Petikan Utusan Malaysia 21 Mei 2007:
Khairy minta penjelasan Anwar Ibrahim isu Wolfowitz
Oleh HERMAN HAMID
KOTA BHARU 20 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak menjelaskan kepada rakyat mengenai hubungannya dengan Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz yang menjadi dalang besar pencerobohan Amerika Syarikat (AS) ke atas Afghanistan dan Iraq.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Anwar juga perlu menghuraikan kaitannya dengan Yayasan bagi Masa Depan (Foundation for the Future) yang ditubuhkan oleh bank itu.
Yayasan itu yang dikatakan menjadi penggerak kepada usaha menyemai demokrasi dan kebebasan atas nama AS di beberapa negara tertentu dipengerusikan sendiri oleh Anwar.
Kaitan Anwar dengan Yayasan bagi Masa Depan timbul apabila Wolfowitz didesak meletakkan jawatan sebagai Presiden Bank Dunia ekoran kontroversi yang melibatkan kenaikan gaji teman wanitanya.
Khairy berkata, Anwar mesti menjawab semua tanda tanya itu kepada rakyat Malaysia.
‘‘Sumber-sumber kita termasuk yang dipapar dalam sebuah artikel Mingguan Malaysia mendakwa Anwar melalui yayasan berkenaan meminta supaya teman wanita Wolfowitz, Shaha Riza dipindahkan ke Yayasan bagi Masa Depan iaitu selepas wanita itu ditukarkan ke Jabatan Negara AS dari Bank Dunia.
‘‘Jika betul ada penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam skandal Wolfowitz dan teman wanitanya, Anwar perlu jawab kepada rakyat Malaysia kerana ia turut melibatkan kedudukannya selaku pengerusi yayasan berkenaan,” kata Khairy.
Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis makan tengah hari di rumah Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh di sini hari ini.
Sebuah rencana dalam Mingguan Malaysia hari ini mengulas mengenai kontroversi kenaikan gaji Shaha Riza yang membawa kepada pengunduran Wolfowitz daripada Bank Dunia serta terbongkarnya penglibatan Anwar selaku pengerusi yayasan yang Shaha Riza sendiri menjadi antara penggerak awalnya.
Selain itu, rencana berkenaan turut memetik kenyataan seorang penulis blog, David Corn, yang mendakwa Wolfowitz ialah orang kuat yang membela Anwar sepanjang bekas Timbalan Perdana Menteri itu berada dalam penjara.
Malah, sebaik sahaja Anwar dibebaskan dari penjara, Wolfowitz terbang ke Jerman untuk bertemu dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dan setahun selepas itu Anwar pula menyatakan sokongannya ke atas pelantikan Wolfowitz sebagai Presiden Bank Dunia.
Kata Khairy: ‘‘Di peringkat antarabangsa sendiri beliau boleh terlibat dalam skandal besar melibatkan institusi berwibawa seperti Bank Dunia. Skandal ini cukup besar.”
Foundation for the Future (Yayasan Masa Hadapan) mula-mula diumumkan di Bahrain pada November 2005 oleh menteri-menteri luar dan pembangunan dari Timur Tengah, Afrika Utara, Eropah dan Amerika Syarikat. Yayasan tersebut merupakan sebuah badan independen, melibatkan kerajaan dan masyarakat madani untuk menyokong badan-badan bukan kerajaan di dalam usaha membangunkan demokrasi dan kebebasan di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Dari awal, sebanyak US$56 juta telah dijanjikan kepada Yayasan. Setakat ini, Yayasan hanya menerima dana dari Turki, United Kingdom dan Jordan, antara lain. Amerka Syarikat tidak memberikan sebarang dana kepada Yayasan..
Saya dijemput untuk menyertai lembaga pengarah Yayasan pada pertengahan 2006 bersama-sama wakil dari Maghribi, Kuwait, Iraq, Sepanyol, Syria, Turki, Lubnan, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Mesir, Switzerland dan Qatar.
Ahli lembaga pengarah yang lain termasuklah Kamel Abu Jaber, penasihat kepada Menteri Luar Jordan; Dr. Cornelio Sommaruga, bekas Presiden Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa; Professor Ibrahim Kallin, penasihat Menteri Luar Turki, dan Sandra Day O’ Connor, bekas hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat.
Mesyuarat lembaga pengarah yang pertama diadakan di Doha, Qatar di atas jemputan Sheikh Hamad Bin Jassim Bin Jabr Al-Thani, Menteri Luar dan kini Perdana Menteri Qatar pada 15 Julai 2006, dan saya telah dipilih secara sebulat suara sebagai Pengerusi Kehormat Yayasan. Keputusan yang disepakati ialah untuk mendirikan ibu pejabat di Beirut, Lubnan.
Walaubagaimanapun, di dalam mesyuarat lembaga pengarah pada 4 Disember 2006 di Amman, Jordan, saya bertemu Menteri Luar Jordan Abdelelah Al-Khatib, yang menyokong saranan penubuhan sekretariat serantau di Amman memandangkan penangguhan di dalam mendirikan ibu pejabat Beirut akibat serangan Israel terhadap Lubnan. Mesyuarat lembaga pengarah seterusnya akan diadakan pada 29-30 Mei 2007 di Bahrain.
Saya tidak melantik Shaha Ali Reza ke Yayasan. Beliau mula-mula ditugaskan oleh Bank Dunia menerusi Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk Yayasan pada hujung 2005 sebelum saya menjadi Pengerusi. Jawatankuasa eksekutif telah memutuskan pada pertengahan 2006 untuk menyeragamkan perlantikan tersebut agar Shaha menasihati secara langsung dari Bank Dunia dan bukannya Jabatan Negara.
Yayasan tersebut akan mengeluarkan kenyataan penuh selepas mesyuarat di Bahrain minggu hadapan. Tetapi, memandangkan propaganda yang berterusan dari media kawalan UMNO, saya telah memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan ini. Sekiranya tiada penjelasan oleh media berkenaan isu ini, Yayasan tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan perundangan terhadap pihak-pihak terbabit.
ANWAR IBRAHIM
Pengerusi Yayasan Masa Hadapan
(dipetik dari : http://www.anwaribrahimclub.com/in/)
No comments:
Post a Comment