Ini sedikit kisahnya yang aku petik dari Utusan Malaysia Online...
02/03/2009
Hidup saya lebih tenang - dR. Sam
SETELAH 18 tahun menyepikan diri dari dunia seni, lelaki ini yang dahulunya cukup dekat di hati kanak-kanak dengan lagu patriotiknya muncul dengan penampilannya yang amat berbeza hari ini.
Jika dulu dia sering tampil dengan rasta pelbagai warna ala-ala Bob Marley, tetapi kini lelaki berusia setengah abad itu lebih selesa berkopiah dengan janggut panjang melepasi dagu sambil mengunyah sireh tanpa henti.
Selain mengunjungi masjid di hadapan rumahnya setiap waktu solat, sesekali dia singgah di restoran yang terletak di bawah rumah kedainya sambil menikmati teh 'o' kegemarannya.
Sendirian di situ tanpa sesiapa menemaninya, dia ralit dengan gajet yang di letak di meja tanpa siapa tahu apakah yang berjaya mencuri hatinya tanpa mempedulikan orang di sekeliling yang memerhati.
Bagi generasi hari ini sudah pasti tidak tahu siapakah lelaki tua ini.
Namun, bagi kanak-kanak yang pernah membesar dengan lagu ciptaannya itu, kelibat lelaki ini sudah pasti dikenali mereka.
Siapa tidak kenal tuan punya suara kepada lagu Saya Anak Malaysia.
Malah ketika zaman kegemilangannya, dialah satu-satunya 'doktor' yang kerja asalnya menyanyi di jalanan sekitar Damansara dan Petaling Jaya.
Semua itu sebelum 'doktor' ini mempunyai album sendiri.
Bagaimanapun, setelah mempunyai lima album edaran Polygram iaitu Abu Nawas (1983), Sayang OK (1985), Saya Anak Malaysia (1986) Semarak Merdeka (1988) dan Sinar Harapan (1990), hidupnya berubah.
Itulah dR. Sam atau nama sebenarnya Salim Ibrahim, 55, yang suatu waktu dulu begitu sinonim dengan kanak-kanak kerana lagu Saya Anak Malaysia.
Tetapi itu cerita 22 tahun dulu, cerita ketika dR. Sam sedang ligat di pentas hiburan.
Kini dR. Sam yang lebih suka mendengar digital al-Quran itu ketika santai di restoran menikmati teh 'o', selesa menjalani hidup sebagai 'orang biasa'.
Dengan jadual hidupnya berulang ke masjid, aktif bersama kumpulan tabligh ke seluruh Malaysia dan menjual digital al-Quran, rehal dan telekung, sudah cukup membahagiakannya menjalani hari-hari tuanya di samping keluarga tercinta.
Walaupun pendapatannya mungkin tidak semewah penyanyi popular hari ini, tetapi dR. Sam lebih senang begitu kerana baginya dia sudah menemui makna hidup sebenarnya!
"Apa lagi yang kita mahu cari dalam hidup ini selain keredaan Allah. Apa yang kita kejar sangat kerana semua yang kita punyai di dunia ini hanya pinjaman.
"Kita pinjam semua itu daripada Allah s..w.t dan apabila sampai masanya, Dia akan ambil dan apakah bekalan kita?
"Sebab itu, biar apapun anggapan orang tentang penampilan saya, hidup saya hari ini lebih tenang dan bahagia. Tak perlu nak fikir show di mana atau berapa bayaran yang akan di terima.
"Dengan usaha saya hari ini, saya bersyukur dan yakin setiap apa yang terjadi sudah ditentukan Allah. Hidup mati kita dan rezeki semuanya ditentukan Allah dan syukur alhamdulillah hidup saya cukup tenang dengan pendapatan begini," cerita dR Sam ketika ditemui di rumahnya di Bukit Indah, Ampang, Selangor baru-baru ini.
Walaupun sebelum Saya Anak Malaysia, dR. Sam telah muncul dengan dua album tetapi dia berjaya mencipta fenomenanya sendiri.
Ke mana sahaja show yang melibatkan kanak-kanak, lagu itu bagaikan menjadi lagu wajib yang pasti didendangkan dR. Sam.
