"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Thursday, July 06, 2006

Sembang Buku: Kedurjanaan Siber 2


Buku: Kedurjanaan Siber 2
Penulis: Shaharom TM Sulaiman
Penerbit: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd
Tahun: 2004
Harga: RM 22.00



Buku ini merupakan buku kedua dalam tajuk yang sama iaitu “Kedurjanaan Siber”. Seperti buku siri 1, buku ini juga merupakan kompilasi artikel beliau yang pernah diterbitkan dalam kolum ‘Melayar Buku’ di majalah Massa yang telah berkubur serta beberapa kertas kerja beliau yang telah dibentangkan dibeberapa buah seminar.

Menurut Shaharom, buku ini bukan mengisahkan tentang ‘perkara yang akan berlaku’ dan juga tentang ‘abad yang akan datang’. Ini kerana abad yang ‘akan datang’ itu telah tiba dan kita kini sedang melaluinya.

Masa kini begitu pantas sehinggakan perkara-perkara yang tidak pernah dibayangkan 15-20 tahun lalu telahpun berlaku. Teknologi-teknologi seperti Genetic Engineering, Advance Biochemistry, Digital electronics dan Optical Data Storage merupakan teknologi-teknologi yang kini semakin ‘akrab’ dengan kehidupan kita sehari-hari.

Buku ini terbahagi kepada tujuh bahagian dan mengandungi sejumlah 37 artikel yang kebanyakkannya seputar tentang dunia siber dan ICT.

Artikel ‘Trend Teknologi Abad Ke 21’ menonjolkan tentang kemajuan dalam bidang teknologi yang kita sedang lalui pada hari ini. Teknologi menjadikan kehidupan serba mudah. Dalam dunia yang semakin pantas bergerak, masa adalah segalanya.Membeli belah dan membayar bil ditengah-tengah kesesakan lalulintas sememangnya sesuatu yang langsung tidak pernah terfikir boleh dilakukan pada 15-20 tahun yang lalu.

Namun semua itu bukan sesuatu yang mustahil melalui teknologi internet dan penggunaan teknologi ‘hand held personal assistant’. Pemanduan jadi lebih mudah dengan penggunaan system data GIS yang dihubungkan secara langsung dengan satelit LEO (Low Earth Orbit) yang mana akan memudahkan pemandu mengenalpasti kawasan-kawasan yang sesuai dilalui terutamanya pada waktu-waktu kritikal seperti sesak ataupun banjir kerana dihubungkan dengan system yang mampu mengenalpasti keadaan semasa.

‘Wacana Cultural Studies’ adalah antara artikel yang dilihat kurang perkaitan dengan dunia ICT. Ia lebih merupakan sebuah artikel yang bersifat ilmiah yang membicarakan tentang kajian ‘budaya’ manusia.

Menurut Shaharom, ‘Cultural Studies’ merupakan satu gerakan intelektual yang sangat kritis terhadap budaya, dunia siber, sastera, filem, iklan, pascakolonialisme, kapitalisme, budaya massa dan segala macam perkara lagi. Tambah beliau lagi, ‘Cultural Studies’ ini seumpama rojak yang bercampur-campur, ia ternyata sulit untuk disepakati untuk memahami definisi dasar apa yang dinamakan sebagai ‘cultural studies’ kerana ia bukan satu hal tetapi banyak hal (2004:250).

Shaharom juga memetik kenyataan Ziauddin Sardar dalam bukunya yang berjudul ‘Mengenal Cultural Studies’ bahawa bidang ini melangkauai pandangan intelektual dan akdemis, mulai daripada disiplin lama yang mapan hingga gerakan politik baru dan praktik intelektual serta cara penyelidikan seperti Marxisme, pascakolonialisme, feminisme dan pasacastrukturalisme’.

Yang nyata ‘cultural studies’ adalah satu bidang yang anti disiplin. Oleh yang demikian ia bukan merupakan hak mutlak bagi mana-mana bidang untuk mengakui bahawa ‘cultural studies’ adalah bidangnya sedang dalam masa yang sama ‘cultural studies’ boleh wujud dalam pengkajian mana-mana bidang di pelbagai disiplin ilmu.

Dalam bidang Geografi, ‘cultural studies’ ini wujud dalam skop ‘Cultural Geography’ yang memfokuskan kajian-kajian tentang identity, politik, peminggiran social, gender, filem dan juga pascamodesnisme (Anderson and Gale, 1999:1-3)

Walaubagaimanapun, yang jelas “Cultural Studies” ini ialah kajian tentang budaya samada budaya sebagai kehidupan sehari-hari mahupun budaya sebagai tindakan kontra hegemoni, penentangan terhadap kuasa ‘dari atas’ dan pembelaan terhadap subkultur.

Secara keseluruhannya, sama seperti buku ‘Kedurjanaan Siber 1’ buku ini perlu dibaca oleh semua yang berminat tentang kemajuan dan pembudayaan ICT dalam kehidupan dan juga mereka yang ingin melihat kehidupan masa akan datang walaupun hakikatnya masa akan datang itu sedang kita kita lalui dan membaca buku ini pasti menyedarkan kita dari ‘lena’.

Pak Kebun: Kebun Siber 2

No comments: