Petikan Malaysiakini (30 Jun 2011)
Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini bakal menyebabkan negara kehilangan lebih RM1 bilion daripada sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

"Berdasarkan statistik, ketibaan pelancong antarabangsa pada bulan Julai 2010 adalah sebanyak 2.2 juta dengan perbelanjaan sebanyak RM6 bilion.
"Jika perhimpunan itu telah kurangkan 20 peratus daripada pendapatan tersebut, kita sudah kerugian RM1.2 bilion, yang mana ini akan dirasai oleh semua pihak dalam industri," katanya kepada pemberita selepas pertemuan bersama 16 pemimpin organisasi yang terlibat dalam industri pelancongan di Kuala Lumpur, semalam.
Ng berkata, sebagai industri yang bergerak berdasarkan situasi dan keadaan terkini sesebuah negara, perhimpunan itu bakal mengganggu pilihan pelancong yang berkemungkinan memilih untuk menghindari daripada memasuki Malaysia.

Katanya, perkembangan itu bakal memberi kesan negatif kepada mereka yang terlibat di dalam industri pelancongan berdasarkan perolehan hampir RM1 bilion negara yang dijana melalui perbelanjaan oleh pelancong negara itu tahun lalu.
Ng berkata, berikutan itu 16 pemimpin industri yang bertemu dengannya hari ini sebulat suara menentang sekeras-kerasnya perhimpunan itu dan menyarankan pihak polis melakukan apa sahaja bagi menghalang demonstrasi itu.

Dalam perkembangan lain Ng berkata, kementerian bersetuju menubuhkan pusat sehenti bagi merumuskan formula mengenai keperluan guna tenaga yang diperlukan di sektor pelancongan melibatkan hotel, spa, taman tema kelab golf yang mempunyai program pelancongan golf antarabangsa.
Beliau berkata, formula tersebut akan dijadikan panduan dalam menentukan jumlah sebenar pekerja asing yang diperlukan di dalam sektor itu selain mengkaji usaha untuk menggalakkan penglibatan pekerja tempatan dalam bidang berkenaan selaras mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini.
- Bernama
No comments:
Post a Comment