Siapa sangka kerana lagu itulah, dR. Sam diundang membuat persembahan di Sri Perdana pada akhir 1988 anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) untuk menghiburkan anak-anak yatim.
"Sehingga hari ini saya tidak akan lupa selepas persembahan, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad datang bersalam dengan saya sambil mengucapkan 'terima kasih doktor kerana buat persembahan di rumah saya.'
"Bayangkan, seorang Perdana Menteri mengenali dan memanggil saya 'doktor' dan ia sememangnya suatu penghargaan buat saya sebagai penyanyi.
"Bukan itu sahaja, malah ketika Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong, saya juga diundang menyanyi di Istana Negara pada tahun 1989 untuk menghiburkan anak-anak yatim di majlis jamuan hari raya.
"Pengalaman itu sudah cukup bermakna dan seribu rahmat Allah kepada saya. Sebab itu setelah kembali dari menunaikan haji, saya terus meletakkan tanda noktah pada dunia seni saya.
"Hati saya memang sudah tertutup untuk itu semua. Tapi segala kenangan ketika menjadi penyanyi tetap tersimpan dalam hati saya.
"Siapa boleh lupa pengalaman suka duka dan jika anda pernah tonton filem Kembara Seniman Jalanan, ia mengambil serba sedikit perjalanan hidup saya," kata dR. Sam yang melakonkan watak penerbit syarikat Rekod Halal dalam filem itu.
Biarpun berulang kali dia memberi sebab penghijrahannya mengikut tabligh merupakan titik perubahan perjalanan hidupnya, namun setelah sejam berbual bersamanya, nyatalah ada sebab lain yang membuatkan dR. Sam menjauhkan diri dari dunia seni sebelum menunaikan haji.
Sama ada sedar atau tidak, memanglah itu realiti dan mentaliti orang-orang Malaysia terutama dalam bidang penyiaran yang hanya menghargai dan memberi peluang kepada penyanyi-penyanyi muda dan cantik sahaja!
"Sebelum saya ke Mekah pun, sebenarnya sudah kurang undangan menyanyi bukan sahaja show tapi pihak TV pun tidak berminat. Jadi memikirkan itu semua, sekembalinya dari Mekah saya terus melupakan bidang nyanyian.
"Saya tidak menyesal dengan semua itu sebab memang begitulah lumrah hidup, bagaikan roda ada masa di atas dan tiba waktunya ke bawah pula.
"Tetapi saya tidak takut jika peminat ataupun orang-orang TV tidak kenal atau tidak sukakan saya, tapi saya takut jika Allah membenci saya.
"Sebab itulah saya pilih jalan ini. Bertabligh tiga empat hari luar dari Kuala Lumpur mengajar kita erti kesabaran dan menguji keteguhan iman kita.
"Lagipun sejak dulu hidup saya tidak pernah diselubungi kemewahan. Saya sudah biasa hidup begini kerana di zaman popular pun saya seperti penyanyi lain hanya diundang menyanyi di fun fare saja," kata dR. Sam tanpa berselindung.
Kembara seni dR. Sam bermula seawal tahun 1973 ketika menuntut A-Level di Waltam Forest Technical College, England.
Setelah dua tahun menamatkan pengajiannya, dR. Sam yang sepatutnya meneruskan pengajian dalam bidang perniagaan, merantau sendirian sehingga ke Jerman.
Di negara itulah bermula hidupnya sebagai penyanyi jalanan.
"Ayah hantar ke luar negara suruh belajar tapi minat saya berubah. Bayangkan masa itu masih muda dan selalunya saya menyanyi pada musim sejuk dan dalam sehari saya boleh dapat RM100!
"Itu sudah cukup melupakan terus pada tujuan asal saya ke sana. Saya tak minat lagi nak belajar, tapi bak kata pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.
"Setelah lima tahun merantau, akhirnya saya balik ke Malaysia. Sekembalinya saya dari Eropah pada tahun 1978, saya bersama dua orang kawan tubuhkan kumpulan Kutu's Nest yang menyanyi di jalanan sekitar Damansara dan Petaling Jaya.
"Tanpa saya sedar, ketika saya menyanyi ada seorang peminat setia saya sering mengambil gambar walau di mana saya menyanyi.
"Hari demi hari, dia bukan sahaja menjadi jurugambar tidak bergaji saya tapi tanpa disedari dia juga menjadi cinta pertama saya dan akhirnya menjadi suri hati saya," kata dR. Sam mengimbas permulaan kehidupan berumah tangga.
Menurut dR. Sam, lantaran sering bertemu, dia dan isterinya, Fauziah Mohd. Yunos mula menyedari mereka saling tertawan antara satu sama lain.
Setelah cinta berbunga di hati, dR. Sam dan Fauziah tidak menunggu lama. Mereka dinikahkan pada tahun 1981.
Kini selepas 28 tahun melayari bahtera rumah tangga, kehidupan pasangan itu bahagia dengan kehadiran zuriat-zuriat yang indah iaitu, Siti Nabila, 20, dan Mohd. Razali, 19.
Pada pertemuan dengan Hits baru-baru ini, isteri dan anak-anak beliau bagaimanapun tidak bersedia untuk wajah mereka dirakamkan.
Kata mereka, biarlah dR. Sam saja yang popular di media.
Pada pertemuan itu, dR. Sam turut mendedahkan cerita bagaimana dia mendapat idea mengkomersialkan nama dR. Sam.
Sambil mengunyah sireh dR. Sam bercerita: "Saya sedar untuk popular kita mesti punya sesuatu yang pasti menggempakkan orang ramai, jadi saya terfikir meletakkan gelaran 'Dr. @ doktor' di depan nama kami - Dr. Sam, Dr. Ros dan Dr. Nirwana.
"Masa itu, apabila orang ramai lalu dan melihat 'doktor' menyanyi ia menjadi sesuatu yang luar biasa tapi saya tidak rasa bersalah kerana kami bukannya buka klinik cuma mengubat jiwa pendengar dengan lagu-lagu kami.
"Dalam ramai orang yang melihat 'doktor-doktor' menyanyi rupa-rupanya seorang bernama Ali Bakar juga meminati suara kami.
"Setelah sekian lama mengikuti persembahan kami akhirnya kami dipelawa menjadi artis rakaman," cerita dR. Sam lagi.
Memang ramai yang ingin tahu dan tertanya-tanya apakah makna dR. di depan namanya kerana seperti yang dinyatakan dR. Sam, di awal kemunculannya dR. Sam tidak membawa apa-apa makna selain glamor!
Tetapi pada tahun 2000, ketika bertafakur di masjid dia dikunjungi seorang teman yang memberi makna kepada namanya itu.
"dR. bermaksud dua rakaat, Sam pula Selesai All Masalah. Cubalah amalkan jika kita menghadapi masalah atau kesusahan, pergilah berwuduk, insya-Allah dengan menunaikan solat sunat dua rakaat fikiran dan jiwa kita akan tenang," kata dR. Sam .
Berbalik kepada dunia seni, dR. Sam mengakui, sekembalinya daripada menunaikan haji jiwanya memang tertutup habis pada dunia seni.
Apalagi sekitar 1990, bidang seni tidak menjanjikan apa-apa kepada penyanyi sepertinya.
Setelah diasak beberapa kali, apakah kemungkinan dia akan kembali menyanyi, dR. Sam tetap dengan pendiriannya enggan berpatah balik.
"Cukuplah setakat itu. Sekali saya meletak noktah pada dunia seni, saya tidak akan padamkannya lagi.
"Biarlah saya dengan kehidupan hari ini. Alhamdulillah pendapatan menjual digital al-Quran, rehal dan telekung memberi peluang kami bernafas walaupun tidak semewah orang lain tapi syukur yang amat sangat.
"Jika dulu saya mengajak peminat saya melihat show, tapi sekarang datanglah temui saya setiap Sabtu malam Ahad di Masjid Sri Petaling. Dan bagi mereka yang mahu memiliki Quran digital bolehlah hubungi di 016-625 4267 atau layari www.enmac-quran.com." kata dR. Sam mengakhiri perbualan kami selama dua jam itu
No comments:
Post a Comment