"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Monday, May 08, 2006

Kasihan Shahrir Samad


Prinsip BN kekal - PM -- Ahli Parlimen kerajaan tidak dibenar sokong usul pembangkang

Oleh Habibah Omar

SEPANG 7 Mei - Prinsip Barisan Nasional (BN) yang tidak membenarkan Ahli Parlimennya menyokong usul pembangkang di Parlimen adalah kekal dan perlu dipatuhi semua anggota.

Itulah ingatan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ekoran peletakan jawatan Pengerusi Kelab Ahli Penyokong Parlimen Barisan Nasional (BBC), Datuk Shahrir Samad yang cuba `menongkah arus' daripada prinsip itu Selasa lalu.

Kata Perdana Menteri, perkara itu adalah keputusan parti dan merupakan satu prinsip yang perlu disokong oleh semua.

``Pada waktu ini kita kekal dengan keputusan yang telah dibuat.

``Menyokong pendirian parti adalah prinsip dan ia perlu dipatuhi,'' katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita sekembalinya dari lawatan 10 hari ke Jamaica dan Amerika Syarikat.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sebelum itu beliau ditanya sama ada BN akan meminda peraturan supaya membenarkan Ahli Parlimen BN menyokong usul pembangkang di Parlimen.
Isu itu timbul berikutan peletakan jawatan Shahrir yang kecewa dengan sebilangan Ahli Parlimen yang tidak menyokong usul untuk membawa satu laporan dalam sebuah akhbar mengenai dakwaan salah laku seorang Ahli Parlimen ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Usul berkenaan dibawa oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang yang membahaskan laporan sebuah akhbar mengenai tindakan seorang Ahli Parlimen yang disifatkan melakukan kesalahan dengan menggunakan kuasa untuk menghalang Kastam menjalankan tugas.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan Shahrir akan membawa isu berkenaan ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang akan diadakan esok.

``Saya tidak akan menghalang sekiranya Datuk Shahrir ingin membawanya lagi pun perkara ini berkaitan dengan Parlimen. Tapi oleh sebab ada hubung kait dengan prinsip kita tak sokong usul pembangkang, mungkin dia nak bawa, terserah kepada dia (Shahrir).

``Tetapi keputusan (peletakan jawatan Shahrir) telah diambil oleh Najib sebagai Ketua Whip dan itu adalah satu keputusan yang tepat dengan keperluan peraturan yang diisytiharkan. Jadi semua ahli parti mesti mematuhi peraturan itu,'' katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai penubuhan jawatankuasa pilihan untuk mengkaji etika seorang Ahli Parlimen ketika berurusan dengan pegawai kerajaan, Abdullah berkata beliau melihat penubuhannya mempunyai kebaikan.

Ini kerana, katanya, jawatankuasa itu akan menetapkan peraturan yang bukan sahaja melibatkan Ahli Parlimen BN sahaja malah ia juga merangkumi pembangkang.

``Jawatankuasa itu ada kebaikannya. Kita boleh mempertimbangkannya secara halus lagi untuk melihat apakah kebaikan dan masalah yang boleh timbul dengan adanya peraturan seumpama itu,'' katanya.

Mengenai kes membabitkan Ahli Parlimen yang dilaporkan mengganggu Kastam, Abdullah berkata, perkara itu akan dibincangkan oleh parti.
Petikan Utusan Malaysia: 8 Mei 2006
Pak Kebun: Kasihan Shahrir..hajat di hati nak tegakkan demokrasi..akhirnya beliau sendiri yang jadi mangsa...Pak kebun lucu dengan apa yang berlaku di parlimen dan dasar BN. Wakil Rakyat tidak boleh menyokong usul pembangkang walaupun usul yang dikemukakan itu melibatkan kepentingan rakyat.....
Md Said..bagi orang negeri bersejarah terutamanya di kawasan Jasin memang mengenali beliau...entah la..katanya beliau ke kastam atas tindakan sebagai Wakil Rakyat..Pak Kebun malas nak komen ulasan beliau..
Cuma Pak Kebun kasihan pada Shahrir yang hendak menegakkan Integriti..akhirnya..beliau disisihkan...
Mungkin ini agaknya hakikat DEMOKRASI...

No comments: