Dalam membaca dan menghayati novel 1515, terdapat dua individu yang benar-benar menarik perhatian saya. Pertamanya, pahlawan yang berjuang untuk mempertahankan Melaka dari di jajah. Manakala satu lagi ialah seorang pengkhianat yang mengambil peluang dengan memberikan bantuan-bantuan kepada Portugis.
Dalam entri ini, saya ingin bincangkan tentang individu pertama, iaitu seorang pahlawan yang berjuang sehingga ke titisan darah terakhir bagi mempertahankan Melaka dari dijajah Portugis dan beliau ialah “Tuan Bandan”. Untuk makluman pembaca, Tuan Bandan ini benar-benar wujud dan ianya bukan sekadar fantasi Faisal semata-mata.
Semasa perbincangan tentang Tuan Bandan inilah seorang sahabat menyarankan agar saya membuat satu penulisan tentang tokoh-tokoh pahlawan Melaka yang turut berjuang mempertahankan Melaka sepanjang era panjajahan Portugis seperti Panglima Hitam, Panglima Lidah Hitam dan sebagainya.
Walaupun ini satu tajuk yang menarik untuk dijejaki namun saya sendiri tidak memberi keputusan samada bersetuju atau tidak atas cadangan sahabat tadi. Walaubagaimanapun, saya berjanji pada diri saya sendiri untuk cuba berusaha memenuhi cadangan sahabat saya tadi.
Siapakah Tuan Bandan?
Semasa membaca novel 1515, saya mengandaikan bahawa Tuan Bandan itu adalah nama bagi seorang pahlawan seperti mana Hang Tuah, Hang Jebat dan sebagainya. Namun sebaliknya, Tuan Bandan bukanlah nama sebenar beliau. Walaubagaimanapun beliau masih merupakan pahlawan Melaka. Nama sebenarnya tidak saya ketahui hingga ke hari ini.
Menurut buku Albuquerque: Caesar Timur (128):
“Tuan Bandan” merupakan nama gelaran bagi nakhoda dan jawatan.serta bukan nama beliau. Dibentuk daripada perkataan Melayu “Tuan”, perintah yang agung dan Bandar, “pelabuhan”.
Novel 1515 memerihalkan siapa Tuan Bandan serta usaha dan tentangan Tuan Bandan bersama-sama pahlawan-pahlawannya yang berjuang dalam mempertahankan Melaka dari ditakluki Portugis dan akhirnya syahid di medan pertempuran.
“Kau harus tahu Nyemah, Tuan Bandan Memang benar pahlawan berani. Selama ini kau Cuma mengenal dia sebagai salah seorang tuan nakhoda yang menjaga Pelabuhan Melaka” (67)
Penentangan dan Syahid Tuan Bandan
“Dia Fahami syahid. Waktu kelam orang Melaka pecah kabut, Albuquerque tekad merampas jambatan, Tuan Bandanlah, selaku ketua pasukan di Raja mengibar seratus bendera hijau negeri Melaka dengan bulan sabit putih di tengahnya memimpin tujuh ratus orang Jawa menyerang pasukan Albuquerque dari belakang. Bertempur mereka satu dengan satu, depan berdepan.” (67-68)
“Pasukan Portugis sudah merampas Masjid, melihat keadaan itu lalu menghantar Dom Joao de Lima dan kapten-kapten lain menggasak pula pasukan Tuan Bandan” (68)
“Tersepit Tuan Bandan bersama-sama pahlawan-pahlawannya tersepit. Di depan ada sepasukan Feringgi, di belakang juga begitu, bertakbir keras Tuan Bandan mengamuk atas jambatan. Sempat ditikamnya dengan keris dua puluh askar Malabar hingga tembus ke rongga paru-paru” (68)
“Syahidlah Tuan Bandan, ditembak lima das peluru dari senapang Albuquerque yang ketawa besar kegirangan. Waktu itulah gemparnya sekelian yang ada melihat jasad Tuan Bandan bukan jatuh rebah ke bumi, tetapi terus naik ke langit bagai bulu ayam terapung dan terus naik ke langit tinggi, hilang begitu sahaja” (69)
Saya sememangnya percaya dengan kewujudan dan penentangan Tuan Bandan terhadap tentera Portugis. Walaupun novel 1515 sebuah novel yang mempunyai elemen-elemen fiksyen, tetapi dalam buku Albuquerque: Caesar Timur turut memerihalkan tentang penentangan Tuan Bandan.
Ini merupakan bukti yang penting dan kukuh tentang kewujudan seorang pahlawan Melaka yang bernama Tuan Bandan yang akhirnya syahid dalam mempertahan Melaka.
“Tuan Bandan, Ketua Pasukan di Raja Melaka telah menaikkan bendera dengan warna mereka dalam salah sebuah kubu di atas jambatan. Apabila melihat orang Islam kacau bilau, beliau keluar dengan 700 orang Jawa dan dua orang kapten lain naik ke atas jambatan di bahagian kota dan menyerang kami dari belakang.”
“Albuquerque nampak mereka datangdari salah satu jalan besar di bandar tersebut lalu mengeluarkan Joao de Sousa, Antonio de Ebreu dan Aries Pariera serta orang-orangnya supaya mereka boleh menyerang. Ini dilakukan dengan cepat sebelum orang islam sampai ke kubu.”
“Mereka dapat melempar lembing dengan penuh semangat sehingga memaksa pihak musuh untuk berundur. Dom Joao de Lima dan kapten-kapten lain yang berada di sebelah masjid tergesa-gesa untuk sampai ke hadapan secepat mungkin, apabila mereka muncul dan dengan segera membunuh sebahagian daripada mereka.”
“Yang lain-lain pula terjun ke arah sungai apabila mendapati diri mereka di serangdari ke dua-dua arah. Para pelayar terus menujuke arah mereka dalam kapal lalu membunuh mereka semua tanpa mengecualikan sesiapa pun kerana komander mereka Tuan Bandan dan dua orang kapten yang bersama-samanya telah terbunuh”
Faisal menulis Tuan Bandan mati akibat ditembak oleh Albuquerque, namun dalam buku Albuquerque: Caesar Timur tidak diijelaskan dengan teliti tentang siapa yang membunuh Tuan Bandan.
Walaubagaimanapun, yang nyata Tuan Bandan telah syahid dalam mempertahankan Melaka. Syahidnya Tuan Bandan sedikit sebanyak membawa kepada kelonggaran barisan pertahanan Melaka dan akhirnya menyumbang kepada kejatuhan Melaka ke tangan Portugis.
Sewaktu menjejak jambatan Melaka (yang sehingga kini tidak dapat dipastikan lokasi sebenarnya) dapat saya bayangkan kehebatan Tuan Bandan berpencak membunuh musuh. Saya yakin ramai lagi pahlawan hebat seperti Tuan Bandan yang turut sama-sama syahid sewaktu mempertahankan Melaka namun, sejarah kita telah dipadamkan oleh penjajah dan hingga kini kita masih tidak begitu jelas siapakah pahlawan-pahlawan hebat yang mempertahankan Melaka pada tahun 1515 itu…
Al Fatihah untuk Tuan Bandan…..
1 comment:
Agaknya bagaimana rupa Tuan Bandan tu erk ? Pasti gagah perkasa bertubuh sasa, :D
Post a Comment