu lagi mercu daya tarikan pelancong ke negeri ini.

“Dengan berada di atas menara ini kira-kira tujuh minit seorang, mereka boleh melihat secara keseluruhan bandar Melaka serta kesan peninggalan sejarahnya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, semalam.

Sehubungan itu, Mohd Ali berkata, kerajaan negeri akan mendapat pandangan daripada orang ramai sama ada pembinaan menara itu perlu atau tidak berikutan ia akan dibina di kawasan yang diwartakan sebagai tempat bersejarah.
Beliau berkata, setakat ini tiga lokasi sudah dikenal pasti iaitu berhampiran Restoran Mahligai, Muzium Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan gelanggang latihan tenis yang kesemuanya di Bandar Hilir, dekat sini.

"Pada dasarnya kerajaan negeri bersetuju membina menara itu. Bagaimanapun pandangan orang ramai juga perlu diambil kira sebelum membinanya," katanya.

Mohd Ali berkata, pembinaan menara itu hanya mengambil kawasan yang kecil iaitu keluasan 6.8 meter x 6.8 meter sebagai struktur sokongan dan selebihnya menara berbentuk bulat.

“Saya sudah mengarahkan pihak kontraktor yang ingin membina menara itu memperincikan bentuk binaannya supaya kita dapat melihat bentuknya dengan jelas,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri melalui Bahagian Bioteknologi akan mengadakan usahasama dengan Felcra untuk meneroka produk berasaskan herba.

“Kerajaan negeri berharap satu memorandum persefahaman (MoU) dapat ditandatangani pada bulan ini untuk tujuan itu,” katanya.

No comments: