"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Wednesday, December 06, 2006

Negeriku Sayang-Kontroversi 2

Menara Tinjau koleksi baru pelancongan Melaka
Oleh ROSNI HASSAN (WARTAWAN UTUSAN) (

PEMBINAAN Menara Tinjau bernilai RM21 juta di Bandar Hilir yang bakal menjadi mercu tanda baru bagi Melaka akhirnya menjadi kenyataan walaupun beberapa pihak sebelum ini membantah.

Antara alasannya ialah pembinaan menara dengan seni bina moden itu dikatakan boleh mencacatkan pemandangan di sekitar kawasan warisan di Bandar Hilir yang terkenal dengan kesan peninggalan sejarahnya.

Wujudnya sebuah menara berputar menggunakan teknologi Switzerland dengan model ‘The Super Gyro Tower 1200' dilihat tidak kena, mengambil kira banyak bangunan lama berwarna merah yang berusia ratusan tahun terdapat di situ.

Bangunan-bangunan lama itu merupakan warisan sejarah yang tidak ternilai justeru ada pihak yang merasakan keunikannya tidak wajar ‘diganggu’ dengan pembinaan sebuah menara moden setinggi 110 meter itu.

‘The Super Gyro Tower’ kini terdapat di beberapa negara termasuk Sea World Parks San Diego, Amerika Syarikat; Six Flags Magic Mountain, Valencia, California; Carowinds (Paramount) di Charlotte, Carolina Utara; Hershey Park, Pennsylvania dan Shanghai, China.

Bagi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, pembinaan menara itu diteruskan selepas kajian mendalam dilakukan, walaupun ada pihak yang mengkritik pelaksanaan projek itu.

Ini kerana pembinaan menara itu tidak menjejaskan ekologi kawasan sekitarnya selain bakal menjadi tarikan pelancongan baru bagi Melaka dan negara kerana keunikannya yang tersendiri.

Selain itu, pembinaannya juga mendapat sokongan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang melakukan pecah tanah projek itu baru-baru ini.

Menurut Rais, sebelum ini projek tersebut dikritik kerana ada pihak yang merasakan pembinaannya tidak wajar dilakukan kerana ia adalah struktur binaan moden.

Bagaimanapun, pandangan tersebut jelas beliau, tidak adil kerana pembinaan menara itu dilakukan dengan mengambil kira semua faktor termasuk nilai warisan sejarah kawasan di negeri Hang Tuah itu.

Lebih-lebih lagi apabila pihak pemaju projek itu, Kumpulan Melaka Berhad (KMB) memberi jaminan akan bekerjasama dengan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) serta Jabatan Warisan Negara Wilayah Selatan bagi memastikan projek itu mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh jabatan berkenan.

Menara Tinjau yang kini sedang giat dibina oleh KMB, anak syarikat milik penuh kerajaan negeri menerusi konsep penswastaan dijadual mengambil masa selama 17 bulan dan siap pada Disember tahun depan.

Pembinaan menara itu dilakukan tanpa mengabaikan aspek sejarah yang mana ia adalah berkonsepkan keris Taming Sari, keris legenda Hang Tuah dengan bahagian puncaknya berbentuk seperti hulu keris.

Orang ramai yang menaiki menara itu kelak berpeluang menyaksikan keindahan bandar Melaka dan Sungai Melaka dari udara menerusi kabin penumpang yang boleh berputar 360 darjah.

Masa keseluruhan perjalanan naik dan turun menara berputar yang boleh memuatkan 80 penumpang dalam kabin penumpang pada satu-satu masa itu ialah selama tujuh minit.

Ia membabitkan masa perjalanan naik selama satu minit dan turun selama satu minit serta lima minit di kemuncaknya iaitu pada ketinggian 80 meter.

Menurut Mohd. Ali, apabila siap kelak, beliau yakin menara berputar itu akan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, sejajar dengan sasaran kerajaan negeri mencatatkan lapan juta pelancong menjelang Melaka Maju 2010.

1 comment:

Anonymous said...

WOW WWE The Most Powerful World wrestling Entertainment for free, Geez this is cool!!!