Separuh Kabinet dianggotai muka baru, 7 menteri gugur
18-03-2008 03:16:40 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS
PUTRAJAYA: Tujuh bekas menteri termasuk Ketua Wanita Umno Datuk Seri Rafidah Aziz yang merupakan antara menteri paling lama berkhidmat digugurkan daripada barisan Kabinet baru Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengandungai lebih separuh muka baru.
Jumlah anggota Kabinet baru yang diumumkan Abdullah Selasa sama dengan jumlah yang lalu, iaitu seramai 32 orang, walaupun Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri digabungkan dengan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri yang kini dinamakan Kementerian Dalam Negeri.
Selain Rafidah, bekas menteri lain yang digugurkan ialah Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (Menteri Dalam Negeri), Datuk Abdullah Md Zin (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Azmi Khalid (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Seri Jamaluddin Jarjis (Menteri Sains Teknologi dan Innovasi), Datuk Tengku Adnan Mansor (Menteri Pelancongan) dan bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Fong Chan Onn.
Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting yang memegang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam Kabinet yang lalu telah dari awal menyatakan hasrat tidak akan menganggotai Kabinet kali ini, sementara Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu yang memegang jawatan Menteri Kerjaraya pula telah kalah pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Semua anggota Kabinet yang kalah pada pilihan raya umum yang lalu juga tidak dipilih semula, sebaliknya Abdullah melantik dua muka baru yang akan mengangkat sumpah menjadi senator pada petang Selasa -- peguam terkemuka Datuk Zaid Ibrahim dan bekas bekas ketua pegawai eksekutif Maybank Datuk Amirsham Abdul Aziz.
Kedua-dua mereka ini akan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Zaid bagi membantu usaha memperbaiki dan memperkukuhkan lagi sistem perundangan negara sementara Amirsham akan bertanggungjawab mengurus Unit Perancang Ekonomi.
Dua ahli Kabinet baru yang memeranjatkan banyak pihak apabila nama mereka diumumkan oleh Abdullah ialah bekas menteri besar Selangor Senator Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang kini memegang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Datuk Shahrir Samad yang kembali ke Kabinet selepas 19 tahun. Beliau kini memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Muka baru lain ialah Setiausaha Agung MCA Datuk Ong Ka Chuan yang kini memegang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Setiausaha Agung MIC Datuk Dr S Subramaniam yang kini Menteri Sumber Manusia dan Datuk Ismail Sabri Yaakob, Menteri Belia dan Sukan.
Sementara itu, sembilan Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen dinaikkan pangkat menjadi Menteri penuh dalam Kabinet baru Abdullah yang mencerminkan semangat perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional.
Mereka ialah Datuk Douglas Unggah Embas (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan), Datuk Zahid Hamidi (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Ng Yen Yen (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Korporasi), Datuk Mohd Zain Mohamed (Menteri Kerjaraya) Datuk Shaziman Abu Mansor (Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi) Datuk Liow Tiong Lai (Menteri Kesihatan), Datuk Ahmad Shabery Cheek (Menteri Penerangan).
Abdullah sendiri hanya memegang dua portfolio dan tidak tiga seperti sebelumnya. Beliau hanya mengekalkan portfolio sebagai Menteri Kewangan dan melepaskan jawatan Menteri Dalam Negeri manakala Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak kekal sebagai Menteri Pertahanan.
Menteri yang kekal di portfolio lama ialah Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang kekal Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri nor Mohamed Yakcop (Menteri Kewangan Kedua) Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Pelajaran), Datuk Seri Zulhasnan Rafique (Menteri Wilayah Persekutuan) dan Datuk Peter Chin Fah Kui (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi).
Menteri yang bertukar poftfolio pula ialah Datuk Seri Syed Hamid Albar yang kini Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Dr Rais Yatim kini Menteri Luar, Datuk Mohd Shafie Apdal Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Datuk Seri Azalina Othman Said Menteri Pelancongan.
Pergerakan Wanita Umno tidak mempunyai sebarang wakil dalam Kabinet baru setelah Rafidah digugurkan sementara timbalan beliau Datuk Seri Shahrizat Jalil yang sebelum ini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kalah di Lembah Pantai pada pilihan raya umum yang lalu.
Selain Pergerakan Wanita Umno, Parti Progresif Rakyat (PPP) juga tidak diwakili setelah Presidennya Datuk M Keyveas kalah di Taiping.
Abdullah berkata, senarai Kabinet baru ini telahpun diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pagi Selasa dan ia terdiri daripada anggota-anggota yang telahpun disiasat latar belakang mereka bagi memastikan mereka bersih daripada tuduhan sebarang tuduhan rasuah dan jenayah.
"Saya yakin senarai anggota baru ini mampu melaksanakan agenda kerajaan dengan baik dan berkesan," katanya.
Ditanya mengenai bekas menteri seperti Rafidah dan Jamaluddin Jarjis yang nama mereka digugurkan, Abdullah berkata beliau tidak perlu memberi sebarang penjelasan.
"Saya telah buat keputusan. Saya tidak perlu menjelaskannya kerana ia adalah hak dan kuasa Perdana Menteri," katanya.
Ditanya lagi mengenai pengguguran Rafidah, Abdullah berkata beliau tidak melantiknya semula kerana mahu orang baru mengambil alih daripada Ketua Pergerakan Wanita Umno itu.
No comments:
Post a Comment