"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Tuesday, October 31, 2006

Taklid Membuta Tuli



UMNO Bahagian Klang buat rayuan kekalkan Zakaria ahli majlis
Oleh Fauziah Arof dan Suhana Abdul Mutalib

KLANG 30 Okt. – Mesyuarat tergempar UMNO Bahagian Klang hari ini mengambil keputusan akan membuat rayuan untuk mengekalkan ketuanya, Datuk Zakaria Md. Deros sebagai ahli majlis, Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Setiausahanya, Ishak Mohd. Jonid berkata, mesyuarat yang turut disertai oleh wakil Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian itu sebulat suara bersetuju untuk menghantar rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

“Kita menyokong penuh kepimpinan Zakaria dan akan sentiasa bersama beliau dalam isu yang beliau hadapi ini,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Bahagian Klang, Pandamaran di sini.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Mazlynoor Abdul Latiff selama satu setengah jam. Zakaria tidak hadir.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan bahagian tersebut, Shohimi Shafie menyifatkan apa yang berlaku kepada Zakaria merupakan satu penganiayaan.

“Ini adalah mainan parti pembangkang untuk menjatuhkan beliau,” katanya.

Menurut Shohimi, kesalahan tidak membuat pelan pengubahsuaian rumah itu merupakan perkara yang tidak perlu diperbesarkan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar telah pun mengarahkan Zakaria melepaskan jawatan tersebut ekoran isu rumah banglonya dibina tanpa pelan pengubahsuaian di atas tanah kurnia milik isterinya, Datin Zizah Ngah.

Kerajaan negeri memberi tempoh sehingga 8 November supaya Zakaria berbuat demikian

Sumber: Utusan Malaysia (31 Oktober 2006)

Foto : Dari Blog Roslan SMS
Membaca berita ini menyebabkan saya tergelak walaupun diri dihimpit dengan bebanan kerja yang amat mendesak. Saya terfikir, inikah senario sebenar politik di Malaysia. Yang jelas salah masih lagi dibela atas kepentingan-kepentingan tertentu. Pembangkang juga di'kambing hitamkan" sebagai punca kekecohan sedangkan mereka lupa bahawa rakyat memerhatikan semua.
Rakyat pasti memikirkan dari mana datangnya duit sebegitu banyak?
Bagaimana Anak dan Menantu beliau boleh dilantik sebagai ketua Pemuda dan Ketua Puteri Bahagian?
Bagaimana pula kesemuanya boleh dilantik jadi Ahli Majlis MPK (Majlis Perbandaran Klang)
Kebobrokan ini sebenarnya harus dikupas dengan teliti dan terpeinci.. Amalan melantik Ahli Majlis Bandaran di kalangan Mereka yang berjasa di kalangan masyarakat dengan kebenaran dan persetujuan parti yang memerintah dilihat tidak lagi telus.
Saya tidak mahu, mengulas dengan lebih terpeinci isu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini, namun saya sedang membuat satu penyelidikan kecil tentang realiti dan keberkesanan PBT di Malaysia.
Dalam Konteks Politik, apa yang berlaku di kalangan pengikut Dato Zakaria adalah amalan taklid membuta tuli yang tidak wajar diamalkan oleh masyarakat yang bertamadun. Walaupun sudah terang, namun mereka masih buta hati dan akal. Ini baru satu yang dibongkar (Walaupun ini hanya ’ikan kecil’)


Saya suka melihat reaksi orang politik dalam menangani masalah ini. Sama juga sepertimana dalam kes Tun Mahadhir vs Pak Lah. Semacam ada kecenderungan untuk taklid membuta tuli dikalangan pemimpin...

Namun..inilah realiti politik....’Seni yang mustahil”....

Pak Kebun: Ada mata pandang, ada telinga dengar, ada mulut diam (Petikan lagu Pak Pandir: Yang Remeh Temeh)

Dugaan Menjelang Aidilfitri


Foto ini dirakamkan dua hari sebelum menjelangnya Syawal 1427 Hijrah. Sewaktu saya dalam perjalanan pulang ke Negeri Bersejarah. Entahlah..saya amat-amat berharap agar ada hikmah disebalik kejadiaan ini…Amin…

“Berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang ketika musibah mereka berkata:'Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepadaNya kita kembali'
(Al-Baqarah:155)

Thursday, October 19, 2006

Kengerian Yang Tidak Dapat Dielakkan


Foto: Sekadar Gambar Hiasan Sahaja

Saya amat ngeri membaca berita dalam akhbar hari ini:


18 terbunuh hari pertama Ops Sikap XI

Oleh Khairul Azran Hussin

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Kempennya bak mencurah air di daun keladi. Ini kerana pada hari pertama Ops Sikap XI bermula semalam ia sudah pun mencatatkan rekod apabila 18 kematian nahas jalan raya dilaporkan.

Rekod itu turut mengatasi jumlah kematian semasa operasi yang sama bermula tahun lalu. Pada musim perayaan Aidilfitri tahun lepas 15 kematian dicatatkan pada hari pertama operasi itu dilancarkan.

Ketua Trafik Bukit Aman, SAC II Nooryah Md. Anvar berkata, sembilan daripada mangsa yang meninggal dunia itu ialah penunggang motosikal dan dua orang pembonceng.

‘‘Lain-lain kematian melibatkan seorang pemandu kereta, penumpang lori (2), pemandu lori (1), pemandu kenderaan lain (1) dan dua pejalan kaki,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nooryah berkata, lapan daripada 18 kemalangan maut itu berlaku di jalan bandaran, lima di jalan Persekutuan, tiga di jalan negeri dan dua di jalan lain.
Saya membaca berita ini dengan perasaan bercampur baur. Sedih dan amat sedih. Pelbagai kempen telah dijalankan tetapi fenomena ini terus berlaku dari tahun ke tahun terutamnya menjelang hari-hari perayaan. Malaysia, negara yang aman. Namun dalam musim-musim perayaan, kadar kematian rakyatnya melebihi dengan kadar purata kematin harian di negara-negara yang dilanda perang seperti Iraq dan Afghanistan.

Di mana silap yang sebenar???

Pelbagai kempen telah dilaksanakan oleh kerajaan. Hinggalah ada steseyn petrol tertentu yang menyediakan minuman percuma kepada para pemandu-namun kemalangan terus juga meningkat.

Pihak Polis saban tahun bersungguh-sungguh mengatasi masalah ini. Cuti dibekukan. Bekerja hingga lewat malam dan kini menetapkan kadar hadlaju yang lebih rendah berbanding semasa- namun kemalangan masih terus meningkat

Dalam satu kursus yang berkaitan dengan pembangunan. Terutamanya bagi mengukur kesejateraan dan pembangunan saya mencadangkan kepada penceramah agar kadar kemalangan juga dilihat sebagai salah satu petunjuk kepada pembangunan. Iaitu walaupun, kadar pendapatan penduduk tinggi, namun jika kadar kemalangan juga tinggi, pembangunan yang seimbang masih belum tercapai. Dan itu hakikatnya di Malaysia.


Saya amat risau. Kemalangan menimbulkan pelbagai impak. Yang Maut tetap maut, yang parah mungkin akan pulih.

Tetapi yang ditinggalkan apa kesudahannya. Saban tahun kita tatap kisah anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat kemalangan beraya dalam kedaifan. Jika ada pihak yang sudi mebantu, maka ringan sedikitlah beban mereka. Tetapi jika tiada bantuan???...Beban psikologi mereka yang ditinggalkan ini amat berat untuk ditanggung...

Saya yakin, majoriti kemalangan berpunca dari sikap manusia sendiri. Ia boleh dielakkan. Bersabar, kawal perasaan itu yang terbaik. InsyaAllah kita akan dapat menjauhi kemalangan..

Pak Kebun: Kempen di blog ini tidak ditaja....

Salam Aidilfitri


Salam Aidilfitri buat semua pembaca blog ini
Maaf jika ada penulisan yang mengguris pembaca semua
Terima kasih atas sokongan pembaca
Saya akan mula bercuti pada hari Jumaat ( 20 Oktober 2006) dan mula bekerja semula pada 30 Oktober 2006
InsyaAllah blog ini akan beroperasi semula seminggu selepas hari raya
Salam Syawal buat semua

Wednesday, October 18, 2006

Jerebu Kehidupan


Jerebu di udara boleh terhapus dengan hujan
Namun...
Bagaimana dengan jerebu kehidupan??
Jika 'jerebu' ini tidak segera reda...
pasti .........................

Friday, October 06, 2006

Jerebu: Realiti Di Sini



Kedua-dua foto ini menunjukkan senario semasa jerebu di Negeri Utara.
Foto say ambil jam 6.15 petang (Waktu Malaysia)
Menurut seorang sahabat yang pakar dalam kajian persekitaran, bacaan IPU (Indeks Pencemaran udara di kawasan negeri tempat saya bekerja ini mencecah ke bacaan 82.
Untuk rujukan:
  • 0-51 dianggap kualiti udara pada tahap baik,
  • 51-100 sederhana
  • 101-200 tidak sihat
  • 201-300 sangat tidak sihat
  • 301-500 membahayakan kesihatan
  • lebih 500 keadaan darurat

Indonesiakah yang bersalah??

Atau ini balasan Allah kerana kemungkaran kita

Pak Kebun: Tanya Iman..

Thursday, October 05, 2006

Jerebu: Untuk Difikirkan


Dipetik dari Utusan Malaysia, 5 Oktober 2006

Keadaan jerebu semakin buruk

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Asap jerebu yang ditiup angin dari kebakaran hutan di Indonesia terus menyelubungi Malaysia hari ini dengan jarak penglihatan jatuh menjunam dan empat negeri mencatatkan mutu udara tidak sihat.

Putrajaya, pusat pentadbiran negara sehingga 5 petang ini mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 187 atau tidak sihat.

Negeri lain yang mencatatkan indeks tidak sihat ialah Sarawak, Sabah dan Negeri Sembilan (lihat grafik).

Di Sarawak negeri yang paling teruk dilanda jerebu, terpaksa membatalkan dua penerbangan, tiga ditangguhkan dan satu lagi ditukarkan destinasi pendaratan sehingga petang tadi.

Perkhidmatan helikopter yang membawa ‘doktor udara’ ke kawasan-kawasan pedalaman negeri itu turut terjejas.

Keadaan itu turut menyebabkan IPU di beberapa kawasan di negeri itu dijangka mencecah tahap sangat tidak sihat atau lebih 200 IPU jika cuaca kering dan panas sekarang berterusan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan berkata, beberapa kawasan telah pun mencatat bacaan IPU tidak sihat sejak beberapa hari lalu dan ia mungkin akan mencapai tahap sangat tidak sihat beberapa hari akan datang.

‘‘Jerebu mungkin akan bertambah buruk dengan jangkaan IPU mencecah lebih 200 jika hujan tidak turun dalam tempoh terdekat,’’ katanya di sini hari ini.

Laporan agensi berita Antara hari ini melaporkan jerebu di Sumatera dan Kalimantan masih teruk berikutan kegagalan bomba memadamkan kebakaran melibatkan sebahagian besar hutan di kedua-dua kepulauan itu.

Di Riau, satelit telah mengesan sebanyak 570 titik panas di seluruh wilayah berkenaan manakala di Kalimantan Tengah jerebu tebal telah menyebabkan beberapa penerbangan tempatan terpaksa dibatalkan.

Mengulas lanjut, Chan berkata, kerajaan negeri akan melakukan operasi pembenihan awan dalam tempoh sehari dua lagi bagi membantu mengurangkan jerebu.

Kata beliau, pembenihan awan agak sukar dilakukan kerana kualiti udara yang sangat kering dan tidak begitu sesuai untuk menghasilkan hujan.

‘‘Bagaimanapun pihak kami akan tetap cuba untuk menghasilkan hujan,’’ katanya.

Sementara itu, Pengurus Malaysia Airports Berhad Sarawak, Mohd. Suhaimi Mubin berkata, sehingga pukul 2.30 petang ini, enam penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) terjejas berikutan kualiti udara yang semakin merosot.

Menurut beliau, tindakan itu diputuskan oleh Jabatan Penerbangan Awam selepas melihat laporan daripada Jabatan Kaji Cuaca pada hari ini.

‘‘Enam daripada lapan penerbangan terpaksa dijadualkan semula berikutan jerebu yang semakin serius dengan jarak penglihatan setakat 600 meter sahaja,’’ ujar beliau.

Bernama yang memetik pengarah DCA Sarawak, Huang Tiong Poh diberitahu, helikopter dilarang melakukan penerbangan mengikut Peraturan Penerbangan Visual sekiranya jarak penglihatan di bawah 1.5 kilometer.

‘‘Penerbangan melibatkan tentera atau perkhidmatan doktor terganggu disebabkan faktor keselamatan,’’ katanya.

Berikutan jarak penglihatan yang merosot iaitu hanya 700 meter direkodkan di Kuching setakat 12 tengah hari ini, beliau berkata pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) ke Kuching turut dilencong ke Sibu.

Pesawat Boeing 737 dari Kuala Lumpur itu dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching 1.30 tengah hari ini.

Semalam, pesawat Fokker 50 Fly Asian Xpress (Fax) dihalang mendarat di Mulu, yang terletak di kawasan tinggi, dan terpaksa berpatah balik ke Miri disebabkan masalah yang sama, katanya.
Di Kota Kinabalu, keadaan jerebu di Sabah tidak banyak berubah dengan Tawau masih mencatat IPU tidak sihat meskipun hujan lebat melanda kebanyakan kawasan malam tadi dan hari ini.

Daerah Tawau mencatat bacaan tertinggi berbanding daerah lain iaitu IPU 133 diikuti Keningau (80), Kota Kinabalu (78) dan Sandakan (70).

Jurucakap Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah berkata, daerah- daerah lain mencatat bacaan sederhana iaitu melepasi IPU 50.

Sekadar Mengingatkan

Ad Dukhan (Bererti asap) adalah surah yang ke 44 di dalam Al Quran. Ia dinamakan Ad Dukhan kerana mengandungi amaran Allah SWT terhadap kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad SAW, bahawa mereka akan ditimpakan azab sengsara semasa langit membawa asap kemarau yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat

(1) Haa Mim (2) Demi kitab Al Quran yang menjelaskan (3) Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan (4) Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah (5) (Iaitu) urusan yang besar dari sisi kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengurus rasul-rasul (6) Sebagai rahmat dari Tuhanmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui (7) Tuhan Yang Memelihara langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya, jika kamu adalah orang yang meyakini (8) Tidak ada tuhan melainkan Dia, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan (Dialah) Tuhan mu dan Tuhan bapa-bapamu yang dahulu (9) Tetapi mereka bermain-main dalam keraguan (10) Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata (11) Yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih

(Terjemahan Surah Ad Dukhan: 1-11)

Pak Kebun: Tidakkah Kamu Berfikir????

Lensa Pak Kebun: Kg Sungai Ruil


Lokasi: Kg Sungai Ruil, Cameron Highland
Info Tambahan: Kg Orang Asli dari Kaum Semai (Kelompok Melayu Deutro), Di kaki Gunung Brinchang dan majoritinya merupakan penganut Agama Islam
Persoalan: Cameron Highlang maju dan jadi tumpuan serta tarikan pelancong. Adakah mereka dipinggirkan dari pembangunan???? atau bersama-sama menikmati pembangunan????

Sekeping Gambar Globalisasi


Apa yang dapat dirumuskan agaknya????

Birokrasi Dalam Pentadbiran Awam


Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada 23 April 2004, oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, adalah selaras dengan cabaran ke empat Wawasan 2020 iaitu untuk “Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur”

Untuk Kearah pemantapan integriti supaya berjalan lancar dan mencapai matlamatnya, maka Pelan Integriti Nasional (PIN) telah menyusun dan menetapkan sasarannya yang dikenali sebagai TEKAD 2008 untuk dicapai dalam tempoh lima tahun pertamanya (2004-2008)

Terdapat lima sasaran yang digariskan melalui TEKAD 2008, salah satu darinya ialah meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi. Bagi agensi yang berada dibawah kawal selia sektor kerajaan, indeks persepsi awam digunakan sebagai penanda aras. Dalam sasaran kedua ini yang perlu dicapai ialah skor mata supaya berada dibawah paras 2.5 mata yang mana skor 1 adalah yang terbaik dan skor 5 yang terburuk. Agensi kerajaan yang lain seperti Biro Pengaduan Awam (BPA), BPR dan Ketua Audit Negara digunakan untuk melihat bilangan aduan dan maklum balas masyarakat umum.
Aduan yang dibuat menerusi jabatan atau agensi kerajaan serta saluran aduan lainnya yang boleh dijadikan sumber maklumat menilai tahap perkhidmatan. Sekiranya sesuai tanda aras antarabangsa dan dalam negeri akan diambil kirauntuk mengukur kecekapan pentadbiran kerajaan

Kring..kring….
Kring…kring…
Kring..kring…..


Hello
En Kebun ke?
Ya saya
Saya dari Bahagian ***** *******, kami dapati En masih tak hantar laporan ’Kerja Bodoh’ hari tu..
Saya dah hantar..3 salinan.
Satu salinan ke *** *****
Satu salinan ke ****
Satu salinan ke ***

Kami tak terima salinan
Kalau ikut surat, memang tiada salinan ke unit puan
Surat tu salah..awak kena hantar satu lagi salinan
Baiklah puan, saya akan sediakan segera

Pak Kebun: Berjayakah PIN, jika pelaksananya bersikap seperti ini???

Wednesday, October 04, 2006

Desak Kuan Yew Minta Maaf?-Lupakanlah...


Dalam entri saya semalam saya ada persoalakan tentang benarkan Kuan Yew memohon maaf....hari banyak respon dari orang-orang atasn Malaysia tentang keikhlasan Kuan Yew...

Sila baca seterusnya (dipetik dari Utusan Malaysia-4 April 2006)

Surat Kuan Yew bukan permohonan maaf – Syed Hamid

PUTRAJAYA 3 Okt. – Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menganggap surat penjelasan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menggambarkan permohonan maaf yang sebenar.

Beliau menegaskan, surat penjelasan tersebut lebih merupakan penerangan kepada Perdana Menteri berhubung apa yang didakwa mengenai peminggiran secara sistematik masyarakat Cina di Malaysia sebelum ini.

“Saya tidak menganggap ia surat permohonan maaf kerana beliau (Kuan Yew) hanya menjelaskan apa yang dikatakan (tuduhan peminggiran masyarakat Cina di Malaysia).

“Dalam surat itu Kuan Yew hanya menyatakan permohonan maaf kerana menyebabkan timbul ketidakselesaan kepada Perdana Menteri sahaja,” katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa di Wisma Putra, di sini hari ini.

Syed Hamid berkata, permohonan maaf kerana menimbulkan rasa tidak selesa kepada Perdana Menteri berbeza dengan permohonan maaf kerana membangkitkan isu peminggiran masyarakat Cina di Malaysia oleh Menteri Mentor tersebut.

Semalam, Kuan Yew dalam surat penjelasannya kepada Abdullah meminta maaf kerana telah menimbulkan rasa tidak selesa kepada Perdana Menteri dan beliau menegaskan perkara itu tidak langsung diingini selepas melalui hubungan bermasalah selama sedekad dengan pemimpin sebelum ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Syed Hamid menegaskan, Singapura seharusnya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung negara jiran khususnya untuk mengelak timbulnya masalah dalam hubungan bilateral.

Katanya, kedua-dua negara perlu bekerjasama dalam semua bidang tetapi pada masa sama perlu menjaga sensitiviti dan perasaan antara satu sama lain.

Mengenai pendirian Malaysia terhadap surat penjelasan bekas Perdana Menteri Singapura itu, beliau berkata, Perdana Menteri telah menyatakan kedudukan Malaysia dengan jelas dan menerima maklum kandungan surat berkenaan.

Keikhlasan Kuan Yew memohon maaf dipersoal

PULAU PINANG 3 Okt. – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) mempersoalkan keikhlasan permohonan maaf Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang dilihat hanya cuba untuk menyejukkan keadaan semata-mata.

Presiden Pemenang, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff yakin Kuan Yew akan terus mengeluarkan kenyataan berbaur kontroversi pada masa akan datang.

Ini kerana beliau amat memahami kerenah pemimpin negara jiran itu yang kerap mengkritik Malaysia terutama semasa zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

‘‘Saya tidak terkejut jika selepas ini dia buat lagi sebab kita tahu perangai dia sejak dari dulu,” kata veteran UMNO itu kepada pemberita di sini hari ini.

Kuan Yew dalam surat penjelasan bertarikh 29 September kepada Abdullah berhubung kenyataan beliau bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik, meminta maaf kerana kenyataannya itu menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.

Suratnya itu diserahkan ke pejabat Abdullah di Putrajaya oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, T. Jasudasen, semalam.

Kenyataan Kuan Yew itu yang turut mendakwa keadaan sama berlaku di Indonesia, dikecam pemimpin Malaysia dan Indonesia kerana dilihat cuba mencampuri urusan politik negara jiran.
Menurut Yusoff, sebagai pemimpin, Kuan Yew tidak sepatutnya melatah dan mencetuskan suasana tidak baik antara Malaysia dan Singapura.

‘‘Apa yang dia lakukan telah menjadi titik hitam dalam sejarah hubungan antara dua negara jiran ini, lagi pun dia sememangnya begitu sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman. Tindak-tanduknya seolah-olah mahu menjadi Perdana Menteri selepas Singapura bergabung bersama Malaysia,” tegasnya.

Katanya lagi, Kuan Yew cuba mempengaruhi Tunku Abdul Rahman supaya mengambil tindakan ke atas golongan yang dilabelkan ‘ultra UMNO’ sekiranya mahukan Singapura terus kekal dalam Malaysia.

Malah lebih dari itu, tambahnya, Kuan Yew memperjuangkan slogan ‘Malaysian Malaysia’ bertujuan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu.

RUMUSAN:
Tak Guna memarahi mereka yang pekak dan bodoh. Tak perlulah beria-ia memarahinya dan meminta dia memohon maaf secara terbuka.Nanti kita juga yang akan jadi bodoh. Kuan Yew tetap Kuan Yew. Bacalah buku yang beliau tulis. Kita akan tahu sikap dan personalitinya.

Sedang kesilapan/isu seperti Gagasan Malaysia Malaysian, isu pemisahan Singapura dengan Malaysia, Isu Air, Ruang Udara, Pulau Batu Putih, KTM Tanjong Pagar yang terlalu besar, Kuan Yew tidak pernah memohon maaf...apa lagi isu yang amat kecil ini. Isu yang tidak akan mampu menjejaskan kestabilan dan keutuhan Singapura.

Lupakan sahajalah tentang tuntutan permohonan maaf itu...


Pak Kebun: Maaf kan kami..3 X (Buat macam lagu P Ramlee)

Ziarah Sahabat



Minggu lepas saya diziarahi oleh dua orang sahabat lama. Kami sama-sama duduk di asrama yang sama dan rumah sewa yang sama semasa pengajian di Menara Gading dahulu. Walaubagaimanapun kami dari kursus yang berbeza.

Lama sungguh saya tidak jumpa kedua-dua sahabat saya ini. Hampir 6 tahun kami tidak bersua. Namun, ikatan ukhwah yang terjalin tidak kami abaikan. Kami sering berhubung melalui e-mel mahupun SMS.

Kebetulan, minggu ini kedua-duanya ke Utara atas urusan perniagaan dan singgah untuk menziarahi saya

Harga Sebuah Ketabahan

Salah seorang sahabat saya ini amat tabah. Beliau mula bekerja di sebuah syarikat yang berteraskan katering sebagai Peramusaji sahaja (walaupun beliau berkelulusan Sarjana Muda-Kepujian Kelas Dua Atas).

Selama enam (6) tahun beliau bekerja di sana. Beliau tetap tabah walalaupun ramai pekerja yang datang dan pergi. Hari ini, Alhamdulillah, beliau telah mejawat jawatan sebagai pengarah operasi di syarikat tempat beliau bekerja...

Memang itulah yang sepatutnya beliau dapat kerana itulah harga yang beliau terima dari ketabahannya.....

Pak Kebun: Teringat Sahabat-sahabat lain terutamanya sahabat pengasas Perguruan Harimau Melampau....

Tuesday, October 03, 2006

Lee Kuan Yew Mohon Maaf?


Akhbar Utusan Malaysia hari ini mendedahkan bahawa Menteri mentor Singapura, Lee Kuan Yew telah manghantar surat permohonan maafnya kepada Malaysia. Berita lanjut ialah seperti di bawah:

Dipetik Dari Utusan Malaysia- 3 Oktober 2006-10-03

Kuan Yew minta maaf -- Ekoran dakwaan masyarakat Cina Malaysia dipinggir cara sistematik

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew dalam surat penjelasan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung dakwaan beliau bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik, telah meminta maaf kerana kenyataannya itu telah menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.

Katanya, perkara itu tidak langsung diingini beliau selepas melalui hubungan bermasalah selama sedekad dengan pemimpin sebelum Abdullah (Tun Dr. Mahathir Mohamad).

Saya minta maaf kerana apa yang saya katakan telah menyebabkan ketidakselesaan. Selepas sedekad hubungan bermasalah dengan pemimpin sebelum anda, perkara seperti ini tidak diingini langsung,” katanya dalam suratnya bertarikh 29 September yang diserahkan ke pejabat Abdullah di Putrajaya oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia T. Jasudasen hari ini.

Salinan surat tiga muka surat itu difakskan kepada Bernama oleh Suruhanjaya Tinggi Singapura di sini malam ini.

Minggu lepas, Abdullah telah menulis surat kepada Lee meminta beliau menjelaskan mengenai kenyataannya bahawa sikap Malaysia dan Indonesia terhadap Singapura dibentuk berdasarkan cara mereka melayan masyarakat Cina.

Lee berterima kasih kepada Abdullah berkenaan surat itu dan berkata, beliau membuat kenyataan itu pada sesi dialog bebas dengan bekas Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Larry Summers di hadapan ramai delegasi asing yang menghadiri mesyuarat IMF/WB.

Dalam suratnya, beliau turut menyertakan transkrip bahagian berkenaan yang telah dilaporkan Reuters.

“Biar saya ringkaskannya, kenapa anda mesti mempunyai kerajaan di Singapura yang betul-betul kukuh, teguh, berfikiran tajam dan tegas.

Jiran-jiran saya mempunyai masalah dengan orang Cina.

“Mereka berjaya, mereka bekerja keras dan kerana itu, mereka dipinggirkan secara sistematik, malah di dalam pendidikan. Adanya kuota untuk menghalang mereka.

“Jadi anda perlu mendapatkan wang untuk ke luar negeri atau pergi ke universiti-universiti swasta yang telah diwujudkan. Jadi mereka mahu Singapura, dengan kata mudah, menjadi seperti orang Cina mereka, yang hanya menurut sahaja.

“Jadi setiap masa, kami mengatakan ‘Tidak’ kepada beberapa cadangan untuk menutup Tambak dan membina jambatan, dia berkata “Anda tidak bekerjasama, anda hanya fikirkan diri sendiri”. Tanpa sebarang alasan, kami tolak cadangan tutup tambak, yang selama hampir 100 tahun amat berguna kepada kami. Dia mahu membina jambatan baru kerana ia nampak cantik dan katanya kapal-kapal boleh lalu dan kontenanya boleh bergerak daripada Pantai Timur ke Pantai Barat melaluinya.

“Tetapi kami kata tidak...jadi kami kata “Baiklah jika kamu boleh beri faedah bersama kepada kami, kami akan bersetuju”. Tetapi anda perlukan kerajaan yang mampu, bukan hanya yang ada keberanian, tetapi juga kemahiran untuk berkata ‘Tidak’ dengan cara tenang, sopan yang tidak menyebabkan mereka sehingga melakukan sesuatu yang bodoh,” kata Lee.

Lee berkata, beliau tidak berkata apa-apa selain apa yang telah diperkatakan banyak kali sebelum ini dan hakikatnya beliau kurang berkata berbanding apa yang tertulis di dalam bukunya yang diterbitkan pada 1998.

Katanya, beliau tidak ada niat untuk masuk campur dalam politik Malaysia dan malah beliau tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi politik Malaysia atau menghasut orang Cina di Malaysia.

Katanya, sejak Abdullah menjadi Perdana Menteri pada November 2003, hubungan antara kedua-dua negara semakin baik di mana beliau yakin rakyat Malaysia dan Singapura saling menghargai.

Dalam catatan tambahannya, Lee ada juga mengatakan, berikutan tindakan Abdullah menulis surat kepadanya telah mendapat publisiti dan telah meminta jawapan daripadanya, beliau mesti mendedahkan surat ini kepada media selepas Perdana Menteri menerimanya.
– Bernama


Dalam Akhbar Online Berita Harian Singapura, ada dimuatkan terjemah penuh surat Lee Kuan Yew itu. Berikut adalah terjemahan Surat Lee Kuan Yew :

(Sember Asal: http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/story/0,3617,82769,00.html?)

TEKS PENUH SURAT JAWAPAN MM LEE KUAN YEW KEPADA PM MALAYSIA BERTARIKH 29 SEPTEMBERSINGAPURA TAK PERNAH BANTAH SELARAN M'SIA

KE HADAPAN Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi):

Terima kasih di atas surat anda bertarikh 25 September 2006.

Saya membuat kenyataan di satu sesi dialog dengan mantan Setiausaha Amerika Syarikat Larry Summers di hadapan delegasi asing yang menghadiri mesyuarat Dana Kewangan Antarabangsa/Bank Dunia. Sebagai memberi konteks terhadap laporan Reuters, saya ketengahkan transkrip catatan yang relevan:

'Biar saya rumuskannya dengan baik, mengapa anda perlu mempunyai pemerintah di Singapura yang amat tegas, berhati waja, bersikap halus dan tegas. Jiran-jiran saya kedua-duanya mempunyai masalah dengan masyarakat Cina mereka. Mereka berjaya, mereka gigih bekerja dan, oleh itu, mereka dipinggirkan secara sistematik, termasuk dalam pendidikan.

'Terdapat kuota untuk menghalang anda. Jadi, anda perlu mengumpul wang untuk ke seberang atau pergi ke salah sebuah universiti swasta yang telah dibangunkan. Dan mereka ingin Singapura, secara ringkasnya, menjadi seperti masyarakat Cina mereka, sekadar menuruti.

'Jadi, setiap kali kami kata 'Tidak' kepada saranan merobohkan Koswe dan membina jambatan, beliau berkata, 'Oh, anda tidak bekerjasama, anda hanya memikirkan diri sendiri'. Tanpa sebab dan alasan, kami merobohkan sebuah koswe, yang hampir 100 tahun usianya, yang telah berkhidmat dengan baik untuk kita. Beliau ingin membina sebuah jambatan kerana ia dipandang cantik dan beliau berkata kapal-kapal boleh belayar dan kontena-kontenanya dapat bergerak dari Pantai Timur ke Pantai Barat menerusinya.

'Tetapi kami melihat tidak... Jadi, kami kata, 'Baiklah, jika anda memberi kami manfaat yang setimpal, kami setuju'.

'Tetapi anda perlukan sebuah pemerintah yang dapat menyampaikan, bukan sekadar mempunyai keberanian, tetapi mempunyai kebolehan untuk menyatakan 'Tidak' dengan cara yang tenang, sopan hingga tidak menyebabkan mereka melakukan sesuatu yang bodoh.'

Berkenaan jambatan dan jambatan separuh untuk merobohkan Koswe, anda membuat keputusan bagi pihak kerajaan anda yang jelas menyatakan Malaysia menghormati persetujuan mengikut undang-undang yang telah dicapai dan bertindak mengikut ketetapan undang-undang antarabangsa.

Ini membuat rujukan kepada Itlos dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa sebagai sesuatu yang tidak harus dilakukan. Penghormatan terhadap undang-undang adalah asas kepada hubungan jangka panjang antara kita.

Saya sedang menerangkan kepada hadirin Barat yang liberal, yang mahu melihat pembangkang lebih kuat di Singapura, mengapa Singapura memerlukan sebuah pemerintah majoriti yang kuat, bukan satu gabungan yang boleh menjejas kami dalam mempertahankan kepentingan nasional kami.

Singapura memerlukan pemerintah yang kukuh untuk memelihara hubungan baik dengan Indonesia dan Malaysia dan untuk berinteraksi dengan ahli politik Indonesia dan Malaysia yang menganggap Singapura sebagai negara rakyat Cina dan mahu Singapura agar peka dan tunduk terhadap permintaan mereka.

Sudah beberapa kali pemimpin Umno, termasuk Dr Mahathir dan ramai yang lain, memberi amaran secara terbuka kepada warga Melayu Malaysia bahawa jika mereka kelak hilang kuasa, mereka akan menghadapi bahaya menanggung nasib seperti masyarakat Melayu Singapura, yang dianggapnya sebagai dipinggir dan didiskriminasikan

Dan dari masa ke masa apabila ahli politik Malaysia menyelar Singapura dengan hebatnya berhubung beberapa isu dua hala, beberapa daripada kalangan mereka memberitahu kami secara peribadi bahawa kami harus menerima keadaan ini sebagai sebahagian daripada politik Malaysia dan jangan bertindak balas terhadap kecaman kecaman itu.

Singapura memahami realiti politik di Malaysia. Kami tidak pernah membantah kecaman-kecaman terhadap sistem berbilang kaum atau dasar-dasar kami, kecuali dalam menjelaskan pendirian negara ini apabila perlu.

Namun, kami perlu menerangkan kepada rakyat kami punca segala kepayahan yang terdapat dalam hubungan dua hala kita. Jika tidak, rakyat Singapura akan percaya bahawa pemerintah mereka sendiri yang melakukan kesilapan, sama ada terhadap rakyatnya sendiri atau terhadap Malaysia.

Bagi para masyarakat antarabangsa pula, dengan sebegitu banyak pegawai kedutaan dan koresponden asing membuat laporan tentang Singapura dan Malaysia, termasuk puluhan ribu ahli perniagaan asing bekerja di kedua-dua negara kita, orang-orang ini akan membuat pertimbangan mereka sendiri mengenai kedudukan yang sebenar, tanpa mengira apa yang saya katakan.

Saya tidak bercakap melebihi apa yang telah saya katakan banyak kali sebelum ini. Malah, apa yang saya katakan adalah kurang berbanding apa yang telah saya tulis dalam memoir saya yang diterbitkan pada 1998. Saya tidak mempunyai niat untuk mencampuri politik anda. Malah, saya tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi politik Malaysia atau menyemarakkan semangat masyarakat Cina di Malaysia.

Sejak anda mengambil alih sebagai Perdana Menteri Malaysia pada November 2003, hubungan antara kedua-dua negara semakin bertambah baik. Warga Singapura, dan saya percaya, Malaysia juga, menghargainya.

Saya meminta maaf bahawa apa yang saya telah katakan menyebabkan anda terasa amat tidak selesa. Selepas tempoh satu dekad mengharungi hubungan bermasalah dengan orang yang anda gantikan, ini adalah perkara yang tidak sama sekali saya inginkan.

Yang benar, Lee Kuan Yew

Perhatian: Hakikat bahawa anda telah menulis kepada saya, telah dilaporkan secara meluas. Oleh kerana saya telah ditanya tentang jawapan balas saya, saya akan menyebarkan surat saya kepada media selepas anda menerimanya.

Pak Kebun: Amati surat terjemahan ini baik-baik. Lihat adakah ia nyatakan kekesalannya terhadap apa yang telah dicakapkan????

Ada akal..fikir...ada mulut diam.....

Monday, October 02, 2006

Jejak Nyemah Mulya: Ada Peminat?


Saya tak pernah menyangka bahawa entri saya dibawah judul Jejak Nyemah Mulya mendapat perhatian serius dari beberapa pembaca.

Pagi sabtu yang lau, saya terima satu emel yang seorang pembaca , anak Melayu yang kini menuntut di Perancis. Dalam emelnya beliau berminat untuk mengkaji tentang Melayu di Portugal dan beliau juga akan ke Lisbon untuk menjalankan kajiannya.

Saya tidak pasti samada tulisan saya tentang Jejak Nyemah Mulya membantu membangkitkan keinginannya atau sebaliknya. Namun jika itu benar, saya berasa amat bertuah kerana sedikit sebanyak usaha saya mendapat perhatian pembaca.

Sebenarnya, saya kini sedang berkira-kira untuk membuat satu kajian ringkas tentang Rekebentuk bandar lama yang ada di Lisbon, tanah-tanah jajahan portugis (seperti Goa) dan juga Melaka (ide Faisal juga) kerana ia menunjukkan ciri-persamaan yang ketara antara satu sama lain.
Cuma entah bila agaknya akan saya mulakan kajian ringkas itu.

Mungkin ada sahabat dikalangan pembaca memberikan saya bantuan dari segi info dan foto untuk saya mulakan kajian ini. Saya memerlukan bantuan semua...

Wassalam

Pengembaraan Ibn Battutah-IKIM



Saya pinjam buku ini dari tempat saya bekerja. Saya tidak pasti kehebatannya (Namun ia amat hebat dari segi harga: RM 250.00). Katanya penerbit, buku ini terjemahan asal dari karya yang berbahasa arab ’Rihlah Ibn Battutah al Mussammah Tuhfah al-Nauzzar fi Ghara’ib al Amsar’ Aja’ib al-Asfar’.

Saya juga turut mempunyai sebuah buku yang hampir sama yang berjudul ’Pengembaraan Ibn Battuta Musafir Islam’ yang lebih murah harganya.

Apa yang hendak saya ulas bukanlah dari segi harga mahupun kandungan buku ini. Tetapi dari segi kecenderungan ’pengunjung’ perpustakaan untuk membaca dan meminjam buku ini.

Menurut sumber yang tercatat pada bahagian hadapan buku ini, ia diperoleh dari pembekal pada 7 Februari 2006. Saya merupakan peminjam pertama. Saya pinjam buku ini pada 30 September 2006.
Bermakna, buku ini telah berada di rak terbuka selama tujuh bulan tanpa dipinjam oleh sesiapa.....Saya terfkir, jika begini senarionya......bila agaknya budaya membca dapat diterapkan dikalangan rakyat. Kerana ini buku yang mahal dan tidak semua orang mampu membeli. Andaian saya ialah ia pasti jadi rebutan kerana boleh dipinjam secara percuma...tetapi saya silap......

Pak Kebun: Apa agaknya yang mereka baca????