(Nota: Ini adalah semata-mata pendapat dan pandangan pewacana sahaja, oleh yang demikian segala kesilapan dan kekeliruan besar kemungkinan tidak dapat dielakkan)
PENGENALAN
Assalamualaikum wbt kepada semua hadirin yang beragama Islam, terima kasih kerana sudi hadir ke majlis wacana buku ini.
Saya kira tidak perlulah saya memperkenalkan diri saya dengan lebih lanjut kerana pengenalan oleh pengerusi majlis sudah mencukupi.
Novel TTD ini bukan novel yang nipis. Naskhah yang ada pada saya ini setebal 678ms dan ia adalah naskhah terawal TTD yang diterbitkan sebelum urusan penerbitannya diserahkan kepada Al Ameen.
Pertama kali saya baca dan habiskan pembacaan novel ini ialah sekitar Mac 2005 dan mengulangnya kali kedua tidak lama kemudian . Selepas itu novel ini tersimpan kemas di rak buku saya.
Lalu, apabila dihubungi oleh En nizam dan berbincang tentang wacana buku ini kira-kira pada tahun lepas saya agak teruja lantas menawarkan diri untuk menjadi pembicara.
Teruja kerana ia karya faisal tambah teruja bila ia adalah TTD.
PEMBICARAAN
Bila pertama kali saya memegang TTD, saya tertanya TTD ini tentang apa? Tambahan pula saya tidak mengikuti secara keseluruhan sewaktu ia disiarkan secara bersiri dalam ruangan Agama , Utusan
Saya masih tertanya-tanya. Apa ‘ibu cerita’ dalam TTD ini.
Bagi tuan puan yang tekun mengikuti tulisan faisal tentu tuan puan akan dapat melihat kepelbagaian tema dalam setiap tulisannnya (novel)
Beliau pernah menulis tentang busana melayu dalam novel “Maknikam Kalbu”. Kisah perkapalan Melayu dalam “Bedar Sukma Bisu” dan juga beberapa novel yang menggabungkan fiksyen dan sejarah seperti 1515, Saasatul Ibaad, Nama Beta Sultan Alauddin dan sebagainya. Beliau juga menegur dengan pena tentang kegilaan kita terhadap muzik realiti yang melampau sehingga wujudnya novel yang berjudul ‘Advencer Peniup Ney’.
Jadi bila berbicara tentang TTD, pokok persoalan yang perlu dijawab ialah apa yang dibawa oleh TTD.
Barangkali ada yang mengatakan ia kisah betik...saya tidak nafikan itu ada benarnya kerana selama ini berapa jenis betikkah yang kita tahu? Berapa banyak khasiat betikkkah yang kita tahu? Bagainamakah cara dan kaedah terbaik menanam betik adakah kita tahu?
Jika tuan puan kata TTD kisah betik...memang betul kerana sekurang-kurangnya tuan puan ada ilmu tentang betik setelah selesai membaca novel ini. Betik sekaki kah yang jadi minat atau betik exotica? Itu tuan puan sendiri yang tahu...
Berbalik pada pandangan saya, pada saya TTD ialah sebuah kisah ketabahan, ketabahan seorang wanita yang bernama Salsabila Fahim dalam memulakan , menguruskan dan meneruskan survival ladang betik (Teduh Dulu) yang dikongsinya bersama dengan seorang sahabat iaitu Teh Sofia. Kemudian, barulah datang pecahan plot-plot yang lebih kecil seperti:
TTD ialah sebuah kisah kekeluargaan kisah Salsabila menghadapi kedegilan Sharulzaman, kisah hubungan Salsabila dengan Ibu tirinya yang uzur yang sebelum ini pernah menerimanya dengan sikap yang tidak menyenangkan. Kisah Salsabila dengan ibu mertuanya yang lumpuh dan juga kisah salsabila dengan keluarga suaminya Sazli.
TTD ialah sebuah kisah persahabatan: Persahabatan salsabila dengan Teh
TTD adalah kisah percintaan: Kisah percintaan manusia dengan Manusia. Kisah CInta yang ditawarkan oleh Lam dan Kamil terhadap Salsabila adalah sebuah kisah cinta yang biasa kita dengar malah mungkin juga kita lalui. Melalui zaman kanak-kanak bersama-sama kemudian terpisah dan akhirnya bertemu semula ketika dewasa dan hebat...kedua-duanya merebutkan cinta dari wanita yang sama (Salasabila) Juga kisah cinta Sazli yang sangat ‘underdog’ dan tiba-tiba menjadi hero dalam novel ini
Bila melihat TTD sebagai sebuah novel cinta, ada banyak aspek yang boleh dibincangkan. Antaranya bagaimana Faisal berjaya mewujudkan satu watak yang digambarkan sangat menarik perhatian dan dalam masa yang sama pula dilihat amat sukar untuk mebuat keputusan memilih cinta yang ditawarkan hingga ada ketikanya ‘pembaca’ mungkian akan timbul perasaan meluat terhadap sikap salsabila yang kelihatan ‘tamak’.
Hebatnya TTD bila berbicara TTD sebagai sebuah kisah percintaan, tentulah kisah pertemuan Salsabila dan Sazli di Kota Suci Mekah atau lebih tepat lagi di Jabal Rahmah merupakan sesuatu yang amat menggembirakan. Pertemuan yang akhirnya diikuti dengan perkahwinan.
Pada saya inilah klimaks cerita ini.
Lupakan kisah TTD yang hendak buka cawangan di Indonesia, lupakan kisah TTD yang hendak meluaskan usahasama dalam bidang farmaseutikal, bagi saya jika melihat TTD sebagai sebuah novel cinta pernikahan Salasabila dan Sazli adalah kemuncak cerita ini.
Ya tuan-puan kena akur dengan jalan cerita ini, mungkin ramai yang menharapkan agar Salsabila memilih Saifullah (Lam Ping Hai) mungkin juga ada yang mengharapkan agar Kamil yang akan dipilih, namun saya tegaskan sekali ini, ini adalah sebuah novel yang ‘lain’ berbanding dengan novel-novel cinta yang berlambak dipasaran. Tentu tuan-tuan dapat fikirkan apa yang saya maksudkan dengan ‘lain’ itu....
TTD juga adalah kisah Kecintaan Manusia terhadap Pencipta. Kisah penyerah diri seorang Insan kepada Allah SWT terhadap apa juga bala dan bencana yang melanda. Dalam konteks ini ketabahan Salasabila disulam cantik oleh faisal. Kisah Salsabila yang sentiasa memohohon pertolongan Allah dalam menangani setiap dugaan yang mendatang dan menyerahkan hal memilih jodoh juga kepada Yang Maha Esa membuktikan bahawa novel ini bukan hanya sekadar sebuah novel cinta murahan.
Walau bagaimanapun, ada sedikit pengulangan jalan cerita dalam TTD ini iaitu apabila TTD yang diambil kerajaan untuk tujuan pembangunan hampir sama dengan kisah yang pernah dipaparkan oleh beliau dalam novel Perempuan Politikus Melayu. Walaupun dalam konteks dan plot yang berbeza.
Namun begitu ia tidak membawa apa-apa kecacatan pada novel ini.
RUMUSAN
Pandangan saya. Ini adalah ‘masterpiece’ faisal. Sebagaimana Salina bagi SN A Samad Said dan ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ bagi Shahnon Ahmad. Walaupun tema dan latarbelakang pengkisahan yang berbeza tetapi saya yakin kekuatan yang ditonjolkan oleh jalan cerita dan watak-watak yang ada dalam novel ini sangat mantap. Membaca novel ini pasti memberikan pembaca manfaat. manfaat bukan sahaja dari segi ‘rasa’ tetapi paling penting dari segi ‘jiwa’
Sekian
Wabillahitaufik Wal hidayah Assalamualaikum Wbt....
Foto: Kehadiran Yang Tidak Menggalakkan, Apakah Kerana Mahasiswa/i Sibuk Dengan Nota Kuliah ?
No comments:
Post a Comment