"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi akan sesuatu, sedang ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui"
(Al Baqarah:216)

Monday, January 11, 2010

Harum bunga dan Pahit Kopi



Mari ke sini sahabat

Kita hidu harumnya bunga


Mari sini sahabat

Kita cicip secawan kopi


Mari sini sahabat

Sambil kita nikmati harum bunga

Sambil kita nikmati pahitnya kopi


Kita duduk bersama

Membuka minda

Menyerah jiwa

Pada Yang Maha Esa


Buka minda kita sahabat....

Dalam keperitan kita menghadapi bahana ekonomi

Yang semakin meleset


Kenapa kita tiba-tiba dimarakkan

Dengan api ‘keagamaan’

Kenapa kita tiba-tiba dimarakkan

Dengan api ‘perkauman’


Adakah ini gula-gula ‘pahit’ untuk kita?

Adakah ini ‘candu’ untuk kita?

Agar timbul usaha ‘perpaduan’

Kemudian akan muncul ‘penyelamat’


Mari sini sahabat

Kita hidup harum bunga

Mari sini sahabat

Kita cicip kopi pahit


Agar harum bunga dan pahit kopi

Jadi ‘penawar’ kepada ‘kebodohan’ yang sedang ditabur..


Gereja Dibakar, Kewibawaan Pemerintah Diuji...
(Petikan Mstar)

JUMAAT lalu, Malaysia sebuah negara yang tersohor di seluruh dunia dengan rakyatnya yang hidup harmoni, saling hormat-menghormati dan bersatu digegarkan dengan kejadian perbuatan khianat membakar gereja.

Terkini awal hari ini, gereja Sidang Injil Borneo di Seremban 2 dikatakan cuba dibakar selepas polis menemui kesan hangus di bangunan rumah ibadat itu.

Insiden itu menjadikan kesemuanya sebanyak lapan kes dalam tempoh tiga selepas yang pertama apabila gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur musnah sama sekali pada Jumaat lalu.

Kalau boleh kita katakan, semua insiden tersebut berlaku sebaik sahaja pemimpin masyarakat Islam pelbagai peringkat secara lantang membantah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini, membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan semasa membuat keputusan kontroversi itu menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Terus baik golongan ulama, pemimpin Umno, badan bukan kerajaan (NGO) Islam, ahli akademik dan pemimpin pembangkang termasuk PAS menyuarakan bantahan mereka.

Ternyata perbuatan membakar gereja ini sengaja dilakukan kerana mungkin hasrat pelaku mahu melaga-lagakan orang Islam dan Kristian di negara ini, umpama mahu menjolok sarang tebuan. Perpaduan dan keharmonian hidup pelbagai agama di negara ini sengaja mahu diuji.

Kewibawaan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatannya mahu dicabar termasuk polis. Dalam situasi begini kebijaksanaan Perdana Menteri sangat-sangat ditagih apatah lagi media-media asing sentiasa menanti peluang mahu melaporkan yang 'buruk-buruk' sahaja mengenai Malaysia.

Malah ada di kalangan media asing menganggap terbakarnya gereja akibat perbuatan khianat di negara ini umpama orang mengantuk yang disorong bantal kerana mahu mencetuskan berita sensasi yang negatif supaya nama baik Malaysia tercemar. Itu agenda mereka yang bukan lagi rahsia.

Agak lama Malaysia tidak dihimpit krisis kaum dan agama, dan apa yang berlaku ketika jangan dipandang enteng. Kemakmuran negara ini mampu hancur lebur jika sentimen agama diambil mudah oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam menangani krisis ini, pucuk pimpinan negara mahu seluruh rakyat bertenang berdepan dengan situasi seperti ini - mungkin ada yang terfikir bagi mengelakkan peristiwa berdarah seperti 13 Mei 1969 tidak berulang.

Polemik itu turut menarik perhatian Istana Negara sehinggakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan semua pihak supaya sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara pada Sabtu lalu, Seri Paduka yang memandang serius isu penggunaan kalimah Allah dan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung perkara itu, juga meminta rakyat menghormati tempat ibadat agama masing-masing tanpa mengira kaum. Di sebalik kecaman yang dilontarkan terhadap keputusan mahkamah itu, ada juga pemimpin yang bersikap menongkah arus dengan menyatakan sokongan terhadap penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan katolik itu.

Bukan mahu menuding jari kepada Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad kerana mengeluarkan pandangan berbeza dalam isu itu.

Namun kenyataan Khalid yang juga adik kepada Ahli Parlimen Johor Bharu, Datuk Shahrir Samad itu bukan suatu yang mengejutkan kerana beliau sering menyatakan pendirian berbeza dengan pucuk pimpinan PAS dalam beberapa isu tertentu lewat kebelakangan ini.

Bagaimanapun, pandangannya itu dikecam hebat oleh pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang menggesa Ahli Parlimen Shah Alam itu supaya keluar PAS.

Persoalannya sekarang, adakah perbezaan pendapat yang wujud itu dengan anggapan orang Kristian tidak menyalahgunakan kalimah suci itu atau ia sudah menjadi agenda politik parti tertentu?

Dan siapa pula yang harus dipersalahkan apabila isu penggunaan kalimah Allah yang digunakan dalam al-Quran dan buku-buku agama dituntut haknya oleh orang Kristian?

Adakah kesalahan itu wajar digalas oleh pihak kerajaan, golongan ulama atau parti politik yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan?

Soal benar atau salah pendapat seseorang itu agak sukar ditafsir, bak kata pepatah jika tidak pandai lebih baik kita berdiam diri dan usah berlagak seperti ‘tikus yang cuba membaiki labu’. Memetik kata-kata Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang berkata, semua ini terjadi berpunca daripada kelemahan dan perpecahan umat Islam itu sendiri.

Menurutnya, sudah tiba masanya Majlis Raja-Raja bertindak mempertahankan kesucian agama Islam daripada dihina oleh agama lain.

Jelas tokoh agama ini, soal agama atau akidah tidak boleh dibawa berkompromi sebaliknya harus diselesaikan segera.

“Pemahaman Islam dan Kristian tentang tuhan adalah berbeza dan merupakan dosa besar jika membenarkan perkara itu berlaku.

“Dalam konteks ini, memang tidak boleh menyamakan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian kerana orang Kristian berpegang kepada konsep trinity iaitu God the Father, God the Son and The Holy Ghost,” katanya kepada mStar Online.

Tegas beliau, konsep itu sememangnya berbeza kerana dalam agama Islam kerana kita berpegang kepada konsep Allah itu tunggal dan tidak beranak dan diperanakan.

“Kalau penganut agama Kristian pakai kalimah Allah, bermakna mereka menghina Islam. Ini tidak boleh dibiarkan,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menyeru umat Islam bersatu tanpa mengira fahaman politik demi menegakkan akidah dan kesucian agama Islam.

Hakikatnya, apa jua pandangan kita dalam isu kontrovesi ini, wajarlah kita bersikap rasional dan mengetepikan soal emosi.

Cara terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini adalah dengan mengadakan forum ilmiah golongan ulama dan pakar agama perlu dipanggil untuk berbincang dan berdebat menggunakan kaedah yang betul.

Alhamdulillah, cadangan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ingin mengadakan forum untuk mendebatkan isu ini wajar dipuji.

Semoga forum yang bakal diadakan nanti dapat menyelesaikan kekusutan yang berlaku dikalangan umat Islam.

Biarlah al-Quran dan as-Sunnah menjadi rujukan dalam mendebatkan isu ini.

Sama ada kita sedar atau tidak isu ini perlu segera diselesaikan kerana ia bakal mengundang masalah yang lebih besar dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Prinsip kemakmuran yang diamalkan selama ini perlu dipertahankan.

Rasanya peristiwa 13 Mei 1969 masih lagi segar dalam lipatan sejarah. Peristiwa berdarah itu harus menjadi azimat yang perlu diingati oleh mereka yang bergelar anak Malaysia.

Kita tidak mahu peristiwa hitam itu berulang, jangan sekali-kali kita meletakkan emosi melebihi prinsip keadilan kerana ia pasti mengundah padah. Sama-sama kita fikirkannya...

No comments: