"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Thursday, October 05, 2006

Jerebu: Untuk Difikirkan


Dipetik dari Utusan Malaysia, 5 Oktober 2006

Keadaan jerebu semakin buruk

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Asap jerebu yang ditiup angin dari kebakaran hutan di Indonesia terus menyelubungi Malaysia hari ini dengan jarak penglihatan jatuh menjunam dan empat negeri mencatatkan mutu udara tidak sihat.

Putrajaya, pusat pentadbiran negara sehingga 5 petang ini mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 187 atau tidak sihat.

Negeri lain yang mencatatkan indeks tidak sihat ialah Sarawak, Sabah dan Negeri Sembilan (lihat grafik).

Di Sarawak negeri yang paling teruk dilanda jerebu, terpaksa membatalkan dua penerbangan, tiga ditangguhkan dan satu lagi ditukarkan destinasi pendaratan sehingga petang tadi.

Perkhidmatan helikopter yang membawa ‘doktor udara’ ke kawasan-kawasan pedalaman negeri itu turut terjejas.

Keadaan itu turut menyebabkan IPU di beberapa kawasan di negeri itu dijangka mencecah tahap sangat tidak sihat atau lebih 200 IPU jika cuaca kering dan panas sekarang berterusan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan berkata, beberapa kawasan telah pun mencatat bacaan IPU tidak sihat sejak beberapa hari lalu dan ia mungkin akan mencapai tahap sangat tidak sihat beberapa hari akan datang.

‘‘Jerebu mungkin akan bertambah buruk dengan jangkaan IPU mencecah lebih 200 jika hujan tidak turun dalam tempoh terdekat,’’ katanya di sini hari ini.

Laporan agensi berita Antara hari ini melaporkan jerebu di Sumatera dan Kalimantan masih teruk berikutan kegagalan bomba memadamkan kebakaran melibatkan sebahagian besar hutan di kedua-dua kepulauan itu.

Di Riau, satelit telah mengesan sebanyak 570 titik panas di seluruh wilayah berkenaan manakala di Kalimantan Tengah jerebu tebal telah menyebabkan beberapa penerbangan tempatan terpaksa dibatalkan.

Mengulas lanjut, Chan berkata, kerajaan negeri akan melakukan operasi pembenihan awan dalam tempoh sehari dua lagi bagi membantu mengurangkan jerebu.

Kata beliau, pembenihan awan agak sukar dilakukan kerana kualiti udara yang sangat kering dan tidak begitu sesuai untuk menghasilkan hujan.

‘‘Bagaimanapun pihak kami akan tetap cuba untuk menghasilkan hujan,’’ katanya.

Sementara itu, Pengurus Malaysia Airports Berhad Sarawak, Mohd. Suhaimi Mubin berkata, sehingga pukul 2.30 petang ini, enam penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) terjejas berikutan kualiti udara yang semakin merosot.

Menurut beliau, tindakan itu diputuskan oleh Jabatan Penerbangan Awam selepas melihat laporan daripada Jabatan Kaji Cuaca pada hari ini.

‘‘Enam daripada lapan penerbangan terpaksa dijadualkan semula berikutan jerebu yang semakin serius dengan jarak penglihatan setakat 600 meter sahaja,’’ ujar beliau.

Bernama yang memetik pengarah DCA Sarawak, Huang Tiong Poh diberitahu, helikopter dilarang melakukan penerbangan mengikut Peraturan Penerbangan Visual sekiranya jarak penglihatan di bawah 1.5 kilometer.

‘‘Penerbangan melibatkan tentera atau perkhidmatan doktor terganggu disebabkan faktor keselamatan,’’ katanya.

Berikutan jarak penglihatan yang merosot iaitu hanya 700 meter direkodkan di Kuching setakat 12 tengah hari ini, beliau berkata pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) ke Kuching turut dilencong ke Sibu.

Pesawat Boeing 737 dari Kuala Lumpur itu dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching 1.30 tengah hari ini.

Semalam, pesawat Fokker 50 Fly Asian Xpress (Fax) dihalang mendarat di Mulu, yang terletak di kawasan tinggi, dan terpaksa berpatah balik ke Miri disebabkan masalah yang sama, katanya.
Di Kota Kinabalu, keadaan jerebu di Sabah tidak banyak berubah dengan Tawau masih mencatat IPU tidak sihat meskipun hujan lebat melanda kebanyakan kawasan malam tadi dan hari ini.

Daerah Tawau mencatat bacaan tertinggi berbanding daerah lain iaitu IPU 133 diikuti Keningau (80), Kota Kinabalu (78) dan Sandakan (70).

Jurucakap Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah berkata, daerah- daerah lain mencatat bacaan sederhana iaitu melepasi IPU 50.

Sekadar Mengingatkan

Ad Dukhan (Bererti asap) adalah surah yang ke 44 di dalam Al Quran. Ia dinamakan Ad Dukhan kerana mengandungi amaran Allah SWT terhadap kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad SAW, bahawa mereka akan ditimpakan azab sengsara semasa langit membawa asap kemarau yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat

(1) Haa Mim (2) Demi kitab Al Quran yang menjelaskan (3) Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan (4) Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah (5) (Iaitu) urusan yang besar dari sisi kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengurus rasul-rasul (6) Sebagai rahmat dari Tuhanmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui (7) Tuhan Yang Memelihara langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya, jika kamu adalah orang yang meyakini (8) Tidak ada tuhan melainkan Dia, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan (Dialah) Tuhan mu dan Tuhan bapa-bapamu yang dahulu (9) Tetapi mereka bermain-main dalam keraguan (10) Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata (11) Yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih

(Terjemahan Surah Ad Dukhan: 1-11)

Pak Kebun: Tidakkah Kamu Berfikir????

No comments: